Bab 12

Romance Completed 6905

Bab 12

“Mengapa tiba-tiba? Cakaplah apa saja alasan. Kalau perlu, tipulah. Saya tak kisah asalkan jangan diam macam ni.”

Khalida berpaling melihat Irfan yang tenang bersandar di kereta. Angin petang yang bertiup menyamankan suasana tetapi tidak cukup meredakan keresahan hati.
Jauh sehingga ke Putrajaya Irfan melarikan dia semata-mata mahukan penjelasan yang tidak ingin diungkapkan.

“Jangan paksa saya, Irfan. Saya harap sangat supaya awak faham keadaan saya. It’s too complicated. Ini ada kaitan dengan masa lalu saya dan masa depan anak-
anak saya.

“Saya bimbang dengan masa depan Zikri dan Zufri, Irfan.” Pandangan kembali di hala ke arah tasik yang sesekali berkocak.

“Then bagilah peluang mereka harungi masa depan dengan kasih sayang seseorang yang bergelar ayah. Atau awak masih sangsi dengan kasih sayang saya pada mereka?” Khalida terus bungkam.

“I love them, Nur Khalida. They are my cousins anyway. Tak susah nak sayangkan saudara sendiri.”
Khalida pantas berpaling. Darahnya dirasakan tersejat mendengar patah perkataan yang keluar daripada mulut Irfan. Dia menggeleng perlahan. Cuba membuang apa yang terlintas di minda. Tak mungkin Irfan tahu. Jika benar, bagaimana dia tahu rahsia yang cuba dibungkus sebaik mungkin.

“I know their father. My Pak Su. Datuk Kamal Hisyam. Your ex husband.” Satu persatu Irfan menuturkan. Lutut dirasakan semakin lemah untuk menampung tubuh yang longlai.

Khalida melorot terduduk. Airmata mengalir deras.

“Jangan menangis, sayang. Itu semua tak mengubah pendirian saya. I love you. Hakikat awak pernah menjadi isteri Pak Su Kamal tak menjadi kudis buat saya, Nur. Saya cintakan awak.”

Airmata masih setia mengalir.

“Bagaimana awak tahu?” Khalida bertanya dalam nada tersekat-sekat.

“Zikri dan Zufri. Memang rupa mereka copy and paste daripada awak tapi gaya mereka selalu mengingatkan saya pada seseorang, I mean sebelum saya tahu siapa bapa mereka.

“Cara Zikri menggaru kening dan mematahkan jari setiap kali dia buat salah, sebiji gaya Pak Su bila serba-salah. Sebiji, Nur.

“Dan Zufri pula, senyum dia memang sah dia warisi daripada ayahnya. Senyum pencair hati. Mungkin hati awak pun pernah cair kena panahan senyuman Pak Su.”

Khalida tersenyum dalam sebak. Tidak mahu menafikan dia pernah menggilai senyuman Hisyam.

“Tapi perubahan awak sejak datang makan tengah hari kat rumah nenek dua minggu lepas mengiyakan segala-galanya. Saya terperasan sebaik melihat album keluarga kami, awak dah lain macam. Nenek pun perasan.”

Fikiran Khalida melayang kepada kejadian itu. Dia masih ingat bagaimana seluruh tubuhnya menggigil sebaik menyelak halaman album keluarga Hajjah Noriah yang selama ini tidak pernah ingin disentuhnya.

Melihat wajah Hisyam yang tersenyum bersama adik beradiknya yang lain membuatkan hatinya berdegup kencang. Dia seperti cacing kepanasan berada dalam rumah wanita terhormat yang pernah bergelar mentuanya buat seketika.

Dia tidak pernah menyangka Kamal yang selalu disebut Hajjah Noriah itu pernah menjadi suaminya. Kamal Hisyam. Bagaimana dia boleh terlupa nama sebenar lelaki
itu.

“Nur.” Suara Irfan kembali membawa dia ke Putrajaya.

“Saya serius bila saya kata saya sedia terima awak. Itu perkara lepas. Syarak dan hukum dunia tak menghalang kita jadi suami isteri.”

“Awak tak jijik dengan saya, Irfan? Saya pernah sekatil dengan bapa saudara awak. Saya melahirkan anak daripada benihnya.”

“Belajar sampai oversea tapi fikiran singkat.” Sanggah Irfan keras. Khalida pantas berpaling. Tidak faham apa yang menimbulkan kemarahan lelaki yang sudah pun bersila di sebelahnya.

“Apa jijiknya seorang isteri yang melayan kehendak batin seorang suami? Di mana kotornya seorang wanita yang mengandungkan benih suami sendiri? Apa jijiknya seorang wanita yang mentaati perintah Allah dengan menjadi isteri solehah?

“Cuba awak beritahu saya, Nur? Daripada sudut mana saya nak pandang jijik pada awak semata-mata awak pernah menjadi isteri sah Pak Su? Apa yang berlaku dalam bilik tidur sepanjang awak dan Pak Su bergelar suami isteri itu satu ibadah, Nur. Ibadah yang dijanjikan pahala.

“Wajarkah saya hendak pandang jijik pada wanita yang melakukan ibadah? Kepada isteri yang mengutip pahala dengan melayan suami? Jijik saya pada perempuan
murahan yang menyerahkan tubuh kepada lelaki tidak halal kepadanya. Itu memang jijik.”
Khalida melepaskan nafas perlahan. Sangkanya rahsia itu dapat dia simpan sampai mati tetapi Irfan lebih bijak menebak hatinya.

“Kes kita ni macam mana, ya? Kalau seorang perempuan kahwin dengan adik atau abang suami lepas bercerai hidup atau mati, itu berganti tikar. Tapi kalau dengan anak saudara bekas suami, berganti apa? Berganti lantai?”

Tidak dapat ditahan, Khalida melepaskan ketawa kecil. Sempat saja Irfan membuat lawak. Sikap yang mengikat hatinya kepada anak saudara bekas suaminya itu.

“Awak masih marahkan Pak Su?”

Khalida menggeleng.

“Awak masih cintakan dia?”

Khalida diam. Terus diam sehingga kereta Irfan berhenti di depan pagar rumahnya. Diam yang meninggalkan luka paling dalam di hati Irfan kerana diam itu maknanya setuju.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience