BAB 2

Romance Completed 7510

"EH, mana awak dapat kari kepala ikan ni?" tanya Aqasha sambil matanya tidak lepas memandang lauk kari kepala ikan yang sudah terhidang di atas meja. Emira mendekati Aqasha lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Terpempan Aqasha dengan layanan isterinya. Tidak cukup dengan itu, Emira turut mengambil briefcase dan beberapa fail di tangannya.

"Abang duduklah dulu. Mesti abang penat.."

Emira menarik kerusi untuk Aqasha. Bertambah terkedu Aqasha jadinya. Selalunya, sang suami yang akan menarik kerusi buat isterinya tapi kini terbalik pula. Lambat-lambat dia duduk.

Setelah itu, Emira duduk bertentangan dengannya. Lincah tangannya menyenduk nasi dan lauk buat Aqasha. Air sirap limau turut dituang ke dalam gelas. Setiap tindak-tanduknya membuat mata Aqasha terus leka memerhatinya.

"Makanlah.." pelawa Emira bersama senyuman.

Aqasha termangu seketika. Bagaikan tidak percaya, Emira Dayana sedang melayannya persis putera. Hari ini, genap seminggu Emira pulang tapi tak pernah dia luangkan masa bersama isterinya itu.

"Abang.." suara lembut Emira menyedarkan Aqasha yang Emira masih wujud di depan matanya.

"Err.. Tunggu sekejap.. Saya pergi basuh tangan."

"Okay!" jawab Emira dalam nada yang ceria. Aqasha melemparkan senyuman hambar. Lambat-lambat dia berdiri dan menuju ke dapur. Setibanya di sinki, Aqasha mencuci tangan sambil otaknya ligat memikirkan Emira.

Entah kenapa, Emira dirasakan berbeza. Perasaannya pada Emira juga berbeza. Ada sesuatu yang menyelinap masuk ke dalam hatinya. Senyuman terbit di bibir tanpa Aqasha sendiri sedar. Aqasha kembali ke ruang makan lalu duduk di tempatnya tadi.

"Cepatlah makan.." gesa Emira yang semakin tidak sabar. Dia ingin mendengar komen Aqasha. Samaada pujian atau kritikan, Emira tidak sabar mahu mendengarnya. Usai membaca doa, Aqasha mula mengisi perutnya.

Sekali suap, Aqasha rasa ianya tidak mencukupi. Dia makan lagi dan lagi.

"Sedapnya.. Mana awak beli kari kepala ikan ni?"

"Sedap ke?" Bersinar mata Emira mendengar pujian itu. Aqasha angguk seraya ibu jari kirinya diangkat. Jelas menunjukkan kelazatan kari kepala ikan yang dimakannya.

"Waahh, lepas ni bolehlah Mira masakkan lagi untuk abang!"

Erk. Suapan Aqasha terhenti. Masakkan lagi untuk abang? Aqasha mengulangi ayat itu di dalam hatinya. Maknanya, Emira yang masak?

"Awak masak?"

"A ah.. Tadi Mira bosan sangat kat rumah.. Mira cari nombor telefon ibu kat dalam buku telefon tu. Lepas borak-borak, Mira terfikir nak masakkan untuk abang. Mira tanya ibu, abang suka makan apa. Ibu cakap kari kepala ikan. Mira mintaklah resepinya!" cerita Emira penuh teruja. Mujur ibu mertuanya ada. Kata Aqasha ibu bapa kandung Emira telah meninggal dunia dan selama ini, dia hanya meneduh kasih ibu bapa Aqasha. Patutlah mulutnya ringan sahaja bercerita dengan ibu mertuanya itu walaupun mereka belum bersua muka sejak Emira keluar dari hospital! Hati Emira melonjak tak sabar mahukan memorinya cepat pulih.

"Habis tu.. Mana awak dapat bahan ni semua?" tanya Aqasha lagi.

Emira tersengih sendiri. Dia menggaru kepalanya. "Hmm.. Mira tahan teksi tadi. Abang ada tinggalkan duit kan semalam.. Mira cakap je, nak pergi Tesco. Ibu yang bagitau, beli bahan kat Tesco je."

"Kan saya dah cakap, jangan keluar rumah sorang-sorang! Awak tak ingat jalan kan.. Kalau diorang tipu awak, macam mana? Awak ni tak pernah nak dengar cakap saya!" Nada suara Aqasha mula meninggi. Ini yang buat dia bengang. Kenapa Emira suka buat suka-suka hatinya?

Tersentak Emira dibuatnya. Tersentak dan tersentap. Niat baiknya telah mengundang kemarahan suaminya. "So.. Sorry.. Mira cuma nak masakkan untuk abang je. Tapi kalau abang tak suka, lain kali Mira tak buat lagi.." Mendatar suara Emira sewaktu meminta maaf.

Emira tunduk memandang pinggannya yang masih kosong. Sejak tadi, dia hanya perhatikan Aqasha makan sedangkan dirinya sendiri masih belum menjamah makanan dari pagi.

Aqasha menghela nafasnya panjang. Rasa bersalah pula kerana telah meninggikan suara, apalagi di depan rezeki. "Dahlah.. Awak dah makan ke belum?" tanyanya. Mungkin Emira tak sedar yang perutnya berbunyi terlalu kuat, sampaikan Aqasha boleh mendengarnya.

Gelengan Emira buat Aqasha dihambat rasa bersalah. Sedangkan Emira bersungguh-sungguh ingin melunaskan tanggungjawabnya selaku seorang isteri, dia pula marah-marah kerana dihantui kenangan lama.

Pinggan kosong Emira ditarik lalu Aqasha menyenduk nasi buat isterinya. Lidahnya jadi kelu untuk meminta maaf dari Emira, lantas Aqasha mengambil jalan mudah dengan menggunakan aksi non-verbal.

"Thanks, bang.." ucap Emira.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience