BAB 3

Romance Completed 7510

ALBUM GAMBAR itu dibeleknya satu persatu. Zaman bercinta, hari perkahwinan, bulan madu dan juga ulangtahun perkahwinan. Semuanya ada. Tersenyum Emira bila dia dapat rasakan betapa seronoknya dia di samping Aqasha.

"Abang.. Waktu ni kita pergi mana?" tanya Emira sambil jarinya mengunjuk pada sekeping gambar. Dia, Aqasha dan Lyna mengambil gambar bersama-sama. Sementara dia dan Aqasha berpelukan, Lyna pula di sebelahnya sambil menjelir lidah.

Aqasha yang sedang menonton rancangan bual bicara di TV, menoleh pada isterinya. Matanya jatuh pada gambar yang ditunjuk. "Oh.. Waktu tu kita pergi bercuti kat Semporna.. Lyna pun ikut sekali. Awaklah yang beriya-iya sangat nak ajak dia." Aqasha menyudahkan kata-katanya dengan senyuman. Entah apa yang diingatnya sampaikan Aqasha tersenyum-senyum sendiri, Emira tak tahu.

"Oh.." sahut Emira pendek. Aqasha kembali menonton TV sementara Emira belek album itu dengan perasaan sebal. Di setiap gambar, pasti ada wajah Lyna. Terdetik di hati Emira, kenapa mesti Lyna? Kalau benar mereka berkawan baik, kenapa dia tak selesa dengan Lyna?

Emira terus membelek, hingga akhirnya matanya jatuh pada sekeping gambar. Sekeping gambar yang cukup untuk membuat emosinya terganggu. Nafas Emira mulai tidak teratur, dia membelek album itu dari depan.

Setiap gambar ditelitinya dan tanpa sedar, hatinya mula menyumpah seranah.

"Abang.. Lyna tu, secretary abang, kan?"

"A ah.. Kan saya dah beritahu awak sebelum ni. Dia jadi secretary saya sebab awak yang beriya-iya rekemenkan.. Kebetulan waktu tu, saya tak ada secretary. Saya ikutkanlah.." jawab Aqasha jujur.

Bibirnya diketap geram. Sejak awal lagi, setiap kali berkaitan Lyna, mesti Aqasha akan jawab, Emira yang suruh. Emira yang rekemenkan. Emira yang ajak. Kenapalah dulu Emira bodoh sangat? Ataupun dirinya dulu memang tidak berperasaan?

Album gambar tadi ditutup. Hilang terus moodnya bila memikirkan siapa Lyna sebenarnya di hati Aqasha. Emira bukannya mahu menuduh Aqasha bersikap curang namun sikap Aqasha sendiri menjadi bukti.

Setiap kali nama Lyna disebut, bibir lelaki itu akan cuba menahan senyumnya dari jelas kelihatan. Setiap malam, Emira perasan Aqasha selalu berbalas whatsapp sebelum tidur. Sudahlah sampai sekarang Aqasha masih belum pernah 'menyentuhnya'. Mustahil lelaki itu tak rindukan dirinya sedangkan beberapa bulan dia terlantar di hospital. Dan bukti paling jelas, Aqasha menggunakan gelaran diri 'saya-awak' dengannya sedangkan Emira memanggilnya 'abang'.

Bibir Emira melepaskan keluhan. Tanpa sedar, dia melentokkan kepalanya di bahu Aqasha. Satu perasaan tenang muncul manakala Aqasha pula terkedu. Hilang konsentrasinya pada rancangan TV.

"Abang.. Abang dengan Lyna.. Memang rapat ke?"

"Lyna? Kenapa dengan Lyna?"

Semerta bibir Emira menguntum senyuman sinis. Dia tahu, Aqasha sedang menyembunyikan perasaan gelabah. Dia pernah terbaca satu artikel, cara untuk mengesan apabila orang itu sedang berbohong. Salah satunya, menekan suara dan bercakap sedikit lambat. Itulah yang dilakukan Aqasha.

"Tak ada apa-apa. Saja je tanya. Hm, kan bagus kalau Mira boleh ingat balik semuanya. Mesti best kan? Mira ingat abang, ingat kita.. Ingat Lyna.."

Tiba-tiba Aqasha gerakkan sedikit tubuhnya. Jelas yang dia kurang selesa bilamana nama Lyna dibangkitkan. Emira cuba menahan dirinya dari 'meletup'. Sabar, Emira.. Sabar.. Kau tak ingat lagi siapa diri kau. Entahkan ada benda penting yang kau tak ingat lagi. Jangan terlalu cepat marahkan suami sendiri... Emira mengingatkan dirinya berkali-kali.

"Abang.."

"Hm?"

"Mira sayang abang."

Telus kata-kata itu dan Emira sangat berharap akan ada balasan dari Aqasha. Tapi ternyata semuanya hanya sia-sia. Seperti yang diduga, tiada balasan dari sang suami. Ya, ada lagi satu bukti yang dia tertinggal. Tak pernah sekalipun, Aqasha mengucapkan kata cinta kepadanya.

Hati Emira merintih. Dia pejamkan mata tapi air matanya mengalir tiba-tiba. "Hm, Mira naik bilik dulu," kata Emira, cuba menahan nadanya dari jelas menunjukkan perasaannya kini.

Emira berlari menaiki anak tangga dan masuk sahaja ke dalam bilik, air matanya berjuraian keluar. Dia kecewa. Dia sakit hati. Dia marah. Dia bengang. Terutamanya bila teringatkan gambar tadi. Dia dan Aqasha bergambar sambil berpelukan, sedangkan Lyna pula sedang memandang ke arah mereka.

Salah. Bukan pandang mereka. Tapi Aqasha.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience