Bab 8

Romance Completed 6905

Bab 8

“Kay.” Khalida kaku. Sudu yang baru hendak sampai di mulut diletakkan kembali. Hatinya berdegup kencang.

Selepas lima tahun, Khalida sebenarnya tidak menyangka dia masih mengenal suara itu. Melalui ekor mata, dia melihat tuan punya suara sudah mengambil tempat di depannya. Perlahan dia mengangkat muka.

Makin kacak, desis hatinya nakal.

“Kay apa khabar?” Bergetar suara Hisyam. Sungguh dia hampir tidak bernyawa sebaik menangkap kelibat Khalida dalam restoran Little Penang itu. Siapa sangka dalam lautan manusia di Mid Valley matanya cekap mengesan sekujur tubuh yang langsung tidak menyedari kehadirannya.

Khalida sekadar mengangguk menjawab pertanyaan Hisyam. Bukan dia tidak mahu bersuara tetapi kerongkongnya dirasakan tersekat tiba-tiba.

“Dah lama abang cari Kay tapi Kay terus hilang. Kay masih marahkan abang?”
Menggeleng. Hisyam mendengus.

“Say something, please.”

“Tak ada sebab Datuk nak minta maaf. Saya tak marahkan Datuk pun. Dah sampai situ saja jodoh kita, nak buat macam mana.” Khalida bersuara senafas.
Hisyam mengetap gigi. Geram. Mendengar panggilan Datuk yang dilontarkan Khalida membuatkan amarahnya membuak tiba-tiba. Lima tahun mengubah Khalida sehingga sebegini rupa. Lebih sinis.

“Kalau tak marahkan abang, mengapa hilang terus? Kay tahu tak abang macam orang gila cari Kay merata-rata.”

“Mengapa cari saya? Rasanya saya tak berhutang apa-apa dengan Datuk.”

“Memang Kay tak berhutang apa-apa dengan abang tapi abang yang berhutang dengan Kay. Abang…”

“Kan dulu lagi saya dah cakap. Saya dah halalkan segala-galanya. Saya dah lepaskan hak saya pada harta Datuk. Datuk tak berhutang apa dengan saya.” Khalida pantas mencelah.

“Khalida! Why are you doing this to me? Tak puas lagi nak siksa abang?” Hisyam bersuara keras. Mengundang beberapa pandangan pelik manusia yang membanjiri restoran itu.
Khalida merenung tajam lelaki di depannya. Darahnya mendidih tiba-tiba ditengking.

“What have I done? Siapa yang menyiksa, siapa yang tersiksa?” Sinis dia membalas.
Hisyam meraup muka. Sedikit kesal dengan keterlanjurannya.

“I’m sorry. Bukan niat abang nak tengking Kay. Jom kita ke tempat lain. Selesa sikit nak bersembang.”

“Maaf saya tak boleh lama kat sini. Saya nak cepat.”
Penolakan Khalida benar-benar mencabar Hisyam. Pantas pergelangan tangan bekas isterinya dipegang. Erat.
Khalida meronta.

“Kalau Datuk dah lupa, saya nak ingatkan. Saya bukan lagi isteri Datuk. Hak Datuk ke atas saya dah hilang sebaik Datuk jatuhkan talak lima tahun lalu.
Lepaskan tangan saya.” Hisyam bagaikan baru tersedar. Segera pegangan dilepaskan.
Khalida pantas melangkah. Kaunter restoran didekati. Wang kertas RM50 bertukar tangan. Khalida terus berlalu tanpa mahu mengambil baki. Mahu pergi segera sebelum airmatanya luruh buat sekian kali di depan Hisyam.

“Kay.” Tangan yang meraba mencari kunci kereta di dalam beg tangan terhenti. Khalida mengeluh perlahan sebelum berpaling mencari empunya suara. Kiranya Hisyam mengekori dia sehingga ke tempat letak kereta.

“Balik pada abang. Kita rujuk.” Berdesing telinga Khalida mendengar kata-kata yang meluncur lancar keluar daripada mulut Hisyam.

“Excuse me?”

“Be my wife. Again.”

“This time, for how long? A year, two years or just another eight months?” Pedas dia bertanya.

“This time forever. I can promise you that.”

“Datuk pernah berjanji dan Datuk mungkiri semua janji tu. Jangan salahkan saya kalau saya dah tak boleh percaya dengan janji Datuk.”

“Jangan buat abang macam ni. Abang mengaku semua yang berlaku dulu salah abang. Bagi peluang abang tebus semua tu. Bagi peluang abang bahagiakan Kay.”

“Saya bahagia dengan hidup saya sekarang.” Ringkas dia membalas sebelum pantas meloloskan diri ke dalam Vios hitam metalik.
Hisyam hanya mampu mengeluh melihat kereta yang dipandu Khalida meluncur laju. Meninggalkan dia sekali lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience