BAB 9

Other Completed 3216

Persahabatan terjalin sehingga bertahun lamanya. Dani semakin mendesak sementara Fir sering meluahkan rasa menerusi penulisannya di Fac. Aina tahu dirinya mendapat perhatian dua pemuda. Bila tiba saat Aina sendiri sudah mula memikirkan hal masa depan, Aina keliru. Siapa pilihannya?

Aina tidak dapat mencari kelebihan dan kekurangan untuk memperbandingkan antara Fir dan Dani. Kedua-duanya sangat istimewa. Fir juga tahu antara dia dan Aina, ada Dani bersama mereka. Dani juga tahu antara dia dan Aina ada Fir bersama mereka. Mungkin sifat mereka berdua yang sangat memahami dan menghormati pendirian Aina, membuatkan Aina takut untuk mengecewakan mereka. Pastinya pilihan Aina hanya seorang. Dan seorang lagi sudah pasti akan kecewa. Aina harus memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalahnya.

Akhirnya Aina mendapat satu idea. Itupun setelah dia beristikharah. Dia mahu bersikap adil. Aina pernah terbaca bahawa sepatutnya wanita berhak memilih imamnya dan sangat tidak mustahil jika wanita itu harus meminang jejaka yang dirasakan sangat sesuai menjadi ketua bagi keluarganya. Aina perlukan suami yang mampu mendidiknya. Namun dalam masalah dia, Aina tidak mungkin meminang bakal suaminya, dia masih gadis melayu yang punya sifat malu.

Aina bertanya dengan mereka satu soalan agama pada hari yang berbeza. Dia mahu menduga sejauh manakah pengetahuan agama mereka. Syaratnya soalan itu perlu dijawab dalam masa seminit.

“Dari kitab apakah kita boleh baca cerita tentang tarikh terakhir khutbah Nabi Muhammad SAW?”

Aina mulakan dengan Dani dahulu. Hanya soalah dan syarat. Tidak diceritakan tujuannya bertanya. Dani menjawabnya lebih dua minit lewat dari masa yang diberi. Tapi jawapannya betul.

Pada hari berikutnya Aina bertanya pula dengan Fir. Biasalah… Fir dengan sikap bersahajanya, dia mengambil masa satu hari untuk menjawab. Itu pun jawapannya…

“Fir bukan ustaz…”

“Aina menduga kerana bertujuan. Aina perlu adil. Lagi pula ini soal masa depan. Orang yang menjawap dengan cepat dan betul, itulah pilihan Aina. Aina minta maaf.”

Pilihan sudah dibuat. Dani sangat gembira. Fir diam sahaja.

Selanjutnya, Aina bersetuju untuk merperlihatkan identiti masing-masing. Tidak perlu rahsia antara mereka bertiga lagi. Persahabatan harus diteruskan walau apapun perubahan perhubungan mereka.

Dengan Dani, Aina bersetuju untuk bertemu atas permintaan Dani juga. Aina mahu lihat keikhlasan Dani menerima diri dia seadanya. Yah… Dani memang kacak tapi sifat luarannya dan perbualannya agak berbeza dari bibit ayat yang selalu dicurah di alam maya. Di saat itu kebenaran terserlah…

“Dani mahu berterus terang dengan Aina yang sebenarnya selama ini Dani banyak menipu kerana mahukan perhatian Aina. Segala apa tentang agama semuanya melalui copy paste.

Aina terkaku. Bertakafur sejenak. Inikah bakal suami yang dia pilih untuk menjadi pembimbing dirinya dan anak-anak nanti?

“Maafkan Dani. Dani berani mengaku sekarang ini sebab Dani ikhlas nak cari cinta illahi bersama dengan Aina.”

Aina perhatikan mata Dani semasa meluahkan kata-kata itu. Terserlah kejujurannya. Yang penting ada keikhlasan dalam senyuman Dani sewaktu pertama kali Aina memperlihatkan wajahnya. Sungguhpun Dani seorang yang kacak dengan gaya terkini namun Dani menerima dirinya seadanya. Aina yang berhijab labuh.

Manakala dengan Fir pula, mereka bersetuju untuk memperlihatkan foto sahaja.

“Alhamdulillah… Fir memang tahu Aina bagaimana sedari mulanya. Kekalkanlah keperibadian Aina ya…”

“Fir belum tunjukkan diri Fir?”

“Fir bersyukur diberi kesempurnaan. Kalau Aina ada simpan surat khabar hujung minggu lepas, carilah Firdaus Ghani di sana.”

Pelik tetapi Aina menurutinya juga. Bukan kerana teruja untuk melihat wajah Fir tetapi seperti ada yang tidak kena. Aina seolah telah mengenali Fir sebelum ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience