Bab 6

Romance Completed 6905

Bab 6

Khalida merengus kegeraman. Memang cucu Hajjah Noriah ini tidak faham bahasa. Diucap dalam bahasa Melayu pun dia buat tak hairan, dijelas dalam bahasa Inggeris pun dia tak makan saman.

Irfan yang tersengih di depannya dipandang tajam. Setakat itulah dia mampu. Hendak dibahasakan lebih-lebih rasa hormatnya kepada Hajjah Noriah menghalang.
Sejak kebelakangan ini, wanita tua itulah menjadi tempat dia dan anak-anak menumpang kasih.

Mengenang Hajjah Noriah, Khalida tersenyum sendiri. Kalau orang lain, mati hidup balik mahukan anak dara untuk menjadi isteri cucu yang masih bujang tetapi Hajjah Noriah amat berbeza. Mahukan dia yang sudah beranak dua sebagai calon isteri Irfan, lelaki tidak faham bahasa yang sejak sebulan dua ini kerap sangat menempel di kafe sibernya.

“Tahulah awak seronok tengok saya datang tapi janganlah senyum sampai macam tu sekali.” Suara Irfan mematikan senyuman. Bibir dicebik tanda menyampah. Umur
dah terlajak tapi perangai macam budak-budak, kutuknya dalam hati.

“Apa lagi yang awak nak ni, Irfan?” Sinis dia bersuara. Siap dengan kerlingan tajam. Sekadar untuk melindungi hati yang sudah pandai melagukan irama ntah apa-apa setiap kali berdepan dengan cucu Hajjah Noriah itu selepas lima tahun beku dan dingin.

Puas dipujuk supaya hati berdegup normal setiap kali berdepan dengan Irfan tetapi hatinya tidak pernah ingin mendengar kata. Sudahlah berdegup laju, sumbang pulak tu.

“Dah datang ke kafe siber nak guna komputerlah, takkan nak main golf pulak.” Muncungnya bertambah panjang mendengar sindiran Irfan.

“Dah kena virus ke semua komputer kat pejabat awak?” Keras suaranya menyindir. Irfan tergelak.

“Tak amanah namanya guna komputer pejabat untuk urusan peribadi.” Sekali lagi Khalida menjeling tajam.

“Habis yang tercongok kat sini waktu kerja tu, amanahla sangat.” Sinis Khalida membidas. Cakap tak serupa bikin.

“Sayang, sekarang ni kan lunch time. Mana ada saya curi tulang. Lagipun saya cuti hari ni. Big boss luluskan tanpa banyak soal bila saya cakap nak melawat buah hati.”

Khalida melarikan pandangan. Tidak mahu bertentang mata dengan Irfan saat dia tahu wajahnya bertukar warna mendengar ucapan ‘sayang’ keluar daripada mulut lelaki itu.

Getar di hati cuba dilindungi sebaik mungkin. Tidak mahu ketara pada penglihatan jejaka berpakej lengkap yang setia berdiri di depannya kerana getaran kali ini jauh lebih hebat daripada apa yang dirasakan satu ketika dulu.
Tuhan! Tolong jauhkan rasa ini. Aku tidak mahu terluka lagi.

Irfan menyembunyikan senyum melihat Khalida yang tidak tentu arah. Dia tahu hati Khalida melagukan irama yang sama dengan hatinya. Cuma mungkin pengalaman pahit yang menyebabkan wanita itu menyembunyikan debar hati.

Irfan dapat meneka apa yang menjadi penghalang dan dia tidak peduli. Dia bukan bekas suami Khalida dan siapa pun lelaki yang pernah mendapat tempat di hati wanita itu, Irfan pasti mereka tidak berkongsi karektor yang sama.

Ikrarnya, Khalida tetap akan disunting menjadi isteri. Misinya tidak sukar kerana team Wonderpets diketuai neneknya sendiri sedia memberikan kerjasama. Tambah-tambah lagi apabila kedua-dua permata hati Khalida kini sudah dalam cengkaman.

Irfan sendiri hairan. Dia yang tidak begitu mesra dengan kanak-kanak boleh jadi begitu rapat dengan kembar itu. Rasa yang tiba-tiba hadir saat matanya menyapa Zikri dan Zufri riang berlari di laman rumah neneknya. Keletah dan kenakalan kedua-dua mereka menghilangkan rindu Irfan kepada dua adiknya.

“Ehem.” Suara Khalida berdehem mematikan lamunan. Bibirnya terus mengukir senyum melihat wajah kelat di depannya.

“Tercegat apa lagi kat sini. Pergilah cari mana-mana port yang kosong.” Keras suara Khalida singgah di telinga.

“Cuba belajar berlembut dengan bakal suami. Cakap baik-baik. Sejuk hati abang ni.” Candanya selamba. Wajah Khalida yang semakin kelat mengundang ketawa.
Segera Irfan berlalu dengan ketawa yang masih bersisa mencari komputer yang masih kosong sebaik melihat Khalida mencapai pen. Tahu kalau tak mengelak, pasti pen itu akan singgah di dahi.

Mata Khalida tajam mengekori langkah Irfan. Tanpa sedar bibir mengukir senyum. Senang mendengar canda Irfan.
Tangan dibawa ke dada. Hati! Cukuplah sekali.

**********************************************************************

Hisyam melemparkan pandangan ke luar balkoni banglo dua tingkat itu. Malam itu tenang tetapi hatinya kusut. Kerlipan bintang tidak berupaya menghilang resah yang sudah lima tahun melingkari benaknya. Sejak bayang wanita yang satu itu hilang tanpa meninggalkan jejak.
Kay! Hatinya menyeru nama itu entah kali keberapa. Seraut wajah Khalida kembali bertandang. Sungguh! Tidak sehari pun dia dapat melupakan wajah penuh
ketenangan itu saat dia melafazkan talak lima tahun dulu.
Hisyam mengurut dada perlahan-lahan. Mahu mengusir sebak yang semakin menghimpit, yang datangnya turut membawa bersama bebola kaca memenuhi tubir mata.

“Abang.”

Hisyam membawa tubuhnya berpaling. Tangan dihulur kepada Marhaini yang berdiri di ambang pintu gelongsor yang memisahkan bilik tidur mereka dengan balkoni.
Sebaik tangan bersambut, tubuh Marhaini dibawa ke dalam pelukan. Hisyam perlukan ketenangan. Dakapan itu mampu membuatkan separuh resah gelisah itu pergi.

“Abang carilah dia.” Tubuh mereka renggang. Hisyam tunduk menatap wajah tenang Marhaini. Tidak begitu memahami maksud kata-kata itu.

“Khalida. Abang carilah dia.” Hisyam terpaku. Matanya tajam menikam mata Marhaini. Ingin mencari kesungguhan pada wajah itu.

“Apa Mar cakap ni?”

“Dah hampir 20 tahun kita kahwin, bang. Mar dah faham bahasa tubuh abang. Abang rindukan Khalida. Abang boleh tipu orang lain tapi bukan Mar. Mar tahu hati abang. Hati kita berkongsi rasa yang sama, remember? Abang yang cakap macam tu. Jadi, apa yang hati abang rasa, Mar tahu.”

Tubuh Marhaini kembali diraih ke dalam dakapan. Kali ini lebih erat. Bukan dia tidak rasa bersalah menduakan Marhaini satu ketika dulu tetapi tarikan Khalida tidak mampu ditepis.

Gadis berwajah polos dan selalu tersenyum itu bagai magnet yang menarik Hisyam untuk terus mendekatinya. Bukan tidak ada yang cuba menggoda apatah lagi dengan rupa dan gelaran Datuk yang dimiliki tetapi Marhaini tetap juara.

Namun berdepan dengan Khalida, cintanya mula terbahagi dua. Hisyam nekad mengahwini Khalida walaupun ada yang menuduh dia curang. Tidak. Hisyam tidak pernah mencurangi Marhaini. Dia tidak pernah berfoya-foya dengan wanita murahan yang sedia memberikan apa saja. Malah membalas lirikan menggoda pun, dia tak pernah.

Hisyam tidak pernah menghamburkan wangnya dengan sia-sia kepada wanita mata duitan yang mudah menjaja cinta. Itu takrifan curang. Mencari keseronokan dunia tanpa mahu ada tanggungjawab. Tega membuat dosa walaupun pahala menanti di rumah.

Curangkah dia kerana menikahi Khalida secara sah? Tidak setiakah dia kerana menaikkan status wanita semulia Khalida sebagai isteri? Jika berpoligami itu sebenarnya satu bentuk kecurangan, mengapa kalam Allah membenarkan lelaki memiliki sehingga empat isteri dengan syarat ketat? Mustahil Allah mahu menganiayai wanita, kaum yang dicipta dengan 1,001 keistimewaan sehingga syurga berada di bawah tapak kaki mereka?

“Abang.” Hisyam sedikit tersentak. Jauh rupanya dia hilang dalam lamunan sehingga tubuh mereka kembali renggang pun dia tidak sedar.

“Kita iya-iya cakap, dia pula ntah ke mana.” Marhaini sedikit merungut. Hisyam ketawa kecil. Hidung Marhaini ditarik manja.

“Gelak gelak jugak tapi Mar serius. Abang carilah dia. Mar nak jumpa Khalida. Nak minta maaf.”

“Mar tak salah, sayang. Yang salahnya abang. Abang yang bongkak dengan kedudukan, harta yang abang ada. Abang ingat itu dah cukup untuk abang berpoligami.
Tapi abang lupa perkara paling penting. Keadilan. Abang tak boleh berlaku adil.”

“Abang boleh kalau Mar tak pentingkan diri sendiri. Abang mampu kalau Mar tahu nak guna akal kawal nafsu.”

Hisyam mengerutkan dahi.

“Maksud Mar?”

“Carilah Khalida, bang. Kembalikan hak dia sebagai isteri yang abang dah lepaskan.”

“Mar…”

“Mar cintakan abang. Abang suami yang terlalu baik. Abang tak abaikan tanggungjawab abang pada Mar, pada anak-anak. Abang tak pernah buat Mar rasa bimbang, rasa cuak kalau abang tergoda dengan perempuan murahan macam mak datin lain. Mar tahu abang setia. Abang tak pernah curang.

“Kesetiaan dan kasih sayang abang tu Mar rasa perlu diberi ganjaran. Insya-Allah Mar dah cukup kuat untuk berkongsi kasih abang dengan Khalida.” Tenang Marhaini menuturkan kata-kata.

Hisyam terpaku. Seraut wajah Marhaini ditatap sungguh-sungguh. Mahu memastikan apa yang didengarnya sebentar tadi bukan sekadar gurauan.

“Mar tak main-mainkan?”

“Seorang isteri tak akan main-main dengan isu poligami. Mar tak akan berbohong ia amat menyakitkan tetapi rasanya lebih sakit kalau abang berfoya-foya dengan ntah mana-mana perempuan.

“Sekurang-kurangnya bila abang dah nikah semula dengan Khalida, kalau abang tak balik rumah, Mar tahu abang ada dengan isteri abang yang sah, bukan dengan jalang yang nak mengambil kesempatan.”

“Mengapa Mar buat semua ni?”

“Sebab Mar cintakan abang dan Mar tahu Khalida perempuan baik-baik. Kalau dengan perempuan lain yang tak sudah-sudah nak goda abang, jangan harap abang nak pasang dua. Mar ‘Bobbit’kan kalau berani nak nikah lain.”

Hisyam tergelak. Mana mungkin dia jatuh cinta dengan perempuan murahan. Darjat cintanya tinggi. Cuma mampu digapai Marhaini ketika usianya 27 tahun dan
Khalida tatkala dia mencecah usia 40 tahun.

Cuma satu yang membimbangkan, bolehkah dia mencantumkan kembali hati yang sudah dihancurkan itu? Mahukah Khalida sekali lagi berlindung di bawah lembayung
kasihnya? Lebih menakutkan, mungkinkah si dia itu sudah punya pengganti?

Hisyam ngeri memikirkan kemungkinan itu terakhir kerana cintanya pada Khalida masih merah. Masih menyala.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience