Completed
12998
Namun lenanya tidak lama, jeritan Nur menyedarkannya. Lantas dia bingkas bangun dari sofa itu dan segera mendapatkan Nur di bilik mereka. Sebaik sahaja dia berada di atas katil di samping Nur, isterinya itu lantas menundingkan jarinya ke arah pintu bilik.
Haziq segera berpaling ke arah tersebut. Dia terkejut bukan kepalang tatkala melihat seorang lelaki asing berlari keluar dari bilik mereka. Dia tidak menyangka lelaki itu betul-betul wujud dan bukan hanya khayalan Nur. Dia terkesima seketika.
“Abang, kejarlah dia!!!” jerit Nur. Sejurus itu, barulah Haziq sedar lantas mengejar lelaki itu. Sementara itu, Haziq masih sempat ke dapur mendapatkan pisau sebagai senjata.
Agak jauh dia ketinggalan. Dia mengejar lelaki itu sehingga ke tempat parkir kereta di aras paling bawah kondominium itu. Malangnya, di situlah haziq kehilangan jejak lelaki itu.
“Argh!!!” Haziq mengeluh keras. Tapi dia tidak mengalah begitu sahaja. dia terus mencari kelibat lelaki itu di kawasan sekitarnya.
Pisau ditangannya digenggam kemas. Tidak lama kemudian, Haziq melihat kelibat lelaki itu di antara kereta yang diparkir tidak jauh dari tempatnya berdiri. Dia tersenyum sinis sambil perlahan-lahan menapak mendekati lelaki itu. Lelaki itu masih tidak menyedari kehadirannya. Kurang dari tiga langkah, barulah lelaki itu menyedari kehadirannya. Lelaki itu membetulkan posisinya seakan bersedia untuk bertempur dengannya.
Namun, belum sempat lelaki itu berkalih padanya, pisau di tangan Haziq terlebih dahulu membenamkan matanya dari belakang. Tikaman itu tepat mengena saraf tunjangnya. Lelaki itu terkedu. Tidak mampu berkata apa-apa. Haziq menarik kembali hunusannya.
“Argh!!!” lelaki itu menderam kesakitan lantas terjelepok jatuh tertiarap di lantai. Haziq tersenyum puas. Dendamnya terbalas. Perlahan-lahan dia berkalih dan meninggalkan lelaki itu menggelupur kesakitan.
“A..bang… ke… ke.. napa?” soal satu suara tergagap-gagap menahan kesakitan. Suara itu datangnya dari arah yang sama dari lelaki itu. Bukan suara lelaki tetapi perempuan! Lantas Haziq berpaling ke arah suara itu. Batang tubuh lelaki itu tidak lagi ada di situ, yang ada cuma seorang perempuan bertudung yang tertiarap dan berlumuran darah dengan kesan tikaman di tempat yang sama dengan lelaki itu tadi.
Haziq panik. Dia berkalih ke semua arah mencari kelibat lelaki itu. Pisau di tangannya kembali kejap dipegangnya. Namun, tiada siapa di tempat parkir itu melainkan dirinya dan perempuan malang itu.
Haziq kembali kepada perempuan itu yang kini sudah kaku tidak bergerak. Perlahan-lahan dia mendekati perempuan itu lalu melutut di sisi perempuan itu. Dia cukup kenal baju yang dipakai perempuan itu.
Tangan kiri Haziq masih kejap memegang pisau itu sementara tangan kanannya terketar-ketar untuk membaringkan perempuan itu untuk mengenal pasti identitinya. Matanya dipejam rapat sambil tangan kanannya menarik bahu perempuan itu lalu terbaringlah perempuan itu. Perlahan-lahan, dia membuka matanya.
“Shima???” gumam Haziq. Dia mengundur-ngundur ke belakang. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Tak…. Tak mungkin!!!” jerit Haziq lantas mencampakkan pisau di tangannya. Sejurus itu juga dia bangkit dan membuka langkah seribu meninggalkan Shima yang terbujur kaku di situ sekali gus keluar dari kawasan parkir itu.
“Tak mungkin!! Aku bukan pembunuh! Bukan!!!” jeritnya lagi sambil berlari melintas jalan raya. Tanpa disedarinya datang sebuah kereta dari arah kanannya.
“PHIIIIIIIIIIINN!!!!!!!!!”
Sudah terlambat untuk Haziq mengelak lantas kereta itu merempuhnya. Haziq terlambung ke tepi jalan impak daripada rempuhan itu. Haziq cuba melawan kudratnya namun apakan daya. Pandangannya semakin kabur dan terus tidak sedarkan diri.
Share this novel