Bab 3

Romance Completed 6905

BAB 3

Khalida memandang sekilas bangunan yang tersergam di depannya buat kali terakhir. Di situ dia mengenali Datuk Hisyam, jatuh cinta dengan karisma lelaki beranak tiga berusia 40 tahun itu.

Di situ juga dia membulatkan tekad menerima lamaran Hisyam yang berjanji akan mencintai dan melindunginya sehingga ke akhir hayat. Janji yang dimungkiri selepas lapan bulan mereka bergelar suami isteri.

Kerana janji itu dia nekad tidak mengendahkan nasihat kawan-kawan, tega membelakangkan Ibu Zainab, pengetua rumah anak yatim yang dihuninya. Wanita penuh
kasih itu cuma mengalirkan airmata saat dia menyampaikan berita sudah sah menjadi isteri Hisyam.

Sayangnya mereka cuma bahagia selama enam bulan, sebelum berita perkahwinan rahsia mereka tiba di telinga isteri pertama Hisyam. Menyedari kedudukannya, Khalida tidak mahu berkeras. Membiarkan Hisyam memujuk isteri pertamanya.

Bukan Khalida tidak cuba menjernihkan keadaan tetapi Hisyam memberi jaminan segala-galanya akan berakhir dengan baik. Jaminan Hisyam nyata benar. Segala-galanya berakhir dengan baik bagi pihak Hisyam dan isteri pertamanya, bukan dia.

Khalida masih ingat malam Hisyam datang menemuinya dengan wajah yang tidak dapat ditafsirkan riaknya. Saat lelaki itu mengadu dia sudah tidak sanggup berdepan dengan kedinginan isteri pertamanya, Khalida sedar kedudukan dia di sisi suaminya sudah tidak selamat.

“Abang minta maaf, Kay. Mar tidak marah, tidak melenting tetapi kebisuan dan kedinginan dia membunuh abang. Abang boleh handle kalau dia mengamuk tetapi dia tenang tapi ketenangan dia tu menyiksa abang. Abang tak boleh lepaskan dia, Kay. Abang tak boleh berpisah dengan dia.” Kata-kata Hisyam itu merentap hatinya.

‘Abang tak boleh berpisah dengannya tapi abang sanggup berpisah dengan Kay.’ Kata-kata itu cuma berlegar dalam fikiran.

Dia tidak salah menelah. Entah daripada mana kekuatan itu datang tetapi emosinya seakan tidak terusik saat Hisyam memeluknya erat meminta maaf kerana
terpaksa menceraikan dia.

Setitik airmatanya tidak luruh saat Hisyam menjatuhkan talak sebaliknya lelaki itu yang tidak menang tangan mengelap airmata. Mujurlah dia berkeras meminta
Hisyam mendaftarkan perkahwinan mereka.

Deringan telefon bimbit mengejutkan dia daripada lamunan. Melihat nama yang terpapar di skrin, Khalida pantas memutuskan panggilan. Dia tahu Hisyam haru biru mencarinya di sana sini selepas surat peletakan jawatannya tiba di meja bekas suaminya itu.

Panggilan langsung tidak dilayan dan SMS lelaki yang mahu berjumpa dan memujuk supaya dia menarik balik keputusan itu dipandang sepi. Untuk apa dia terus di Utama Holdings jika ia sekadar merobek hati yang sudah parah.

Khalida tahu dia masih dalam edah dan selagi itu dia masih tanggungjawab Hisyam malah selagi belum tamat edah, dia masih boleh serumah dengan lelaki itu. Keluar rumah pun perlu keizinan Hisyam. Cuma hubungan suami isteri perlu dielakkan. Dia sedar semua itu tetapi kali ini biarlah dirinya dicalit dosa kerana dia sudah tiada kekuatan untuk berdepan dengan Hisyam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience