Completed
12998
Imbas kembali…
NUR terbaring di lantai sebuah bangunan terbengkalai sambil wajahnya berpaling ke kanan. Bangunan itu terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit itu. Dengan kaki dan tangan yang terikat kemas ke balakang, matanya tidak lepas dari memandang jasad lelaki durjana yang terbujur kaku tidak bernyawa itu. Sementara tudung yang menutupi kepalanya entah kemana.
Begitu juga bajunya koyak rabak akibat pergelutan yang berlaku sepanjang dia bersama dengan lelaki durjana itu. Ia berada hanya beberapa kaki darinya. Lelaki itu berjaya ditembak mati oleh pihak polis dalam serbuan untuk menyelamatkannya daripada terus menjadi tebusan kes penculikan itu.
Seorang anggota polis mendekati jasad lelaki itu untuk memastikan keadaan lelaki itu sama ada dia benar-benar mati atau tidak. Dalam masa yang sama, seorang lelaki tinggi lampai dan berbadan tegap meluru mendapatkan Nur. Batang tubuh Nur lantas dirangkul kemas.
“Nur dah tak perlu takut lagi. Abang ada kat sini. Nur dah selamat. Abang minta maaf, sayang…” ujar Haziq cuba menenangkan isterinya itu yang sudah hampir dua minggu terpisah itu.
Meskipun dia sendiri tidak dapat membendung kesedihan dan penyesalan yang jelas terpancar di wajah dan perlakuannya itu. Sementara Nur masih diam seribu bahasa di dalam dakapan suaminya itu.
Salah seorang daripada petugas lelaki dari pihak hospital datang meluru mendapatkan Nur. Melihat itu, Haziq perlahan-lahan melepaskan Nur.
“Tolong selamatkan isteri saya. Tolonglah…” rayu Haziq.
Lantas lelaki memeriksa nadi Nur di batang tengkuknya di bawah telinga. Tak cukup dengan itu, dia turut memeriksa nafas Nur dengan meletakkan jari telunjuk di bawah hidung Nur. Perlahan-lahan pandangannya beralih pada Haziq lalu menggeleng perlahan.
“Encik, saya minta maaf. Kita dah terlambat…” ujar lelaki itu.
“Tak! Isteri aku tak boleh mati! Kau kena selamatkan dia. Selamatkan dia sekarang! Dia tak boleh mati!” herdik Haziq sambil mengoncang tubuh lelaki itu.
“Sabar, encik! Sabar!” balas lelaki itu.
“TAK mungkin! Ibu tipu! Nur hidup lagi! Kalau ibu tak percaya, ibu boleh tanya Shima. Tapi… Shima dah… Arhh!! Semua ni tipu! Aku tak percaya!!!” Haziq menjerit-jerit seperti orang kerasukan.
Beberapa orang jururawat memegang kaki dan tangannya. Lalu datang seorang doktor menyuntik ubat penenang di tangannya. Tidak lama kemudian, Haziq beransur tenang. Jururawat-jururawat itu mula melepaskan tangan dan kakinya.
Melihat keadaan anaknya itu, Habsah menangis teresak-esak. Gilirannya pula memegang tangan Haziq. Bukan dengan kekerasan tapi penuh dengan kelembutan dan kasih sayang dari seorang ibu. Tangan anaknya itu diusap lembut. Dengan penuh linangan air mata, hatinya merintih dan berdoa padaNya.
“Ya Allah, ampunkan aku kerana aku gagal mendidik anakku menjadi orang yang redha akan ketentuanMu….”
Habsah dikejutkan dengan sentuhan dari seorang jururawat dari belakangnya. Lantas dia mengesat air matanya yang berjuraian di pipi.
“Maaf buat mak cik terkejut. Doktor ingin berjumpa dengan mak cik,” kata jururawat itu. Habsah sekadar mengangguk perlahan.
“Mari ikut saya ke bilik doktor, mak cik.”
“Baiklah,” ujar Habsah lalu mereka pergi meninggalkan Haziq yang masih terbujur di atas katil itu.
Share this novel