Completed
12998
Dua bulan kemudian….
PEMANDANGAN hutan batu dari balkoni condominiumnya itu tidak cukup untuk menenangkan hati Nur. Wajahnya bermuram durja. Satu keluhan berat dilepaskan.
Dari kejauhan Haziq memerhati tingkah isterinya di balkoni itu. Dia menapak mendekati Nur. Nur dapat merasai seseorang mendatanginya. Lantas dia berpaling. Jelas terpancar ketakutan di wajahnya. Nafasnya termengah-mengah. Sebaik sahaja melihat suaminya orangnya, dia menarik nafas lega.
“Abang buat Nur terkejut je!” gumam Nur.
“Sampai bila Nur nak macam ni?” tanya Haziq.
“Macam ni, macam mana? Nur okey je,” balas Nur lalu berpaling membelakangi suaminya itu dan kembali melemparkan pandangannya ke hutan batu yang luas terbentang itu.
Haziq merapatkan jurang tempat mereka berdiri sehingga kurang dari sekaki. Dia memalingkan Nur ke arahnya. Kedua-dua tangan isterinya lantas dipegang lembut. Matanya menatap mata Nur.
“Nur faham maksud abang, kan? Sejak peristiwa tu, Nur jadi pendiam. Even dengan abang, suami Nur sendiri pun Nur layan acuh tak acuh je. Nur banyak termenung. Nur terlalu banyak berubah. Abang dah tak kenal Nur lagi,” ujar Haziq. Mendengar itu, Nur menundukkan pandangannya.
“Nur minta maaf. Tapi….”
“Tak ada apa yang perlu Nur takut lagi. Lelaki tu dah mati. Nur tengok sendiri, kan? Lagipun, abang ada di sini. Di sisi Nur. Abang tak akan biarkan sesiapa pun sakiti Nur lagi. Nur tahu abang sayangkan Nur, kan? Terlalu sayangkan Nur. Abang tak boleh tengok Nur terus-terusan macam ni. Nur kena bangkit. Abang tahu bukan mudah untuk Nur tempuhi semua ni, tapi… abang ada untuk bantu Nur. Kita sama-sama buka buku baru ya?” pujuk Haziq.
Tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibir Nur sebagai respon pujukan Haziq itu. Hanya kerutan di wajahnya yang terpancar. Melihat itu, Haziq merangkul lembut bahu Nur ke dalam dakapannya. Dia memahami kegalauan hati isterinya itu meskipun dalam masa yang sama dia risau berapa lama lagi isterinya itu diselubungi traumanya itu.
Tidak lama kemudian, Nur meleraikan dakapan Haziq. Sekali lagi pandangan mereka bertaut. Nur tersenyum kelat.
“Hari ni, hari Jumaat kan? Dah pukul satu setengah. Abang… tak ke masjid ke? Solat Jumaat?” tanya Nur.
“Macam mana abang nak tinggalkan Nur dalam keadaan macam ni?” Haziq tidak terus menjawab pertanyaan isterinya itu sebaliknya dia pula yang menyoal Nur. Nur sekadar menjawabnya dengan senyuman kelat.
TANGAN Haziq kaku seketika daripada menyiapkan tugasan kerjanya. Matanya tepat memandang komputer di hadapannya itu. Sementara fikirannya melayang jauh memikirkan Nur yang besendirian di rumah. Kerisauan mula membelenggu hati kecilnya.
Satu keluhan panjang dilepaskan. Dari kejauhan, Encik Faiz, atasannya memerhati Haziq yang masih terbuai dengan lamunannya itu. Encik Faiz menapak mendekati meja kerja Haziq. Bahu kanan Haziq ditepuk perlahan. Sejurus itu juga, Haziq tersedar dari lamunannya.
“Eh, Encik Faiz. Maaf, saya…” gumam Haziq lantas bangkit dari kerusinya dan berdiri sama tinggi dengan Encik Faiz.
“Saya perasan kamu kurang fokus sejak kes culik tu. Kalau kamu perlukan cuti lagi pun, Insya-Allah, saya boleh uruskan,” ujar Encik Faiz. Haziq tersenyum kelat mendengarnya. Rasa bersalah menyinggah hatinya.
“Saya minta maaf, Encik Faiz. Saya janji saya tak akan main-main lagi. Saya akan lebih fokus lagi,” ujar Haziq cuba untuk meyakinkan Encik Faiz.
“Takpe. Saya faham. Bukan kerja yang saya risaukan. Ramai lagi staf lain yang boleh uruskan. Tapi saya risaukan keadaan kamu. Betul tak nak sambung cuti?” balas Encik Faiz sekali gus bertanya untuk kepastian.
“Tak perlulah, Encik Faiz. Saya tak nak susahkan sesiapa. Terima kasih atas keprihatinan Encik Faiz,”
“Takde apalah. Memang tanggungjawab saya sebagai pihak atasan untuk mengambil berat kebajikan para pekerja. Apa-apa pun, banyakkan bersabar dengan ujian ni. Kalau ada sebarang masalah, jangan segan-segan minta tolong saya. Insya-Allah, saya bantu semampu saya. Dan… jangan paksa diri,” ujar Encik Faiz.
Haziq sekadar tersenyum tawar. Sejurus selepas itu, kedengaran azan berkumandang dari masjid yang berada tidak begitu jauh dari pejabat itu.
“Hah, waktu Asar dah masuk dah tu. Jom, kita berjemaah di masjid. Tinggallah kerja tu sekejap,” pelawa Encik Faiz.
“Erm… Encik Faiz pergilah dulu. Nanti saya menyusul,” kata Haziq.
“Yelah, saya pergi dulu,” balas Encik Faiz lalu mereka berbalas senyuman. Encik Faiz pun beredar dari situ. Tanpa menghiraukan pelawaan Encik Faiz, Haziq kembali duduk di kerusinya dan menyambung kerjanya semula.
Share this novel