7

Other Series 3806

SEMINGGU sudah berlalu sejak pertama kali aku jumpa Rizqi di pasar. Dalam masa seminggu itu juga lah aku cuba ambil peluang untuk lebih mengenali si kecil itu. Aku cuba untuk menjadi lebih sensitif pada apa yang disukai dan tidak disukainya.

Aku memandang Rizqi yang tika ini sedang nyenyak tidur di tilam aku. Aku senyum sedikit. Sejadah yang terhampar di lantai aku angkat dan lipat. Kemudian, sejadah tersebut aku letakkan dalam almari.

Aku masih ingat tempoh hari ketika Rizqi melihat ayahnya berdekatan kedai baju. Pulang saja kami ke rumah pada hari itu, Rizqi langsung tidak buka cerita pasal ayahnya. Aku pula tak mahu buat dia rasa tak selesa. Jadi aku memilih untuk diam saja.

Pun begitu, aku masih tertanya apa maksud kata-kata si comel itu. Sebab dia sayang, dia tak mahu jumpa ayahnya?

Aku melabuh punggung ke atas tilam. Rambut Rizqi aku usap lembut.

"Kau tak nak lapor pada polis ke? Kes Rizqi ni boleh dilabel hilang. Dan kau pula boleh dilabel penculik." Tiba-tiba suara Radin kedengaran. Imbasan daripada perbualan kami tempoh hari bermain kembali dalam fikiran.

"Kalau aku lapor polis pun, diorang cuma akan kembalikan Rizqi tu kat mak ayah dia balik je. Apa yang diorang buat pada Rizqi tak terbongkar. Kalau aku lapor, sama la macam aku hantar dia kat sarang rimau." Balas aku.

Radin tidak membalas untuk seketika. Mungkin dia memikirkan sesuatu. Mungkin juga dia memberi ruang untuk aku menyusun apa yang serabut dalam minda aku.

"Aku setuju dengan kau. Tapi niat kau tak membolehkan cara kau ni. Diorang masih penjaga Rizqi yang sah." Radin menyuarakan pendapatnya.

Aku kelu. Kata-kata Radin memang tak dapat dinafikan.

"Kau rasa.. apa patut aku buat?" Soal aku. Buntu.

"Hurm.. aku tak tahu la apa yang aku nak cakap ni kejam atau tidak." Radin seperti ragu-ragu hendak menyuarakan cadangannya.

"Apa? Kau cuma perlu bagi idea dan pendapat je. Aku yang akan lunaskannya. Tapi sebelum tu, aku akan nilai dulu baik atau tidak." Aku meyakinkan Radin.

"Macam ni. Kau kena minta Rizqi sendiri yang buat report pasal mak ayah dia dera dia. Tapi bila kau buat macam ni, Rizqi lah yang akan sakit emosi dia. Nak kena ingat semua deraan tu."

Radin diam seketika sebelum kembali menyambung.

"Kalau kau boleh sumbat mak ayah Rizqi tu dalam penjara, kau mungkin ada peluang untuk dapatkan hak penjagaan ke atas Rizqi. Itupun kalau si kecil tu takde saudara lain. Kalau ada, kau kena lepas kat diorang. Tapi, bukan ke itu lagi baik daripada dia duduk ngan mak ayah dia?" Radin menyudahkan saranannya dengan persoalan.

Aku hanya diam. Memikir baik buruk saranan tersebut.

"Abang?" Suara mamai Rizqi yang sedikit serak mematikan lamunan aku.

Aku menoleh. Memandang Rizqi. Tangan aku masih berada di kepalanya. Wajah Rizqi aku tatap. Senyuman di bibirnya terukir. Kedua-dua tangan kecil nya memegang tangan aku yang sedang mengusap kepalanya.

Melihat senyuman itu, aku jadi agak takut. Tak tergamak aku untuk memulangkan si kecil itu pada rumah asalnya. Apakah cadangan Radin itu yang terbaik? Sanggupkah aku untuk membiarkan si kecil itu membuka lukanya sendiri? Tapi yang pasti, aku tak mahu kehilangan senyuman itu.

Aku tak boleh mementingkan diri sendiri. Aku perlu buat keputusan. Biarpun ia mungkin melukakan aku atau si comel itu. Aku perlu memutuskan apa yang terbaik buat aku dan dia.

"Abang, Rizqi mimpi pasal abang tadi. " Ujar Rizqi.

"Ye ke? Abang buat apa dalam mimpi Rizqi?" Soal aku.

"Abang tengah nangis? Buruk betul muka abang masa nangis. " Rizqi tergelak selepas itu.

"Nak cakap abang buruk la ni? Kenapa abang nangis? "

"Tak buruk la. Abang hensem je. Abang nangis sebab ada orang pisahkan kita."

Aku terkedu mendengar jawapan Rizqi. Tapi kemudian aku pantas membalas.

"Ha nampak tak, dalam mimpi pun abang sayang Rizqi juga." Aku memegang tangan si kecil itu.

"Tapi, Rizqi pun sedih juga dalam mimpi tu. Cuma tak nangis macam abang la. Hehe." Rizqi senyum nakal.

"Oh, nak usik abang la ni. " Aku muncungkan bibir. Acah-acah merajuk sikit.

"Tapi kalau abang betul-betul pergi jauh, Rizqi nangis juga kot." Ujar Rizqi. Tiba-tiba saja dia sebak. Terlihat sedikit air mata di matanya.

Ah.. aku turut sebak. Aku terus menbawanya dalam rangkulan.

"Abang ada je kat sini. Adik jangan la sedih. Kalau adik sedih, abang sedih juga." Aku cuba menahan getaran dalam suara.

Tuhan, berikan aku jawapan. Apa perlu aku lakukan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience