12

Other Series 3806

KERTAS di tangan Rizqi aku pandang tidak berkelip. Beberapa helaian kertas yang diklipkan bersama. Walaupun banyak perkara yang dicetak pada kertas tersebut, namun mata aku hanya tertuju pada satu tempat.

38. GAGAL.

"Ni kertas apa, bang?" Rizqi menyoal.

Aku mengambil kertas tersebut daripada tangan Rizqi. Nama penuh aku juga tertera atas kertas tersebut. Trial PT3.

"Rizqi selongkar bilik store ke?" Tanya aku tanpa menjawab soalannya.

Rizqi tersipu-sipu. Tahu salahnya.

"Apa abang ajar pasal privasi?" Tegas aku. Aku menjelingnya. Bukanlah jelingan marah. Sekadar ingin menakutkan sikit.

"Sorry. Janji tak buat lagi." Rizqi mengangkat tangannya dalam posisi berikrar.

"Yela tu. Esok buat lagi."

Rizqi menggeleng kepala laju.

"Taaakkk."

"Hurmm.."

Senyap.

Rizqi memandang aku lama. Mengharapkan sesuatu barangkali. Aku memandang wajahnya semula. Lama kami bertentangan mata. Aku mengalihkan pandangan. Comel sangat. Kalah aku kalau begitu.

"Nak apa lagi dik?"

"Tu kertas apa? Bagi la tahu." Rizqi menggesa aku.

Aku tergeleng kepala. Keluhan kecil aku lepaskan. Ni kalau tak bagitahu, sampai esok dia tanya.

"Yela.. yela. Abang bagitahu."

_______________❤️_______________

"AMIR, awak gagal lagi! Asyik main-main je. Awak ingat peperiksaan ni untuk hiburan ke? Awak kena ambil serius. Ujian ni akan menentukan masa depan awak macam mana." Suara garau dan tegas milik Cikgu Azizul bergema di setiap penjuru kelas. Kelas yang tadi riuh kini menjadi sunyi. Pun begitu, ada juga kedengaran bisik-bisik.

Amir berdiri dan berjalan mengambil kertas peperiksaan dari tangan Cikgu Azizul. Budak lelaki tersebut membuat muka toya seakan tidak peduli akan kemarahan Cikgu Azizul.

"Amir, 39!" Ujar Cikgu Azizul. Dia bukan sengaja mahu memalukan Amir tapi memang setiap kali dia menyerahkan kertas ujian, dia akan membaca markah tak kira lulus atau tidak.

Semua mata memandang Amir. Amir tersenyum seolah-olah berasa bangga. Cikgu Azizul menggeleng-gelengkan kepalanya. Kesal dengan sikap anak muridnya yang satu itu.

Cikgu Azizul melihat pula kertas ujian seterusnya. Dia menghembuskan nafas yang agak berat. Murid-muridnya menebak kertas ujian yang seterusnya juga gagal.

Cikgu Azizul menyelak-nyelak lembaran kertas ujian seterusnya yang entah milik siapa. Beberapa saat kemudian, dia menutup kertas itu.

Cikgu Azizul memandang aku. Tahu lah aku bahawa kertas itu milik aku.

"Haiqal, saya tahu awak dah cuba yang terbaik. Saya faham dan saya yakin semua orang dalam kelas ni turut faham dengan keadaan awak." Nada Cikgu Azizul tidak seperti tadi. Nadanya kembali lembut dan tenang. Perwatakan yang selalu dibawa ketika mengajar.

Aku bangun dari duduk dan berjalan mendekati Cikgu Azizul. Cikgu Azizul menyerahkan kertas ujian pada aku tanpa menyatakan markah aku.

Aku melihat markah yang tertera pada kertas ujian. 38. Wajah aku kelat. Kertas ujian dipegang sekuat-kuatnya.

Kenapa aku tak dimarah seperti Amir walaupun markah aku lebih rendah daripada dia? Tak, bukan sebab aku anak emas Cikgu Azizul.

Semua mata memandang aku dengan pandangan yang simpati. Aku kembali ke tempat duduk.

Pap! Bahu aku ditepuk perlahan. Aku memandang ke sebelah.

"Kau kuat!"

Radin.

Aku tak tahu untuk apa dia berkata begitu. Untuk memberi semangat? Apakah aku kelihatan tidak bersemangat?

"Radin, 97!"

Tepukan gemuruh kedengaran.

_______________❤️_______________

KERTAS ujian itu aku gumpalkan sehingga menjadi bulat. Kemudian, aku lemparkannya ke dinding sekuat hati. Gumpalan tersebut melantun dan jatuh ke lantai.

Aku meraup wajah. Nafas dihela tidak sekata.

'Ibu, Qal gagal lagi.'

Hati kecil aku berbisik.

Perlahan-lahan mata aku mula berair. Bayangan wajah ibu bermain di minda. Aku membayangkan ibu memujuk aku ketika ini.

'Qal rindu ibu.'

Aku meluahkan tangisan yang tidak berbunyi. Ah, sakit sekali hidup tanpa ibu. Setiap perbuatan aku mengingatkan aku pada ibu.

Aku kuat sebab ibu. Aku belajar sebab ibu. Aku berjaya sebab ibu. Tapi kalau ibu dah tak ada, untuk apa semua itu? Tanpa sebab, aku seolah-olah patung yang tak bertuan. Hidup tanpa tujuan.

"Kalau ibu dah tak ada nanti, Qal kena kuat. Ingat, tuhan selalu ada dan perhatikan kita. Qal kena yakin pada takdir." Pesan ibu bermain dalam fikiran.

"Ish, apa ibu cakap pasal mati ni. Tak sedaplah Qal dengar." Balas aku yang kurang senang mendengarnya pada masa itu.

"Ibu pesan je untuk masa depan anak ibu ni. Ibu tak nak anak ibu hilang tujuan hidup dan lupa tuhan. Ibu ni mahluk, Qal. Sebelum sayang ibu, Qal kena sayang pada pencipta ibu dulu."

Mengingatkan pesan ibu, aku beristigfar. Khilafnya aku. Patung tak bertuan? Aku punya tuhan!

Kertas yang tadi aku gumpal, aku kutip semula. Gumpalan aku buka kembali sehingga menampakkan cetakan yang tertera pada kertas. Kegagalan ini akan aku jadikan kunci kejayaan aku di masa depan.

Aku nekad!

_______________❤️_______________

Klik. Fon aku matikan. Paparan skin kembali gelap. Rizqi di hadapan, aku lihat. Sebab si kecil inilah memori aku pasal zaman sekolah itu tergamit.

"Macam best je ujian." Rizqi berujar.

"Kalau senang best la. Kalau tak, kena belajar rajin-rajin." Balas aku pula.

"Kenapa masa Rizqi sekolah tak ada ujian pun?" Soal Rizqi.

Err..

"Entah. Tapi tak silap abang, sekolah rendah ujian besar masa darjah 6 je." Balas aku.

"Oh."

Kami diam. Sunyi. Aku memikirkan sesuatu. Barangkali Rizqi juga sama.

"Rizqi tak nak pergi sekolah balik?" Soal aku.

Aku memandang si kecil itu. Dia membalas pandangan tersebut.

"Erm.. boleh ke?" Soal Rizqi kembali.

"Kalau Rizqi nak, boleh je. Tapi lepas kita uruskan pasal mak ayah Rizqi dulu." Balas aku

"Itu pun kalau cepat." Ujar Rizqi, sedikit hampa.

"Kita doa je. Tuhan pasti akan mudahkan."

_______________❤️_______________

HARI ini kami pergi ke zoo. Rancangan yang secara spontan. Sepanjang perjalanan, aku memimpin tangan Rizqi. Teruja si comel itu melihat binatang-bintang yang dipamerkan dalam zoo tersebut.

"Abang, abang takde girlfriend ke?" Soal si kecil itu tiba-tiba. Tak ada angin, tak ada ribut.

Ketika ini, kami sedang berehat di bangku bersama aiskrim kon di tangan masing-masing.

Aku mengerutkan dahi.

"Adik tahu ke girlfriend tu apa?" Soal aku. Memastikan dia benar-benar tahu apa yang disoalnya.

"Tahu."

"Apa maksud dia?"

"Teman wanita. Kekasih hati. Awek." Yakin Rizqi menjawab pertanyaan aku.

Terangkat kening aku mendengar jawapannya. Mana dia belajar ni?

"Mana adik tahu?"

"Tengok kat TV. " Balas Rizqi bersahaja.

Aku membuat muka. Entah rancangan apa lah budak ni tengok. Salah aku juga tak pantau apa yang ditontonnya.

"Jadi? Abang ada girlfriend tak?" Soal Rizqi lagi. Wajahnya agak serius dan penuh sifat ingin tahu.

Aku geleng.

"Tak ada. Kenapa?"

Rizqi tersenyum.

"Oh." Dia memalingkan wajahnya.

"Kenapa nak tahu?"

"Saja."

Tak sempat aku menyoal lebih. Kedengaran bunyi yang menandakan pertunjukan istimewa akan bermula tidak lama lagi. Aku segera menyuruh Rizqi menghabiskan aiskrimnya.

Kami bergegas menuju ke tempat pertunjukan.

Tak apalah. Biasalah budak-budak. Penuh dengan rasa ingin tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience