Bab 5

Other Completed 6242

HAURA' menguatkan diri melangkah ke kamar mandi. Di sepertiga malam yang sunyi, wudhuk diambil walau terasa dingin hingga ke tulang. Haura' sedar, kunci kekuatan seorang muslim ada pada tahajjudnya. Seperti Sultan Al-Fateh yang tak pernah meninggalkan tahajjudnya sejak baligh. Malah tenteranya begitu hebat. Taat perintah Allah, ikut sunnah Rasul, patuh pada pemerintah. Semangat jihad tinggi. Menang atau syahid menjadi idaman hati. Matlamat hanya satu mencari redha Ilahi.

Sejadah dihampar menghadap kiblat. Telekung disarung. Niat dan takbir di sepertiga malam sangat menenagkan. Selesai melakukan tahajjud, Haura' bangun lagi melaksanakan solat sunat taubat pula. Takkan disia-siakan peluang ini. Bangun di sepertiga malam aturan Ilahi. Dia senang menyambut panggilan kekasihnya, Allah SWT.

Tersesak-esak dia menangis saat berdoa memohon ampun. Dia teringat sesuatu saat beristighfar. Teringat satu ayat dari fac yang pernah dia terbaca. Mengingat ayat itu, istighfarnya diganda. Dosanya bukan satu dua, banyak. Terlalu banyak. Dalam hatinya, dalam fikirannya hanya memikir dosanya yang menggunung. Air matanya deras mengalir. Tak terasa dirinya sudah duduk terlalu lama. Tak terasa sakit di kepalanya. Tak terasa kaki dan tangannya kebas. Hanya terus hanyut dalam taubatnya pada Yang Esa.

Bayangkan, saat dirimu sedang beristighfar... Lalu Allah berkata, "Aku ampunkanmu wahai hambaku.. Aku ampunkanmu..."

Ayat itulah yang berlegar di ruang mata Haura'. Sungguh... Sangat besar kasih sayang Allah pada hambaNya. Sangat luas pintu pengampuananNya. Terbuka sentiasa pintu taubatNya. Allah Maha Pengampun. Haura' terus asyik dalam taubat. Asyik dalam munajat. Hanyut dalam kasih sayang dan rahmat. Rahmat Allah yang tiada batasnya. Seronok melaksana ibadah sunat. Terhibur dengan ayat-ayat cintaNya. Hinggalah saat azan subuh berkumandang, barulah Haura' berhenti membaca al-Quran. Selesai membaca doa selepas azan, Haura' solat sunat sebelum subuh dua rakaat. Tidak lama kemudian, terdengar suara ibu Najwa mengejutkan anak-anak penghuni rumah itu. Haura' membantu mengejutkan adik-adik di situ. Kakak-kakak sudah terbuka luas mata saat memdengar azan lagi.

Anak-anak di situ pantas melaksanakan rutin mereka. Menyiapkan diri sebelum mendirikan solat subuh berjemaah. Ibu Najwa menjadi imam memandangkan di rumah itu semuanya perempuan. Haura' membantu ibu Najwa membentang sejadah di ruang solat sementara menunggu penghuni yang lain bersiap. Bagi yang ma'zurah pula, iaitu uzur syar'i, mereka ditugaskan menyediakan sarapan. Begitulah ibu Najwa mendidik 'anak-anak' perempuannya.

Usai solat subuh berjemaah, semuanya mengambil al-Quran dan mengaji. Setiap satu waktu, 2 muka surat. 2 bulan, dah boleh khatam andai tiada sebarang halangan. Haura' menyudahkan bacaannya, kemudian, mereka semua menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh Kak Aisyah. Salah seorang penghuni yang paling tua di situ. Bersalaman, berselawat dan seterusnya berpelukan. Terasa hangatnya mahabbah. Terasa mengalir kukuh sebuah ukhwah. Mereka bukan setakat sahabat, malah sebuah usrah, keluarga. Masing-masing membantu mengemaskan ruang solat. Telekung dan sejadah dilipat dan diasangkut kemas. Al-Quran disusun atur di rak. Indahnya hidup bila segalanya kerana Allah.

Beramai-ramai menyerbu dapur. Lapar semuanya. Bau makanan dari dapur seolah menarik-narik mereka yang kelaparan. Hari ini, Kak Ina yang memasak. Kalau Kak Ina masak, memang sampai jilat jari. Sunnah tau. Masing-masing mengambil tempat. Setelah setiap 4 orang mengambil 1 talam, Haura' pun mengetuai bacaan doa makan. Makan dalam suasana yang senyap, aman dan tertib. Makan berjemaah ikut sunnah. Haura' gembira dengan suasana ini. Terasa ketenangan mengalir dalam jiwa bila sunnah diamal.

Selesai makan, dua orang dengan sukarela membasuh talam. Yang lain membersih dan mengemaskan tempat makan. Teratur semuanya. Aktiviti selepas ini adalah bebas. Sama ada nak membaca, buat kerja sekolah, jika ada kelas tambahan, pergi kelas tambahan, ada yang menyanyi, menyiram pokok bunga, bermain di taman permainan, senaman, menonton televisyen dan macam-macam aktiviti lain. Yang pasti, tidur bukan suatu pilihan. Haura' memilih untuk membaca buku pemberian arwah sahabatnya. Membaca di taman, dengan gelak tawa riang kanak-kanak dan keindahan pelbagai pokok bunga yang bermacam-macam warna sangat menenagkan. Mata pun sejuk memandang. Hati pula tak lekang dari memuji Allah SWT.

Lima muka surat dibaca, dan air mata bergenang. Rindunya pada sahabat tak pernah akan hilang. Pada umi ayah lebih lagi. Dalam fikirannya, ini tarbiyyah dari Allah buatnya. Yang dia tahu, ada hikmah di setiap suatu yang menimpanya. Kalau dulu, hikmah yang dia terima setelah pemergian ibunya adalah Allah hadiahkan seorang sahabat, kini dia harus lebih bersabar mencari hikmah yang Allah sembunyi. Memandang anak-anak kecil yang sedang bermain di taman, senyumannya mekar. Ya, dia harus menjadi kuat. Lebih kuat dari sebelum ini. Pasti ujian selepas ini lebih hebat. Jadi seorang yang ceria di hadapan manusia. Dan menjadi pengadu kasih dan cinta pada Yang Esa. Biarlah setiap suka dan duka diceritakan pada Allah sebelum manusia. Kerana Dia yang cipta segalanya. Suka dan duka, semua dari-Nya.

Mengimbau kembali kenangan sambutan ulangtahun kelahirannya, dia menahan sebak. Masih segar di ruang mata, senyuman arwah Ana ketika mengajaknya ke bilik untuk berehat seketika. Masih terdengar tawa riangnya saat menyuapkan kek pada Haura'. Masih teringat betapa rancaknya dia bercerita tentang keluarganya. Abangnya, ibu dan ayahnya. Masih teringat layanan first class yang diterimanya sepanjang bersahabat. Dan masih terasa sayunya mendengar kata akhir dari Ana. Kata akhir yang tersemat di hati. Salah satu punca kekuatan diri.

Haura' meneruskan lagi bacaannya. Khusyuk memahami dan mendalami. Hingga tak sedar dirinya diperhati. Sepasang suami isteri yang hadir di rumah anak yatim itu dengan tujuan untuk mengambil anak angkat. Haura' pilihan mereka. Haura' hanya tersedar dari dunia bacaan selepas ditepuk bahunya oleh Ibu Najwa. Dimaklumkan padanya tentang hasrat sepasang suami isteri.

Haura' mengikut ke pejabat pengurusan anak-anak yatim. Setelah diterangkan setiap satu perkara, suami isteri itu bersetuju. Giliran Haura' membuat keputusan. Sama ada menerima pelawaan atau menolak permintaan. Haura' cuma mampu bersuara meminta masa. Berfikir sewajarnya, dan beristikharah. Suami isteri itu hanya tersenyum bersetuju.

"Haura' fikir dulu ye sayang. Kalau setuju, kami ambil Haura'. Ye?" si isteri mengusap tangan kanan Haura'. Lalu dipeluk erat. Haura' rindukan kasih sayang seorang ibu.

"Terima kasih..." ucap Haura'. Berterima kasih kerana dirinya diberi ruang dan masa. Berfikir dan menimbang tara.

*bersambung...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience