Bab 9

Romance Completed 6905

Bab 9

Wajah manis di sebelahnya dipandang lembut. Bibirnya menguntum senyum melihat riak serba tak kena yang jelas terpapar di wajah itu. Sungguh dia tidak tahu bagaimana untuk mentakrif kecantikan wanita yang satu ini.

Ratna, pengacara rancangan popular televisyen yang tidak jemu mendambakan cintanya lebih jelita, Elisa, anak Datuk Hisham, rakan kongsi syarikat kejuruteraan milik Pak Sunya, yang cuba memancing hatinya jauh lebih menawan malah Ezzayu, gadis kacukan Melayu-Irish, setiausaha Pak Sunya yang kerap menggoda juga lebih mendebarkan, tetapi kepada wanita serba serderhana ini hatinya tersangkut.

“Sayang.” Perlahan Irfan bersuara.

“Ya.” Perlahan juga Khalida menyahut sebelum pantas menutup mulut. Tersasul.
Irfan tergelak riang. Khalida menjeling tajam.

Pandangan dihala ke depan. Memerhatikan Zikri dan Zufri seronok bermain di taman permainan kanak-kanak itu.

“Boys, be careful.” Irfan sedikit menjerit melihat kedua-duanya berebut mainan dengan ramai kanak-kanak lain.
Hati Khalida tersentuh. Puas dia menilik tetapi sedikit tiada petanda keprihatinan Irfan terhadap anak-anaknya sekadar untuk mengaburi mata. Siapa yang melihat boleh menelah kasih sayang Irfan untuk kedua-dua nyawanya itu datang daripada hati.

“I am serius about you, Nur. Saya tak pandai nak bermain kata, menyusun madah. Apa yang saya tahu, saya cintakan awak. Serius nak jadikan awak isteri saya. Serius mahu menjadi ayah kepada Zikri dan Zufri.”

Khalida tunduk bermain dengan jarinya. Debar hati mendengar pengakuan itu usah dicakap. Agaknya kalau diletakkan testoskop di dadanya, boleh pecah benda alah
itu mengukur kadar degupan jantung.

Terlalu berterus-terang. Tak romantik pulak tu. Ada pula dilamarnya aku di tengah riuh suara kanak-kanak? Dengan badannya yang lencun dibasahi peluh, muka
berminyak, nafas masih termengah-mengah selepas berjoging lima pusingan mengeliling tasik di Taman Tasik Permaisuri itu.

Tidak seperti Hisyam dulu yang melamarnya di puncak Genting. Okay, stop. No more Hisyam. Ini Irfan, itu Hisyam. Ini masa depan, itu sudah ditinggalkan. Pada abad mana pun, mereka tidak sama, tidak berkongsi karektor serupa.

“Saya janda.”

“So?”

“Awak tak malu nak kahwin janda?”

“Nabi Muhammad bangga dengan Siti Khadijah, janda yang dinikahi baginda. Menjadi isteri paling disayangi. Kalau manusia paling agung itu tak malu nikah dengan janda, mengapa saya pula nak malu?”

“Awak anak teruna.”

“Ada tak dalam Perlembagaan sebut anak teruna tak boleh kahwin janda? Tak ada kan? So, ia tak melanggar undang-undang.” Khalida terdiam.
Banyak pula akalnya membalas setiap alasan.

“Zikri dan Zufri segala-galanya buat saya Irfan. Saya takut sangat kalau kita ada anak sendiri nanti…”

“Ada anak sendiri? Saya baru ajak kahwin, awak dah merancang pasal anak. Good. Saya suka wanita yang berwawasan.” Irfan segera memintas.

Sekali lagi darah menyerbu ke muka. Sekali lagi dia tersilap langkah. Rasa mahu menampar mulut sendiri yang langsung tak mahu menjaga air mukanya.
Irfan yang mengekek ketawa dikerling tajam.

“Serius sikit boleh tak?” Dia menyergah. Irfan mengangkat kedua-dua tangan tanda ‘surrender’.

“Nur, saya sayang awak bermakna saya sayangkan segala-galanya yang menjadi kesayangan awak. Dengan cute, smart boy like both of your boys, siapa-siapa pun
akan mudah jatuh sayang pada mereka.

“I don’t know why tapi cukup sayangkan budak berdua tu, Nur. As if antara kami ada hubungan rapat. Ada rezeki kita punya anak sendiri nanti, Zikri dan Zufri tetap menjadi kesayangan saya.”

Khalida masih bungkam. Masih berdolak-dalik dengan perasaan sendiri.

“Masih ingatkan dia?” Pertanya Irfan dibiarkan tidak berjawab.

“Saya tak pernah bercinta tapi orang cakap cinta pertama susah nak lupa. Tapi kalau tak bagi peluang bagaimana kita nak tahu nikmatnya cinta kedua. Bagi saya cinta kedua tetap ada manisnya. Kalau tak, mengapa ramai pasangan yang membina bahagia dengan cinta kedua?

“Mungkin juga getar cinta kedua tidak kurang nak dibandingkan dengan debar cinta pertama. Jika cinta pertama melukakan, bagi peluang kepada cinta kedua untuk membahagiakan.”

Masing-masing terdiam.

“Jika awak sudi nak jadi peneman hidup saya sampai akhir hayat…” Tidak habis ayat yang diucapkan. Khalida berpaling melihat Irfan yang merenungnya lembut. Ada bahagia yang datang tatkala bertentang dengan sepasang mata Irfan.

Matanya berkaca melihat kotak baldu berwarna merah yang dihulurkan Irfan. Lambat-lambat dia menyambut. Dengan lafaz Bismillah, dia membuka. Dan dengan airmata yang mula menitis, cincin emas putih bertatahkan berlian sebutir disarungkan ke jari manisnya.

Irfan melakarkan senyuman lebar. Tidak perlu sebarang ucapan. Perlakuan Khalida sudah cukup menjelaskan segala-galanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience