Bab 7

Romance Completed 6905

Bab 7

“Apa yang membuatkan kau masih teragak-agak, Kay? Dan jangan beritahu kau tak punya rasa sama dengan dia.” Khalida tidak jadi menyuap kek keju mendengar pertanyaan Adlina.

Dia membuang pandang ke seluruh premis Secret Recipe di Mid Valley yang agak lengang itu. Nafas dihela perlahan. Wajah serius Adlina dipandang lembut. Tiba-tiba dia melepaskan ketawa. Agak kuat sebelum pantas menekup mulut.

“Aku sumbat juga kek ni dalam mulut kau. Orang tanya dia bantai gelak.” Adlina mengomel tidak puas hati.

“Lawak tengok muka kau sikit punya serius. Macam bincang masalah negara pulak.” Selamba Khalida menjawab sambil menyudu kek ke mulut.

“Kay.”

“Apanya?”

“Kau jangan nak mengelat. Jawab soalan aku.”

“Aku takut, Lin. Aku takut aku dah tak kuat nak berdiri semula kalau aku kena melalui semua kesakitan tu sekali lagi. Bukan sedikit airmata aku yang terbuang. Lin. Aku takut kalau aku tersungkur kali ini, aku tak akan bangun lagi.

“Aku ambil masa lima tahun untuk berdiri semula. Tempoh masa pendek bagi sesetengah orang tapi cukup panjang bagi aku.”

“Sebab tu kau tak mahu bagi peluang pada Irfan, pada diri kau?” Soalan Adlina dibiarkan tidak berjawab. Tidak tahu hendak memberi jawapan sebenarnya.
Ada ketika hatinya mahu saja menerima pujukan Hajjah Noriah yang sudah pun melamarnya secara tidak rasmi untuk Irfan tetapi sekilas bayangan Hisyam menjelma, kesakitan itu kembali menusuk.

“Dear, listen here. Memang benar aku tak lalui apa yang kau alami. Tapi aku rasa kau tak berlaku adil pada Irfan dan diri kau sendiri dengan hidup dalam ketakutan. Takut dikecewakan. Kau bukan sekadar boleh bangun, kau dah boleh berlari Kay, daripada kesakitan dulu. Aku rasa itu dah cukup menjadi perisai paling ampuh buat kau, Kay, kalau kau terpaksa melaluinya buat kali kedua.

Sekali lagi nafas dihela. Mata dipejamkan seketika. Bayangan Hisyam tiba-tiba melintas. Khalida pantas menggelengkan kepala seakan-akan mahu mengusir kenangan pahit yang turut terlintas di ruang fikiran.

“Entahla Lin. Kadang-kadang aku rasa nak terima lamaran makcik Noriah tu. Kesian pun ada tengok dia beriya-iya pujuk aku. Aku keliru dengan hati aku sendiri. Aku senang dengan Irfan. Cinta? Aku tak pasti.

“Kadang-kadang aku jadi takut pulak kalau aku selalu nak bandingkan dia dengan Hisyam. Hisyam cinta pertama aku. Macam mana teruk pun dia lukakan hati aku, aku tak boleh lupakan dia. Sekurang-kurangnya sebagai bekas suami. Bapa kepada Zikri dan Zufri.” Wajah Adlina di depan dipandang lembut. Mengharapkan pengertian sahabat yang sentiasa ada untuknya.

“Cinta pertama memang susah nak dilupakan tetapi ia melukakan hati kau. Bagi peluang kepada cinta kedua. Mana tahu kau akan bahagia.” Adlina masih berusaha memujuk.

“Entahlah, Lin.”

“Zikri dengan Zufri macam mana? Mereka boleh terima Irfan?” Khalida ketawa kecil mendengar soalan itu.

“Budak bertuah dua orang tu? Nampak Irfan mereka yang lebih-lebih. Macamlah Irfan tu bapa mereka pula.”

“Irfan pula?” Khalida terdiam. Menarik senyum segaris menatap Adlina yang menunggu jawapan.

“Somehow aku dapat rasa dia ikhlas melayan anak-anak aku, Lin. Dia curahkan kasih sayang seorang bapa untuk anak-anak aku. Sesuatu yang mereka tak pernah dapat, sesuatu yang aku tak boleh beri.”

“Dah tu? Kau nak tunggu apa lagi? Bukan senang nak cari lelaki yang boleh terima dan sayang anak lelaki lain macam anak sendiri.”

“Aku masih sangsi dengan perasaan aku sendiri, Lin.”

“Istikharah, Kay. Jawapan Allah itu pasti. Walaupun aku rasa hubungan baik Irfan dengan anak-anak kau tu pun sebenarnya satu petunjuk untuk kau buat keputusan.” Lembut Adlina membalas sambil menggenggam erat tangan Khalida.

“Terima kasih sebab selalu ada untuk aku, Lin.” Adlina sekadar mengangguk.

Dan mereka berpisah petang itu dengan Khalida mempunyai satu jawapan hampir pasti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience