Bab 1

Romance Completed 6905

BAB 1

Wajah penuh serba-salah yang tegak berdiri di depannya dipandang hambar. Mulut yang terkumat-kamit menunjukkan petanda lelaki di depannya itu ingin mengatakan sesuatu tetapi entah mengapa, suaranya bagaikan tidak mahu keluar.

Khalida mengeluh perlahan. Jam yang terlilit di pergelangan tangan dijeling seketika. Dia mahu berlalu tetap lengannya disambar pantas dan secepat itu juga Khalida menarik kasar tangannya. Tidak mahu disentuh lagi.

“Apa yang awak nak cakap ni sebenarnya? Boleh cepat tak? Banyak lagi kerja yang saya nak buat selain berdiri tercegat kat depan awak ni.” Keras suaranya menampar pendengaran lelaki di depan.

Hisyam tersentak. Tiada lagi panggilan ‘abang’ untuknya. Keras nada suara Khalida membuatkan dia sedikit tersentuh. Wajah tanpa emosi wanita di depannya menambah pilu di hati.

Benci benarkah Kay pada abang? Hilangkah sudah rasa sayang untuk abang, Kay?

“I’m sorry. Abang mengaku semuanya salah abang. Abang…”

“Saya dah maafkan semua salah awak. Boleh saya bergerak sekarang?” Khalida cepat memotong. Sungguh dia tidak mahu berlama-lama lagi di situ.

“Rumah dan kereta ni untuk Kay. Ikhlas daripada abang.” Khalida sekadar melihat kunci rumah dan kereta yang dihulurkan kepadanya. Tidak ingin menyambut.

“Saya tak mahu. Selama ini pun bukan harta yang saya kejar daripada awak. Ambillah balik semua tu. Saya masih ada kudrat. Saya masih boleh kumpul harta dengan titik peluh saya sendiri.”

“Jangan macam ni, Kay. Jangan tambah rasa bersalah abang. Ini abang bagi sebagai nafkah…”

“Saya tak mahu dan saya halalkan segala-galanya. Tak payahlah awak nak susah payah bagi nafkah edah, nafkah mutaah bagai. Harta sepencarian pun saya tak nak. Saya halalkan semuanya.” Hisyam kematian kata-kata.

“Itu hak Kay.” Hisyam cuba membantah. Penolakan Khalida menjadikan hati semakin pedih.

“Saya lepaskan hak saya ke atas harta awak. Seperti juga awak lepaskan hak saya sebagai isteri.” Selesai berkata, Khalida terus membuka langkah meninggalkan perkarangan pejabat agama yang menjadi saksi gugurnya talak satu ke atasnya.
Selebihnya, dia tidak mahu menghamburkan airmata di depan Hisyam, lelaki yang menghancur lumat hatinya.

Sementara Hisyam sekadar memandang sambil melepaskan keluhan kecil. Sedikit terasa dengan tindakan Khalida. Gadis yang dinikahinya di Thailand secara rahsia lapan bulan lalu tidak sekeras ini.

“Abang minta maaf, Kay. Abang lemah. Abang tak kuat pertahankan cinta dan rumah tangga kita.” Hisyam bersuara lemah sambil memaku pandangan ke arah kereta Khalida yang semakin jauh meninggalkan dia dan kenangan mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience