Bab 13

Romance Completed 6905

Bab 13

Hajjah Noriah menampar bahu Kamal yang melutut di depannya bertalu-talu. Sesekali tangannya pantas menyapu airmata yang tak sudah-sudah mengalir. Marhaini yang setia memeluk bahunya turut sebak. Irfan mengalih pandangan.

“Sampai hati kamu, Mal. Perkara nikah kahwin macam ni kamu rahsiakan daripada mak.”

“Mal minta ampun, mak. Bukan niat Mal nak sorokkan daripada mak tapi…” Dia tidak menghabiskan ayatnya. Tidak tahu hendak menyusun kata.

“Semuanya salah Ani, mak. Ani yang jadi punca Kamal ceraikan Khalida sebab tak mahu bermadu. Kamal memang nak berterus-terang tapi tindak-tanduk Ani yang halang.” Dalam sebak sendu, Marhaini bersuara.

“Bukan salah Ani tapi anak jantan mak ni yang tak cukup jantan. Berani buat tapi tak berani tanggung. Kamu aniaya Nur. Kamu bawak dia kahwin lari. Kamu ceraikan dia masa dia mengandungkan anak kamu. Besar dosa kamu dengan Nur. Mak malu dengan dia, Mal. Mak malu.” Hajjah Noriah bersuara tersekat-sekat.

Marahnya kepada anak bongsunya itu sudah mencapai tahap maksimum.

“Demi Allah, Mal tak tahu dia mengandung masa tu. Tapi betul cakap mak. Mal yang salah tapi Mal cari dia lepas tu. Dia tak mahu rumah dan kereta yang Mal bagi. Dia terus hilang. Mal cari dia, mak. Mal cari.”

“Susah payah dia besarkan cucu-cucu mak tu seorang diri. Allah tu Maha Besar. Dia lorongkan jalan untuk mak jumpa cucu-cucu mak tu. Patutlah lain benar rasa sayang mak pada Nur dan anak-anak dia. Rupa-rupanya dia pernah menjadi menantu mak. Anak-anak dia tu cucu mak.

“Patutlah sesekali bila tengokkan cara budak berdua tu mak tiba-tiba teringatkan kamu. Rupa-rupanya waris kuat mak.” Hajjah Noriah terus merintih. Terasa
besar dosanya kepada Khalida dek perbuatan Kamal Hisyam, anaknya.

Pilu hatinya terbayangkan wajah sendu Khalida tatkala meminta diri sebaik cerita sebenar terbongkar. Dia yang pada awalnya kehairanan melihat Kamal dan keluarga yang baru tiba meluru mendekati Khalida dan merayu meminta maaf, terduduk di atas sofa apabila rahsia besar itu tersingkap satu persatu.
Pertemuan yang diatur rupanya menemukan dia dengan cucu-cucunya dan Kamal dengan anak-anaknya.

“Mal pernah minta rujuk.” Irfan yang tunduk sedari tadi segera mengangkat kepala. Matanya tajam merenung Kamal. Tersayat rasanya hati mendengar kata-kata itu.

“Ani yang minta Kamal rujuk dengan Khalida.” Marhaini menyampuk.
Hajjah Noriah dan Irfan saling berpandangan.

“Dia nak rujuk dengan Pak Su?” Suara Irfan kedengaran. Hisyam menggeleng. Irfan melepaskan nafas lega.

“Tapi Pak Su nak pujuk dia. Tanggungjawab Pak Su pada dia dan anak-anak masih belum selesai. Pak Su masih berhutang dengan Kay dan anak-anak.” Irfan terus terbangun.

Mundar-mandir di ruang tamu itu. Tiba-tiba dia berasakan Kamal Hisyam sebagai saingan paling hebat dia mendapatkan Khalida.
Dengan kedudukan dan status Hisyam sebagai bapa kepada Zikri dan Zufri, Irfan tahu peluangnya agak tipis tetapi luka yang ditinggalkan bapa saudaranya itu di hati Khalida mungkin menjadi senjata untuk dia menang dalam perjuangan itu.

Apa yang penting dia perlu berani meluahkan isi hati dan berani menentang bapa saudara yang selama ini dianggap seperti ayah sendiri.

“Serahkan tanggungjawab Pak Su pada Fan. Fan sedia lunaskan semua hutang Pak Su pada Nur dan anak-anak.” Tegas dia berkata.

Hisyam bangun mengadap Irfan. Bahu anak saudara itu dipegang kemas.

“They are my responsibility. Don’t you forget that.”

“I love her, Pak Su. Bukan niat Fan nak biadap dengan Pak Su. Fan sayang Pak Su. Fan hormat Pak Su tapi Fan tak akan berundur kali ini. Kita bersaing secara lelaki, secara terhormat. Kita biarkan Nur buat pilihan. Kalau Pak Su jadi pilihan, Fan akan undur diri dan akan hormati dia sebagai Mak Su tapi kalau dia pilih Fan, Pak Su kena terima dan hormati dia sebagai isteri anak saudara Pak Su.” Usai berkata Irfan berlalu keluar meninggalkan Kamal Hisyam yang tajam merenungnya.

Hajjah Noriah bungkam tidak berkata apa-apa. Sebahagian hati mahukan Nur kembali kepada Hisyam tetapi sebahagian lagi mahu Irfan membahagiakan bekas menantunya itu.

Ya Allah! Kau berikan yang terbaik untuk Nur dan anak-anaknya, doanya dalam diam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience