Completed
12998
“Kau simpanlah meja tu. Aku dah nak tidur. Mengantuk. Letih,” pesan Haziq lalu masuk ke biliknya dan mengunci pintu.
“Tak payah cakap pun orang buatlah…. Elok sangatlah tu. Lepas makan, membuta…” gumam Shima. Satu keluhan di lepaskan.
“ADA baiknya jugak kau duduk dengan aku. Bolehlah aku merasa makan breakfast…” ujar Haziq tatkala melihat nasi goreng terhidang di atas meja makan.
Dia sudah pun mempersiapkan dirinya untuk ke pejabat. Segak berkemeja dan tali leher. Jam di dinding dipandangnya. Masih sempat dia menjamah juadah yang dimasak oleh adiknya itu. dia menarik salah sebuah kerusi dan terus duduk.
“Alah, nasi goreng biasa je pun…” balas Shima sambil membawa seteko air teh panas bersama dua biji cawan di dalam sebuah dulang kemudian ditelakkannya di atas meja makan itu juga.
“Aku tengok sampah kat dapur tu dah penuh. Kau boleh tolong buang kat bilik sampah tepi tangga kat luar sana tak? Kau tahu kat mana kan?” pinta Haziq.
“Okay,” jawab Shima lalu segera mendapatkan bakul sampah di bawah kabinet dapur. Dia membawa sampah itu keluar untuk dibuang ditempatnya.
Belum sempat Haziq menghabiskan nasi goreng di dalam pinggannya itu, kedengaran suara jeritan dari bilik tidur utama. Tidak lain tidak bukan, Nur mengamuk lagi.
Haziq meninggalkan meja makan lantas mendapatkan isterinya di dalam bilik itu. Di saat dia membuka pintu biliknya, Nur menyerangnya. Pergelutan berlaku. Nur bagaikan dirasuk.
Haziq cuba untuk tidak menyakiti isterinya itu. Namun, dia gagal mengawal dirinya apabila Nur membelit batang tengkuknya dengan tali leher yang dipakainya. Haziq sesak nafas.
Tanpa disengajakan, Haziq mendorong keras isterinya itu ke lantai. Malangnya, kepala Nur terhantuk di bucu katil. Sejurus itu juga Nur jatuh dan terus tidak sedarkan diri. Dalam keadaan termengah-mengah itu, Haziq mendapatkan isterinya.
“Nur. Nur. Bangun, Nur. Abang tak sengaja. Maafkan abang, sayang…” rintih Haziq tidak bertenaga. Nafasnya masih tersekat-sekat. Tangannya perlahan-lahan menyentuh pipi Nur. Pandangannya semakin kabur dan akhirnya dia turut sama tidak sedarkan diri.
APABILA dia membuka matanya, Haziq mendapati Shima sedang berbual dengan seorang lelaki tidak jauh dari katil di dalam bilik tidurnya itu. Dia cuba bangkit dari pembaringannya. Menyedari itu, Shima segera duduk di birai katil dan membantu abangnya yang masih lemah itu.
“Nur mana, Shima? Macam mana keadaan dia? Tadi aku tak sengaja tolak dia sampai kepala dia terhantuk pada bucu katil. Kepala dia luka teruk ke?! Dia dah sedar?! Boleh aku jumpa dia?! Jawablah, Shima!” Haziq menhujani Shima dengan pelbagai soalan. Lantas Shima memegang kedua-dua bahu abangnya itu. Pandangan mereka saling bertentangan.
“Abang, relaks! Semuanya, okay! Kan, doktor?” jawab Shima lalu mengalih pandangannya pada lelaki tadi. Lelaki itu mengangguk beberapa kali sambil tersenyum.
“Jadi kau ni doktor? Isteri aku macam mana?” tanya Haziq gelabah.
“Encik Haziq, sila bertenang. Seperti yang adik encik cakap, semuanya tak ada apa-apa…” jawab doktor itu.
“Mana boleh tak ada apa-apa! Tadi saya tengok sendiri….” Belum sempat Haziq menghabiskan ayatnya, Shima mencelah.
“Abang, Kak Nur okay! Dia cuma luka sikit je. Dia tengah rehat di bilik tetamu….”
“Kenapa di bilik tetamu? Kenapa tak kat sini? Kat bilik ni, dengan aku?!!” tanya Haziq lagi keras.
“Sebab inilah. Keadaan abang yang sekarang ni. Baran tak tentu pasal. Kak Nur takkan dapat rehat dengan tenang dalam emosi abang yang macam ni. Abang kena rehat, cool down dulu baru boleh abang jumpa Kak Nur. Boleh?” pujuk Shima. Mendengar itu, Haziq beransur tenang.
“Tapi dia okay kan?” tanya Haziq lagi.
“Ya. Abang tidur dulu, ya?” balas Shima sambil membaringkan semula abangnya itu. Haziq akur.
Share this novel