Completed
12998
HAZIQ merasakan sesuatu menusuk lengannya. Sakit. Perlahan-lahan dia cuba mengangkat kelopak matanya. Didapatinya seorang jururawat baru sahaja selesai menyuntik sesuatu di lengannya. Mereka berbalas pandangan. Jururawat itu tersenyum.
“Alhamdullillah, encik dah sedar,” ujar jururawat itu sambil tangannya segera menekan suiz merah di dinding berhampiran kepala katil. Tidak lama kemudian, seorang doktor lelaki beserta ibunya masuk ke bilik itu. Haziq mencuba untuk bangun lantas ibunya membantunya menyandar pada kepala katil. Dia masih diam seribu bahasa. Wajah ibunya ditatap sayu dan penuh rasa bersalah.
Mata Habsah kian membengkak menangisi musibah yang menimpa anak-anaknya. Naluri keibuannya membuatkan mata tuanya menangis lagi. Tangan Haziq diusap lembut. Sementara doktor lelaki yang datang bersamanya sebentar tadi mendekati Haziq dan melakukan sedikit pemeriksaan.
“Shi… Shi… Shima dah….” Haziq cuba memberitahu sesuatu pada ibunya.
“Ibu tahu….”
“Haziq tak salah. Sumpah. Haziq tak salah, bu…. Nur? Nur mana? Dia kat mana, bu? Haziq nak dia tahu Haziq tak salah….” Habsah menahan sebak di dadanya lalu dia menghela nafas panjang.
“Haziq, ibu ada perkara penting nak beritahu kamu pasal Nur…”
“Nur kenapa, bu?! Dia trauma lagi ke?! Dia kat mana sekarang? Biar Haziq yang tenangkan dia!” Haziq mendesak meminta jawapan daripada Habsah.
“Nur dah takde, nak. Dia dah lama tinggalkan kita. Sejak kes culik tu lagi, nak…”
“Apa yang ibu merepek ni? Nur masih hidup! Baru semalam Haziq jumpa dia. Cuma hari ni je Haziq tak tahu dia kat mana!”
“Ibu tahu sukar. Tapi kita kena terima qada dan qadar ni. Nur dah takde, Haziq. Nur dah lama mati….”
“Tak! Ibu tipu! Nur hidup lagi! Dia masih hidup! Ibu tipu!!!
Share this novel