BAB 7

Romance Completed 7510

SEPERTIMANA yang dipinta Aqasha, Emira telah menyediakan hidangan berbuka buat mereka suami isteri. Sejuk hati Aqasha apabila Emira masih sudi menjadi makmumnya pagi tadi. Ramadan yang dinanti akhirnya tiba jua. Aqasha tak sabar menunggu waktu Isya‘. Dia ingin menunaikan solat Tarawih bersama Emira.

Sementara menanti azan berkumandang, Emira dan Aqasha sama-sama diam membisu. Sesekali mata Emira mengerling jam dinding. Bila orang yang dinanti akan tiba?

"Eh.. Suara siapa kat luar tu? Awak dengar tak ada orang bagi salam?" kata Aqasha tiba-tiba. Semerta bibir Emira mengulum senyuman lebar. Akhirnya!

Emira berdiri dan tangannya mencapai tudung sarung yang memang diletak di sebelahnya. Selepas itu, dia berlari membuka pintu. Pagar rumah memang sengaja dibiarkan tak berkunci, memudahkan orang itu masuk ke dalam.

"Assalamualaikum.."

"Waalaikummussalam.. Ibu abah dah sampai pun.." Emira mencium tangan Puan Hajar dan Encik Shahid. Aqasha yang duduk di meja makan, terpinga sendiri bila melihat kemunculan kedua-dua orang tuanya.

"Dah lama Mira tunggu ibu abah sampai. Sekejap eh, Mira bayarkan duit teksi tu.." kata Emira dengan senyuman sebelum dia meluru keluar.

Aqasha mendekati orang tuanya lalu bersalaman dengan mereka. Dia masih tak faham apa yang berlaku. "Macam mana ibu abah sampai ke sini? Siap dengan beg?"

"Laa, Qasha ni dah kenapa? Kan ke Qasha yang suruh ibu abah datang, tidur kat sini seminggu." kata Encik Shahid, cuba mengingatkan anaknya yang satu itu. Berkerut dahi Aqasha. Bila masa pulak?

"Mira call ibu, dia cakap yang kamu nak sambut awal Ramadan dengan kitorang. Kononnya rindu sangat kat ibu abah ni."

Aik? Pulak dah?

"Hm, ibu.. Abah.. Duduklah dulu. Mira dah bayarkan tambang teksi tadi. Kesian ibu abah, mesti penat. Mira dah masak tau. Sekejap je lagi waktu berbuka. Ibu abah duduklah dulu.” kata Emira ramah, yang baru masuk semula ke dalam rumah.

Puan Hajar dan Encik Shahid berbalas pandang sebelum mereka mendekati ruang makan. Emira yang berhajat untuk mengiringi mereka, ditarik Aqasha dengan kuat.

"Apa yang awak buat ni? Kan saya dah cakap, saya nak buka puasa pertama dengan awak je!"

"Laa, apa salahnya? Ibu abah tu kan mak bapak awak, salah ke kalau saya ajak diorang?" balas Emira, juga dalam nada bisikan. Pandangan tajam Aqasha dibalasnya, langsung tak takutkan suami sendiri.

"Tapi.."

"Tak ada tapi-tapi. Saya bosan. Awak kat tempat kerja ada Lyna, saya kat rumah sorang-sorang je. Daripada saya makan hati bulan Ramadan ni, lebih baik saya layan ibu abah!" Nah! Ambik kau sebiji! Pedas lagi menyengat kata-kata Emira, buat Aqasha kehilangan taringnya. Lidahnya bagaikan disengat kala jengking. Tak mampu nak berkata apa-apa.

"Mira.. Qasha.. Buat apa kat situ?" tegur Puan Hajar.

"Ya, ibu.. Sekejap.." sahut Emira. Lengannya yang digenggam Aqasha direntap kuat.

Ini bukan Ramadan yang dia impikan. Emira harapkan Ramadannya akan ceria bersama suami dan ibu bapa mertua, tapi lain pula jadinya. Mungkin dalam masa terdekat ini, dia akan menerima hadiah sempena Ramadan - Seorang madu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience