Jantung Saiful bagaikan terhenti. Dia cuba berlari sejauh yang mungkin. Mencari bekalan air untuk diminum. Sejak dari tadi dia kehausan dan bekalan air yang dibawa juga telah habis.
Entah apalah malang nasibnya kali ini. Dia jauh ditinggalkan oleh rakan-rakannya. Pasti mereka semua sedang mencari dia ketika ini. Lagipun hari sudah menginjak senja. Silapnya cuma dia ralit mendengar lagu yang dialunkan tadi. Entah apa rentaknya dia sudah lupa pula. Tapi melodinya tetap diingatan.
"Saiful !." Laungan namanya bergema. Wajah Herry cemas memerhati sekeliling.Mencari Saiful entah di mana.
“Herry... Bagi aku air," Saiful dengan tercungap-cungap menepuk bahu Herry dari belakang. Terkejut bukan kepalang Herry bila disergah sebegitu. Terasa jantung mahu melompat keluar.
"Engkau ni Saiful. Mujur aku tak terbang," dia sudah mengurut dada sambil mencapai bekas minuman yang masih berisi separuh lagi lalu dihulur pada Saiful. Bekas air dicapai laju lantas air diteguk pantas.
"Engkau hilang ke mana?." Hanya isyarat tangan ditunjukkan. Menuju ke satu arah. Agak jauh dan tiada apa-apa yang menarik pun tempat yang ditunjukkan. Hanya pokok-pokok yang tumbuh di sana-sini.
"Buat apa lama kat situ?."
Bekas berisi air ditutup. Terasa lega dan puas tekaknya tidak terkata. Soalan dibiarkan tanpa jawapan. Dia sendiri tidak tahu mengapa lagu itu yang selalu didengarinya sejak akhir-akhir ini. Saiful mencakar-cakar tanah dengan hujung kayu yang dipegangnya. Hatinya terasa resah yang tak mampu digambarkan. Sejak semalam lagi.
"Tak ada apalah. Jom!. Diaorang tentu risau kalau tak jumpa aku," ujar Saiful seraya menarik tangan Herry.
Riuh rendah bas yang membawa mereka pulang. Sekejap sahaja riuhnya. Tidak sampai sejam, suasana menjadi sunyi sepi. Masing-masing kepenatan dengan ekspedisi mendaki Gunung Tiong yang baru berakhir tadi. Saiful tidak mampu melelapkan mata meskipun badannya keletihan. Ingatannya berlegar jauh kepada arwah Norita, tunangannya.
Share this novel