Alunan rentak irama dan lagu itu berkumandang lagi. Pantas Saiful menoleh mencari-cari empunya suara. Lagu itu adalah lagu yang sama disiulkan oleh Norita sebulan sebelum arwah pergi.
"Kau pandang apa ni Saiful ?. Gelisah aje aku tengok."
"Lagu tu... Lagu...."
Herry mengerutkan dahi. Dia langsung tidak mendengar sesiapa pun yang menyanyi.
"Merepeklah kau ni. Dah nak maghrib macamni mana ada orang menyanyi." Herry memerhati sekeliling. Yang ada hanyalah sekumpulan anak-anak yang sedang bermain. Riuh bunyinya bila disergah oleh ibu bapa menyuruh mereka pulang. Herry tersenyum. Teringat kisahnya sewaktu kecil dahulu. Sama seperti itu.
"Eh... Abang. Abang Saiful kan." Muncul seorang kanak-kanak perempuan di hadapan Saiful dan Herry. Tercungap-cungap kepenatan setelah berlari. Wajahnya mengingatkan Saiful kepada arwah Norita.
"Z !." Tersenyum budak itu bila Saiful mengingati namanya. Riang bukan main bila bertemu Saiful. Z seusia adiknya, Deknor. Berumur 11 tahun.
"Z dari mana ni?."
"Tuuu." Muncungnya panjang menunjukkan taman permainan yang tidak jauh.
Entah apa lagilah celoteh Z. Saiful rasa terhibur bila mendengar Z sudah mula bercakap. Menurut arwah, Z adalah anak Professor Meor. Professor yang bersikap pelik dan ganjil serta tidak bergaul dengan jiran tetangga. Bahkan professor itu dikenali kerana sikapnya yang sebegitu. Mereka baru tinggal di kejiranan itu sekitar dua bulan yang lalu. Pada awalnya, Z tidak mempunyai sebarang teman malahan setiap hari Norita yang akan menemaninya. Sesekali Saiful juga turut melayani karenah anak itu. Sebab itulah mereka saling mengenali.
"Z !. Berapa kali ayah pesan. Jangan bercakap dengan orang yang tak kenal!."
Share this novel