BAB 15

Mystery Completed 12998

“TAK! Aku tak bunuh sesiapa pun! Aku bukan pembunuh!” balas Haziq sambil menutup kedua-dua telinganya dengan tangannya. Matanya dipejam rapat. Tiba-tiba ada suara lembut pula yang mengganggunya. Suara Nur.

“Abang…” suara Nur memanggilnya beberapa kali. Dia perlahan-lahan membuka kembali matanya. Dia terkejut bukan kepalang tatkala melihat susuk tubuh Nur yang kurus kering, tidak terurus, tudungnya entah ke mana, rambut berserabai, dan wajahnya pucat lesi.

“Abang, sampai hati abang buat Nur macam ni. Sampai hati abang tinggalkan Nur. Sampai hati abang bunuh Nur…” kata Nur dalam tangis dan sendu.

“Tak! Aku tak bunuh Nur! Aku bukan pembunuh!” jerit Haziq lagi sambil menggilgil ketakutan. Dia terundur-undur ke belakang.

“Abang jahat! Abang pembunuh! Abang pembunuh!” jerit Nur marah.

“Kau pembunuh! Kau pembunuh!” jerit Shima pula. Mereka mengulangi ayat itu berulang-ulang kali dan semakin mendekati Haziq. Sementara Haziq pula semakin terundur ke belakang.

“Aku bukan pembunuh!” jerit Haziq lagi lalu dia melangkah selangkah lagi ke belakang. Rupa-rupanya, itu merupakan langkah terakhirnya dalam hidupnya. Dia gagal mengawal keseimbangannya dan jatuh.

“Aaaaaaaaaaaaaarrrggghhhhhh!!!!”

“YA ALLAH!!! Anak aku! Haziq!!!” jerit Habsah tatkala melihat anak sulongnya itu jatuh di hadapan matanya sendiri sebaik sahaja dia dan yang lain tiba di tingkat tertinggi bangunan itu.

Meskipun dia masih mengah mendaki anak-anak tangga untuk ke atas atap itu, dia tidak mempedulikan keletihannya itu. Dia bergegas turun ke tingkat paling bawah dengan menggunakan lif. Begitu juga dengan yang lain.

Sesampainya di bawah, dia mendekati jasad kaku anaknya itu. dia tidak dapat menahan sebak di dadanya lagi. Air matanya ibarat air mata air yang enggan berhenti. Semakin lama, langkahnya semakin longlai.

Akhirnya, dia rebah melutut di sisi jasad anaknya itu. Kepalanya cedera parah. Darah yang masih segar terus menerus mengalir keluar tanpa henti dari luka di kepalanya. Sementara tangan dan kakinya patah.

Habsah kelu seribu bahasa. Keadaan Haziq itu betul-betul meruntun hatinya. Hanya air matanya yang berbicara. Tangannya meraup wajah anaknya yang berlumuran darah itu. Lalu perlahan-lahan dia memeluk dan mengucup Haziq di ubun-ubunnya. Haziq kaku dalam rangkulan dan tangisan ibunya itu.

“Innalillahiwainnailaihirajiun…” gumam Habsah redha.

HARI berganti hari. Bulan berganti bulan. Kini genap setahun pemergian Haziq. Namun Habsah tidak pernah lupa untuk menziarahi pusara anaknya itu. Tangannya mengusap-usap batu nisan yang tertara nama anak sulongnya itu sambil diiringi tangisannya itu.

“Kalaulah ibu bagi kamu didikan agama dari kecil lagi, mesti bukan macam ni pengakhiran hidup kamu. Semua ni salah ibu, nak. Ibu bukan ibu yang baik…” ratap Habsah dalam sedu sedannya.

“Sudahlah tu, bu. Biarkan abang tenang kat sana.,” pujuk Shima.

Lantas pandangan Habsah beralih kepada satu-satunya anaknya tidak jauh dari tempatnya. Melihat itu, Habsah segera menggulung tikar sebelum pergi mendapatkan Shima yang kini berkerusi roda.

Selepas peristiwa Haziq menikamnya itu, Shima terlantar tidak sedarkan diri selama beberapa bulan. Apabila dia sedar, doktor mendapatinya dia lumpuh separuh badan ekoran daripada tikaman yang terkena tepat pada saraf tunjangnya.

Tidak cukup dengan itu, dia juga dikejutkkan dengan pemergian abangnya buat selama-lamanya. Walaubagaimanapun, Shima pasrah dengan takdir yang menimpa diri dan keluarganya itu.

Habsah pon menolak kerusi roda Shima pergi meninggalkan kawasan perkuburan itu.

“Ibu masih meratapi pemergian abang?” tanya Shima pada ibunya yang sedang menolak kerusi rodanya ke kereta.

“Ibu pasrah abang kamu tinggalkan kita. Cuma ibu sedikit terkilan dengan cara dia pergi. cukup tragis. Masih terbayang-bayang di benak ibu macam mana dia….”

Lantas Shima berpaling dan mendongak ke belakang lalu memegang lembut tangan ibunya.

“Tak ada apa yang kita boleh buat lagi melainkan berdoa agar Allah ampunkan segala dosa abang dan semoga abang ditempatkan di tempat orang yang beriman. Kita perlu redha, bu…” kata Shima.

“Amiin…” balas Habsah lalu mereka anak beranak itu bertentang mata dan tersenyum kelat.

Walau apapun sebagai manusia mereka sedar tiada kuasa yang dapat menandingi kekuasaan Allah SWT kerana DIA yang satu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience