Completed
12998
SAAT senja melabuhkan tirainya, Haziq baru sampai di condominiumnya. Kesesakan lalu lintas memaksanya untuk meluangkan lebih masa di jalan raya sehingga membuatkannya mengabaikan solat Maghribnya pula. Namun, tidak terlintas pun di benaknya untuk mengganti semula amalan wajibnya itu.
Haziq membawa kunci rumah pendua bersamanya kerana tidak mahu mengganggu isterinya yang sedang berehat. Sejurus sahaja pintu dibuka, terserlahlah keadaan ruang tamu rumahnya yang berantakan seperti dipecah masuk. Haziq terkejut bukan kepalang.
Jantungnya seperti direnggut. Kerisauannya terhadap Nur memuncak. Pada masa yang sama, kedengaran suara Nur menjerit dari bilik tidur utama. Sepantas kilat dia mendapatkan isterinya di bilik itu. Dia menarik nafas lega.
Namun, wajahnya masih berkerut tatkala melihat gelagat isterinya mengamuk seorang diri itu. Disangkanya orang asing menceroboh dan mengapa-apakan isterinya itu.
Haziq perlahan-lahan mendekati Nur. Sementara Nur pula seolah-olah tidak menyedari keberadaan suaminya di situ. dia sibuk mencampak hampir setiap benda yang berada berdekatannya sambil menjerit-jerit. Perlahan-lahan Haziq merangkul batang tubuh isterinya dari belakang. Nur semakin menggila. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Jeritannya semakin menjadi-jadi.
“Nur! Nur! Ini abang! Cool down! I won’t hurt you! Sayang, jangan macam ni… please!” Dalam keadaan yang tegang itu, Haziq memalingkan isterinya menghadapnya. Sebaik sahaja melihat wajah suaminya itu, amukan Nur serta-merta hilang. Lantas dia memeluk kejap suaminya itu. Dia menggigil ketakutan. Haziq membelai lembut belakangnya.
“I’m here, sayang. And I always….” Belum sempat Haziq menyempurnakan ayatnya, Nur meleraikan dakapannya lalu menatap wajah suaminya itu. Mereka saling memandang. Jelas kekusutan di wajah Nur. Haziq cuba menyimpulkan sekuntum senyuman buat isterinya itu sambil menyeka air mata di pipi Nur lembut.
“Nur takut…” gumam Nur bergetaran. Air matanya menitis lagi.
“Kan abang dah cakap, abang ada. Kalau perlu, abang rela berhenti kerja demi untuk jaga Nur…” ujar Haziq.
“Nur minta maaf. Nur banyak susahkan abang. Tapi Nur tak mampu….”
“Abang yang patut minta maaf pada Nur. Semua yang jadi salah abang. Kebodohan abang jerumuskan Nur dalam semua ni. Abang sanggup buat apa sahaja untuk tebus balik kesalahan abang pada Nur…” balas Haziq. Dia tidak mampu lagi menanggung rasa bersalah yang seakan sebuah gunung yang harus dipikul dipundaknya. Namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
“Sekarang Nur rehat dulu. Abang kemaskan semua ni. Nur tidur, ya…” saran Haziq sambil mengiringi Nur ke birai katil dan membaringkan isterinya itu.
Tiada sebarang bantahan daripada Nur. Ketakutan masih membelenggu dirinya. Haziq menyelimutkan Nur lalu rambut Nur yang berserabai itu diusap lembut beberapa kali. Kemudian, satu kucupan hangat singgah di ubun-ubun isterinya itu. Haziq cuba bangkit dari birai katil itu untuk meneruskan niatnya untuk membereskan rumahnya yang disepahkan isterinya itu.
Namun, Nur terlebih dahulu menghalang dengan memegang kejap tangan suaminya itu. Haziq sekali lagi memandang wajah Nur yang suram itu lantas mengangkat kedua-dua keningnya sebagai isyarat bertanya.
“Nur takut…. Temankan Nur…” ujar Nur perlahan.
“Ya, abang tak ke mana. Sini je. Abang temankan Nur…” balas Haziq akur. Sekuntum senyuman kelat singgah di bibirnya. Tangan Haziq masih kejap dipegang oleh Nur meskipun matanya sudah dipejam rapat. Wajah Nur ditatap sayu. Air mata lelakinya menitis jua melihat penderitaan isterinya itu. Lama-kelamaan pengangan tangannya itu terlerai.
“Maafkan abang, Nur. Abang gagal lindungi Nur…” bisik Haziq kesal. Satu kucupan lembut darinya singgah di ubun-ubun Nur yang sudah lena itu.
Share this novel