BAB 8 MENGHARAP CINTAMU

Other Completed 3216

Jam di dinding sudah menunjukkan ke pukul 11.30 minit malam. Aina menggeliat kecil sambil menguap. Dia mencapai mug air Nescafe sambil matanya meneliti aksara-aksara di skrin komputer di hadapannya.

Aina baru sahaja mengemaskini status baru di Facnya. Setelah penat menelaah kerja pejabat yang dibawa pulang, dia terpanggil untuk membuka lelaman itu. Sudah berapa hari tidak dijengah cerita-cerita di sana.

Kali ini statusnya bertajuk ‘MENCARI CINTA ILAHI’. Dari mana idea itu datang dan mengapa tajuk itu yang dipilih, dia sendiri tidak tahu. Ilham datang spontan dan jari pantas merakam.

Sedang dia bercadang mahu memutuskan talian, tiba-tiba dia terima satu notifikasi menandakan ada yang memberi ulasan pada statusnya. Ulasan daripada seorang jejaka bernama Fir.

“Dah jumpa ke belum cintanya tu? Kalau dah, sharelah. Nak juga saya tau di mana nak dapatkan cinta seperti itu.”

Aina tergelak. Selamba sungguh. Dari situ mula perkenalan antara Aina dengan Fir. Seorang yang sederhana baik daripada peribadi mahupun kehidupannya. Dia hanya bekerja sebagai Dispatch Rider. Fir muncul tenggelam timbul di alam maya kerana kerap ke luar negara.

“Fir sambung belajar,” katanya.

“Alhamdulillah lah. Di negara mana dan dalam jurusan apa?’

“Dalam jurusan yang menjurus ke arah kebaikan dan di negara yang sudi menerima Fir sebagai pelajar.”

Tidak pula Aina ketahui kebenarannya. Sukar mahu menilai sama ada Fir bergurau atau sebaliknya. Sifatnya selalu bersahaja. Fir tidak pernah serius membincangkan hal dirinya. Perbualan mereka sejauh ini hanya berkisar isu semasa. Jarang menyentuh hal-hal peribadi.

Dalam masa yang sama juga Aina memulakan perkenalannya dengan seorang lagi pemuda bernama Dani. Juga kerana tertarik dengan ulasan Dani di facnya. Kata Dani.

“Saya sanggup jadi peneman untuk bersama mencari cinta ilahi jika adik sudi.”

Berbicara dengan Dani di alam maya, Aina rasa sedikit segan kerana Dani seorang yang tidak putus idea bercerita. Ada saja ceritanya yang mencuit hati. Dari cerita Dani, Aina dapat rasakan bahawa Dani seorang yang berpengaruh. Dani banyak berkongsi ilmu agama dan sering mengingatkan Aina akan tanggungjawab sebagai orang Islam.

“Ni sebelum layan fac ni, dah solat dulu ke belum?” Itu pertanyaan utama yang wajib Aina jawab setiap kali mahu memulakan perbualan dengan Dani. Sehingga adakala di saat Aina sedang ‘bercuti’, lidahnya kelu untuk menjawab.

Dani juga seorang yang sangat berterus terang, tidak pernah berlapis kata jika mahu tahu sesuatu tentang diri Aina.

“Dani mahu kenal Aina dengan lebih rapat.” Itulah alasannya.

Sememangnya sejauh ini Aina, Fir dan Dani, saling tidak mengenali wajah masing-masing kerana di Fac mereka merahsiakan identiti sebenar. Tidak mustahil bagi seorang jejaka yang sempurna mahu melihat dan mengenali wajah gadis yang menjadi kenalannya. Namun dibandingkan dengan dengan Fir, Dani yang lebih bersifat gentelman. Dia yang kerap bertanya.

“Bolehlah kasi nombor telefon?”

“Bila boleh jumpa?”

“Dani nak jumpa Aina lah..,” dan sebagainya. Sehingga adakala Aina sampai terpujuk dengan rayuannya.

Manakala Fir pula, tetap dengan keselambaannya.

“Aina tak ada nombor handphone ke? Mana tahu kalau tiba-tiba Fir tak balik selepas berada di luar negara.”

Aini tidak tertahan gelak. Tetapi hanya sekali dua sahaja Fir bersuara. Kemudian senyap sekejap. Tidak sungguh-sungguh meminta. Bila-bila selepas itu Fir akan bertanya lagi.

“Ya lah… dengan nombor tu nanti, ada juga cara keluarga Fir nak beritahu Aina tentang kehilangan Fir. Dah lah Aina tak mahu jumpa Fir.”

“Ya ampun… Fir, Fir… Bila masa pula Fir pelawa nak jumpa?”

Namun Fir tidak pernah memaksa kerana hormat dengan pendirian Aina yang belum bersedia untuk bertemu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience