Bab 15

Other Completed 6242

PEJAM celik pejam celik, Haura' kini telah kembali ke tanah air setelah menamatkan pelajarannya. Dia pulang dengan gelaran Profesor Doktor Widad Haura' binti Yusof. Kepulangannya menggemparkan Malaysia. Ramai yang hadir di KLIA menyambut. Mereka sedar, anak-anak muda seperti inilah yang mereka perlukan. Bukan hanya menjadi kebanggaan negara, malah harapan agama. Pemuda yang celik mata hatinya walaupun buta matanya. Pemuda yang tak alpa pada indahnya dunia. Malah akhirat yang diutamakan.

Terkejut Haura' melihat KLIA dibanjiri beribu manusia. Tak pernah disangka ini semua hanya untuk menyambutnya. KLIA menjadi sesak. Namun tidak bising, malah ada yang berselawat yang akhirnya diikuti oleh semua umat Islam yang hadir di situ. Menitis air mata Haura'. Dia hanya seorang anak yatim piatu yang dari keluarga miskin. Allah hantar Encik Hairil mengambilnya sebagai anak angkat. Sungguh kuasa Allah begitu hebat. Hikmah Allah begitu besar.

Akhirnya, Haura' mendirikan sebuah madrasah. Madrasah tempat dia mendidik anak-anak yatim menjadi hafiz dan hafizah. Madrasahnya terkenal di seluruh Malaysia. Ibu Najwa dan anak-anak jagaannya juga dibawa belajar di situ. Haura' mengajar tanpa bayaran. Niatnya kerana Allah. Rezeki Allah itu luas. Apa yang ada dikongsi bersama. Yang tiada diusaha dicarikan. Cita-citanya menjadi seorang pensyarah juga tercapai. Hidupnya walau tak pernah terpisah oleh ujian, namun dalam dirinya tak hilang ketabahan. Hikmah itu sentiasa ada di sebalik ujian.

******************************

Haura' berniat menziarahi kubur arwah umi, ayah dan sahabat karibnya. Diajak Puan Humaira dan Encik Hairil untuk ke sana sekali. Dapatlah juga mereka menenangkan fikiran melihat kehijauan alam di Selangor. Selesai menziarahi kubur arwah ayah dan uminya serta Ana sahabatnya, dia melawat pula ibu bapa Ana. Rindunya terubat sedikit tatkala berjumpa dengan keluarga Ana. Apatah lagi, wajah ibu Ana sangat mirip seperti Ana. Dipeluknya ibu ana buat melepaskan rindu. Setelah berborak-borak agak lama, Haura' dan keluarga angkatnya meminta diri untuk pulang. Sempat mereka bertukar-tukar nombor telefon. Senang untuk dihubungi.

Ibu Ana senang dengan perangai Haura' yang pemalu dan sopan sejak dulu. Katanya berhikmah mudah diterima orang. Pendapatnya bernas. Otaknya cergas. Fikirannya cekap. Tafsirannya tepat dan pantas. Hebat anak muda itu. Pakaiannya yang mengikut syariat menambah kagum dalam hati setiap manusia yang mengenalinya. Jiwanya kental. Tak pernah mengeluh. Walau jalannya sukar, tetap ditempuh. Kerana dia yakin dengan janji Allah. Firman-Nya dalam surah Al-Insyirah ayat 5 yang bermaksud; bahawa sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahannya. Ditegaskan sekali lagi dalam ayat 6. Betapa segalanya bila kerana Allah akan ada jalannya.

Dikejutkan lagi, rupanya ayah kandungnya mempunyai tanah 5 ekar yang diwariskan kepadanya. Haura' hanya mengambil satu ekar untuk dijadikan sebuah kebun dan bakinya diwakafkan untuk dibina sebuah masjid. Masjid yang berciri sederhana tetapi unik. Pendapatannya semakin bertambah. Bukan hanya menjadi seorang pendidik, malah menjadi seorang usahawan yang berjaya. Sayur-sayuran dan buah-buahan yang diusahakan oleh Haura' dan para pekerja yang diupah mendapat permintaan yang tinggi di Malaysia. Sayur dan buahnya segar dan manis. Kebanyakan ibu bapa berasa gembira melihat anak-anak mereka kini gemarkan sayur.

Sebuah rumah banglo 2 tingkat yang diwariskan kepadanya diubahsuai menjadi lebih menarik kemudian dijadikan sebuah villa untuk berehat. Juga disewakan buat sesiapa yang memerlukan dengan harga yang rendah. Niatnya ingin membantu, bukan membebankan. Biarlah dia rugi di dunia, asalkan tak muflis di akhirat sana. Hidupnya yang senang memang tak lari dari kebencian orang. Namun Haura' bijak mengatur langkah. Peniaga-peniaga yang sebelum ini berasa terancam hasil mereka tak laku, diberi tawaran bekerja di kebunnya. Para pekerja juga senang untuk solat kerana masjid hanya di sebelah kebun. Pekerja memang digalakkan solat berjemaah di masjid yang dinamakan Masjid Yusof itu. Sempena nama ayah Haura'. Biarpun jasad telah hilang, nama tetap diabadikan.

Haura' semakin dewasa. Dia juga manusia biasa. Ingin merasa hidup berkeluarga. Punyai suami dan anak-anak. Namun, terburu-buru bukan sikapnya. Sabar itulah kekuatannya. Dia yakin, jodoh itu ada. Mungkin Allah belum mempertemukan mereka. Sedikit masa lagi. Haura' tak putus asa memohon pada Ilahi. Doanya kala dini hari, dia tahu mati itu pasti, tapi, dia juga hendak melahirkan sendiri waris menyambung bakti. Pada agama dan negara.

Doanya tak jemu siang dan malam. Akhirnya Allah memberi jawapan. Jodohnya yang disangkakan jauh, rupanya sudah lama di depan mata. Abang Ana masuk meminang. Istikharahnya menemui Widad Haura'. Haura' menerima setelah istikharah. Dalam mimpi dia temui jawapan. Satu bonus buatnya. Abang Ana berjubah putih dan berkopiah putih. Wajahnya berseri. Senyumannya menyinar. Al-Quran dihulurkan pada Haura'. Dengan tangisan, Haura' menyambut. Kemudian, dia terjaga dari tidurnya dan terus membaca al-Quran. Tenang hatinya.

Hari berganti hari, tibalah akhirnya tarikh penyatuan. Haura' menanti penuh debar. Sekali lafaz, dia menjadi seorang isteri. Statusnya berubah, tanggungjawab bertambah. Namun dia tetap hamba Allah. Syukurnya dipanjatkan. Doanya moga dia dan Abang Ana berjaya melahirkan dan mendidik anak-anak dengan akhlak al-Quran dan acuan sunnah. Amir Fawwaz jodohnya. Cintanya. Syurganya. Kekasihnya. Semoga hari yang mendatang dapat dia tempuhi tanpa mengeluh. Harapnya dia akan terus mendidik para pemuda menjadi syabab yang berguna. Biar Malaysia benar-benar menjadi sebuah negara Islam. Dengan kehendak-Nya.

****************************

Asyraf hadir di majlis walimatul urus Widad Haura' dan Amir Fawwaz. Rindu kepada sahabat terubat apabila bertemu namun, dalam hati menyimpan sedikit rasa cemburu melihat sahabatnya bersama dengan Widad Haura'. Masakan tidak, Widad Haura' adalah gadis pertama membuka pintu hatinya. Malah, menjadi isi doanya saban hari dan waktu. Namun, sudah takdir Tuhan, Haura' bukan jodohnya. Pasti Allah sediakan yang terbaik sesuai dengannya. Yang perlu Asyraf lakukan hanyalah menyiapkan diri menjadi insan yang lebih baik untuk membimbing keluarganya suatu hari nanti.

"Assalamu'alaikum ya syeikh!" Sapa Asyraf.

"Wa'alaikumussalam... Masha-Allah! Rindu ana pada enta, syeikh Asyraf..." jawab Amir Fawwaz lantas berpelukan.

"Mabruk ya syeikh Fawwaz! Barakallahu lakuma wa barakah 'alaikuma fii kheir!" Doa Asyraf.

"Allahumma aamiin! Syukran atas doanya... Enta macam mana? Sudah ada yang terpikat atau diikat?" Amir Fawwaz mengusik sahabatnya itu.

Amir Fawwaz dan Asyraf telah bersahabat sejak di bangku sekolah rendah. Ada kisah yang menyebabkan mereka bersahabat walaupun berlainan kelas. Tanpa disangka, mereka bertemu lagi di sekolah menengah yang sama dan melanjutkan pelajaran di Madinah bersama-sama. Hubungan yang rapat itu tiba-tiba terputus apabila Amir Fawwaz pindah ke Selangor. Namun, syukur atas pertemuan dan ukhuwah bertaut kembali.

"Belum lagi, sahabat... doa-doakanlah buat ana!" Balas Asyraf.

"Insha-Allah ya syeikh! Insha-Allah. Ramai meminatimu dari dahulu. Hanya enta yang jual mahal..." usik Amir Fawwaz lagi dan mereka tertawa kecil.

"Syeikh Fawwaz still tak berubah. Kuat mengusik!" Asyraf cuba mengalih topik.

"Syeikh Asyraf pun tak berubah. Masih bujang!" Usik Amir Fawwaz dan disambut tawa yang agak kuat berbanding tadi.

"Enta ni ada-ada saja... memang tak kering gusi bila berjumpa." Asyraf bersuara walaupun masih tertawa kecil.

"Kalau enta nikah nanti, jemput ana!" Kata Amir Fawwaz.

"Insha-Allah! Ana masih mencari. Ana juga impikan wanita solehah menjadi permaisuri di hati." Ucap Asyraf malu-malu.

"Ana doakan! Enta seorang soleh, pasti hadiahnya isteri solehah. Allahumma aamiin..." balas Amir Fawwaz dan disambut doanya oleh si sahabat.

"Assalamu'alaikum. Err, assif ganggu. Boleh ana bertanya sikit?" Perbualan mereka tergendala.

"Wa'alaikumussalam. Tafaddholi..." jawab Amir Fawwaz.

"Isteri enta mana, Fawwaz? Melilau dah ana mencari tak jumpa-jumpa." Mereka tercengang mendengar bicara gadis berpurdah itu.

"Assifni, enti siapa ya?" Tanya Amir Fawwaz.

"Allahu, lupa pula ana. Ana, Aqilah." Jawab gadis itu. Makin terkejut dua pemuda itu.

"Aqilah 'singa' tu ke?" Asyraf bertanya selamba.

"Enta memang tak berubah, Asyraf..." gadis itu bersuara agak geram.

"Kak Aqilah?" Satu suara menyapa dari belakang. Aqilah menoleh.

"Widad Haura'!" Terus dipeluknya isteri Amir Fawwaz itu. Rindunya tidak terkata.

"Mari kak, kita berborak di dalam. Lebih nyaman..." ajak Widad Haura'.

"Sekejap." Tangan Haura' dipegang menahan dari pergi. Aqilah menoleh ke arah dua pemuda tadi kembali.

"Asyraf, izinkan ana pinang enta buat diri ana." Senafas bicaranya. Asyraf tersedak keras. Haura' kaget. Amir Fawwaz tak menyangka.

"Ya, syeikh Asyraf. Puteri solehah yang melamarmu. Terimalah!" Asyraf menunduk malu. Dah macam anak dara.

"Tak mengapalah. Bila-bila pun boleh. Ana ke dalam dulu dengan Haura'. Jom, Haura'." Aqilah dan Haura' berjalan menuju ke dalam rumah.

"Tunggu!" Kedengaran suara Asyraf menahan sebelum sempat mereka masuk ke dalam rumah.

"Ana terima!" Sekali lagi suara Asyraf terdengar di situ. Aqilah dan Haura' terus melangkah masuk. Di sebalik secebis kain menutup wajah, ada senyuman terukir.

Sungguh, jalan dan takdir Allah begitu menarik! Begitu indah!

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience