Bab 4

Romance Completed 6908

BAB 4

Selepas lima tahun…

“Anak-anak siapa tu, mak?” Hajjah Noriah yang asyik membelek bunga orkid kesayangan di laman belakang banglo itu tersentak. Tangan dibawa mengurut dada.

“Kamu rupanya Kamal. Dah tak reti nak bagi salam?” Sedikit menjeling anak bongsu yang sedang tersengih. Tangan si ibu diraih dan dicium.

“Nak terkeluar anak tekak ni bagi salam. Mak yang tak dengar. Mak tu kalau dah belek orkid kesayangan, ular tedung depan mata pun belum tentu mak nampak.” Hajjah Noriah tersenyum mendengar sindiran si anak.

“Kamu seorang ke?” Kamal laju mengangguk.

“Kebetulan ada mesyuarat dekat-dekat sini. Habis meeting terus Mal singgah sini. Mak masak apa tengah hari ni? Laparlah.” Bahu si ibu dipaut mesra sambil berjalan beriringan masuk ke dalam rumah.

“Hai! Mesyuarat dengan orang besar-besar, balik cari makan rumah mak.”

“Japanese food. Tekak Mal tak boleh terima.”

“Mak masak kari ikan masin dengan nenas. Pucuk paku goreng belacan dan selar goreng je. Sup ayam pun ada untuk budak berdua tu.”
Kamal tersenyum lega. Itu baru kena dengan citarasanya.

“Mak tak jawab lagi soalan Mal. Siapa kembar tu?” Soalnya sambil tangan lincah menyenduk nasi ke dalam pinggan.

“Kamu dah jumpa mereka?”

“Dah. Masa sampai tadi. Tertib budak berdua tu.”

“Budak-budak tu cucu angkat mak. Si abang, yang ada tahi lalat di hujung mata kanan tu namanya Zikri Rayyan. Si adik Zufri Rayhan. Baru empat tahun.”

“Mak ni tak cukup-cukup lagi dengan 10 cucu. Nak juga angkat berangkat.”

“Kasih sayang ni Mal tak habis dibahagi dengan 1,000 orang pun. Lagipun nak jumpa cucu sendiri kena tunggu cuti sekolah. Barulah anak abang dan kakak kamu yang berselerak seluruh Malaysia ni balik. Boleh jugak mak bermanja dengan budak berdua tu.

“Kesian mereka tu. Tak ada saudara mara lain. Dengan mak nilah mereka nak rasa kasih sayang nenek.”

“Maksud mak?”

Hajjah Noriah mengeluh perlahan. Masih tersentuh mendengar cerita Nur, ibu kepada kembar itu.

“Mak budak berdua tu bercerai dengan ayah mereka masa dia baru dua bulan mengandung. Si Nur tu pulak yatim piatu. Cuma mereka bertiga sajalah dalam dunia ni.” Hajjah Noriah bersuara sedikit perlahan. Tidak mahu sampai kedengaran di telinga Zikri dan Zufri.
Kamal yang rancak menyuap nasi terhenti.

“Apa punya suami itu. Ceraikan isteri masa tengah mengandung. Kalau saya, saya tatang isteri yang susah payah mengandungkan anak saya.

“Itu kamu. Mak pun pernah cakap macam tu tapi si Nur tu langsung tak salahkan bekas suaminya. Kata dia bekas suami dia pun tak tahu dia mengandung masa mereka bercerai. Dia pun tahu selepas sebulan mereka bercerai.

“Kuat semangat budaknya si Nur tu. Susah payah sambung belajar masa tengah mengandung. Nasib baiklah dia tak kena alahan.” Sambung Puan Noriah.”

“Allah tu Maha Adil. Dia bagi ujian begitu, Dia bagi kemudahan begini. Tapi macam mana mak kenal dengan si Nur tu?”

“Dia selalu bawak budak berdua tu ke surau. Dari situlah mak kenal dia. Kalau dia tak beritahu, mati hidup balik mak tak kata dia tu janda anak dua. Sebelum ni dia tinggalkan anak-anak dia kat pusat asuhan masa dia keluar kerja. Baru seminggu dua ni dia tinggalkan kat sini.

“Itupun jenuh mak memujuk. Dia tak mahu awalnya.Tak nak menyusahkan maklah, bimbang apa kata anak-anak maklah. Dah mak desak jugak-jugak, itu yang dia hantar ke sini. Itupun macam-macam yang dipesan pada budak berdua tu. Zikri dengan Zufri tu baik budaknya. Pandai si Nur tu didik anak-anak walaupun buat semua tu seorang diri. Mak berkenan sungguh dengan Nur tu.”

Kamal yang sudah tersandar kekenyangan menarik senyum segaris mendengar kata-kata ibunya. Sedikit sebanyak niat si ibu sudah ditangkap.

“Lain macam je ayat akhir mak tu.” Hajjah Noriah tersenyum. Susah nak berahsia dengan Kamal. Mudah saja dia membaca fikirannya.

“Mak ingat nak kenalkan dia dengan Irfan. Mana tahu ada jodoh mereka. Mak ni, Mal, tak tahulah tapi dah jatuh sayang sangat dengan si Nur dan budak berdua tu.” Hajjah Noriah berkata sendu. Terbayang di mata seraut manis yang cukup menambat hatinya.

“Mak tak kisah dia janda?”

“Apa salahnya dia janda? Bukan dia minta jadi janda. Daripada dapat anak dara yang lepas laku, bersosial tak tentu hala, baiklah dapat janda yang baik akhlaknya.

“Dah pun terbukti dia boleh ibu yang baik. Baru empat tahun tapi Zikri dan Zufri dah boleh hafal Fatihah dan surah pendek. Ayat Kursi pun bukan main lancar lagi. Tepat sebutan dan tajwidnya. Bila mak tanya, kata mereka mama yang ajar.”

Kamal mengangkat kening. Kalau betullah kata ibunya, memang hebat wanita bernama Nur itu. Tugas yang sepatutnya digalas oleh bapa, mudah saja disempurnakan wanita itu.

“Dia kerja apa, mak?”

“Dia kerja sendiri. Buka kafe siber dan kedai kek. Maju kedai dia. Kek dan biskut dia buat sendiri. Mak pernah pergi sekali. Tak menang tangan nak layan pelanggan.” Kamal mengangguk mendengar penerangan ibunya.

Kagum dengan semangat dan kegigihan wanita bernama Nur itu.

“Dulu…” Hajjah Noriah kembali merendahkan suara. Seolah-olah berbisik.

“…dia kerja makan gaji tapi berhenti sebab tak tahan diganggu bosnya. Iyalah orang cantik.”

“Dia tak buat laporan?”

“Dah, katanya tapi senyap begitu saja. Itu yang dia ambil keputusan berhenti. Buka business sendiri.”

“Mak dah beritahu Irfan?” Pertanyaan Kamal disambut keluhan perlahan si ibu.

“Takkan kamu tak kenal budak bertuah tu. Mana nak lekat kat rumah. Rumah ni dah jadi macam hotel pulak. Iya-iya tolak tawaran kamu uruskan syarikat di JB. Konon nak jaga mak, mak jaga dia adalah. Nak nampak muka dia hujung minggu lagilah payah. Dah jadi kerja mak pula dok melayan anak dara yang datang mencari dia. Mak boleh kena sakit jantung dengan kawan-kawan perempuan dia tu. Dengan pakaiannya mengalahkan heroin Hindustan, dengan tak ada adabnya.” Kamal ketawa panjang mendengar omelan si ibu.

Terbayang wajah Irfan, anak saudaranya yang sudah berusia 32 tahun tetapi masih sendiri. Rupa ada, kerja ada. Bukan sedikit wanita yang dambakan cintanya tapi ada saja tak kena di mata.

Anak kakak sulungnya yang sudah dijaga seperti anak sendiri apabila kakak, abang ipar dan dua lagi adik Irfan maut dalam kemalangan.

“Nantilah Mal cakap dengan dia. Lagipun dia keluar bukan heret perempuan ke sana sini. Dia melepak dengan kawan-kawan dia. Tengok bolalah, tengok tenislah. Kalau tidak pun ada sajalah aktiviti lasak dengan kawan-kawan dia tu. Kawan-kawan dia pun Mal kenal. Semua budak-budak baik. Budak-budak yang kenal sejadah.”

Senyum Hajjah Noriah melebar mendengar jaminan si anak. Irfan jarang membantah kata-kata Kamal. Bapa saudara yang cukup dihormati. Pengganti ayah yang meninggal dunia ketika usia Irfan baru mencecah 12 tahun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience