"ISH, Atiq Iman bin Shauki!" Erina buka mukadimah bebelan. Penat sungguh dengan kawannya yang seorang itu. Tadi kononnya ajak berjumpa. Tup-tup, tak jadi pula.
Sambil berjalan, sambil Erina membebel. Macamlah tuan punya badan ada di sebelah dia pula. Apa dia peduli? Geram sangat, tahu? Jemari laju menaip karangan kepada satu-satunya sahabat karibnya itu. Moga-moga Atiq insaf.
Boleh Atiq berjenaka tak lucu? Memang sengaja kan suka menyusahkan orang? Erina datang bukannya dengan kereta sendiri. Guna grab! Seharusnyalah dia geram! Satu hal pula kena tunggu grab datang di tengah-tengah terik begini.
Erina menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg sling setelah puas menghantar kata-kata kesat kepada Atiq. Seketika dia berhenti berjalan, menganalisa kawasan sekeliling.
Terus dia menepuk dahinya sekali. Ah, bagus! Marahkan Atiq sangat sampai sesat. Sudahla tempat ni dia tak pernah sampai, apatah lagi jejakkan kaki. Jalan menonong aje ikut hati sendiri.
Sungguh sepi. Seolah-olah hanya dia seorang saja manusia di situ. Tiada langsung kelibat seseorang di situ. Air liur ditelan sekali, terasa kesat melalui anak tekak. Jantung mula berubah rentak bersama getaran pada dadanya. Ketakutan kian menguasai diri.
Dalam hati sudah memarahi diri sendiri. Inilah padahnya lepas geram dekat orang tanpa pandang kiri kanan!
Tak cukup marah dari segi batin, dia memarahi diri sendiri pula dari segi zahir. Dahi dijentik berkali-kali, "Stupid!" seiring perkataan itu disebut setiap kali dia melepaskan jentikkan.
Erina menghembus nafas lemah, berserah sajalah! Tali beg sling digenggam erat, seakan-akan tersembul kekuatan melalui tali tersebut pada saat ini.
Kalaulah sekarang dia tak marahkan Atiq, tentu saja dia akan menghubungi lelaki itu. Mahu hubungi Mak Ngah, dia takut kalau-kalau menganggu. Mak Ngah ada lebih banyak kerja penting yang hendak diuruskan. Sekurang-kurangnya jika mahu hubungi grab terus, dia perlulah mencari arah untuk ke jalan besar terlebih dahulu.
Erina akhirnya mengambil keputusan untuk teruskan berjalan mengikut firasat sendiri. Dalam hati kuat berdoa agar tidak ditimpa sebarang musibah sebelum menemui jalan besar.
Namun, tuah tak selalu menyebelahi Erina. Sedang dia berjalan menjenguk ke celah-celah lorong di situ, kakinya pantas terpasak saat mendengar satu bunyi aneh. Datang dari lorong berdekatan.
Ya Allah... kalau tadi dia hanya takut sekarang siap pakej nak terkucil pula!
Ah, sudah...
Erina cuba tenangkan diri sendiri dengan meniupkan kata-kata semangat di dalam hatinya, bersama beberapa petikan doa.
Setelah yakin, dia mula menapak beberapa langkah.
Kemudian, berhenti.
Senyap. Bunyi aneh tadi perlahan-lahan tenggelam. Erina pasti bunyi aneh itu, bunyi pergaduhan tetapi dia tidak pasti apakah punca tercetusnya pergaduhan tersebut. Kalau telinga dia tak salah tafsir, kedengaran bagai mereka sedang bergaduh dalam bahasa asing.
Dia tahu, sunyi yang menyapa sepatutnya adalah peluang buatnya untuk melarikan diri.
Malah kini entah kenapa, dia masih lagi pegun berdiri di situ. Dalam posisi yang sama, memegang tali beg sling erat. Kepala otak ligat memikirkan beberapa kemungkinan.
Antaranya, mungkin juga salah seorang daripada mereka sudah tercedera.
Hati cakap jalan aje. Otak pula memberi arahan supaya dia pergi menjenguk, memastikan tebakannya betul.
Air liur ditelan lagi. Dalam-dalam situasi genting begini, laju aje air liur turun mengalahkan air terjun Niagara. Harap-harap 'arahan' daripada otaknya sendiri bernas lah. Dia berjalan perlahan, berjengket-jengket menuju ke salah sebuah lorong yang terdapatnya pergaduhan tadi. Mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang bunyi yang boleh menarik perhatian mereka. Berharap juga 'kecuaian'nya tidak tertonjol.
Bersembunyi di balik dinding bangunan, Erina lambat-lambat mengeluarkan kepalanya. Deria penglihatan dan pendengarannya ditajamkan.
Betul tekaannya. Dua orang lelaki. Seorang sudah terbaring lemah terkulai, seorang lagi sedang berdiri tinggi memandang 'mangsa'nya tajam.
Dia perhatikan keadaan mereka berdua. Yang lemah terkulai, terdapat banyak kesan darah dan lebam pada mukanya. Pun begitu, dia tetap tidak lepas memandang lelaki di hadapannya dengan pandangan bengis. Seolah-olah mengumpul kekuatan dan bila satu ketika kekuatannya penuh nanti, dia bakal menyerang balas.
Mata Erina ditumpukan pula kepada lelaki nombor dua, yang sedang berdiri tinggi. Jaket denim setia melekap pada tubuh. Rahang diketap, kepala disengetkan. Pandangannya itu bagaikan meratah-ratah 'mangsa' di hadapannya.
"Lái ba, zhàn q?lái. Hé w? zhàndòu. (C'mon, stand up. Fight me)" Nada suaranya seakan memprovok. Tahu lelaki di hadapannya sudah tidak berdaya.
Seperti tadi, 'mangsa'nya itu tidak mampu buat apa-apa. Hanya menghadiahkan pandangan bengis.
"Qù n? de. (Screw y...ou)" Gagap di tengah-tengah ayat. Gigi putihnya bertukar warna merah menyala.
"Y?yán, háizi. (Language, kid)" Dengan itu, lelaki tadi mengangkat kepalan tangannya tinggi.
Dan Erina juga tahu, sepatutnya dia melarikan diri pada waktu itu. Tetapi dia terlampau alpa dan juga, cuai.
Jeritan kecil terlepas dari mulutnya tanpa sempat dikawal. Setelah tersedar keterlanjuran diri, barulah Erina menekup mulut. Namun semuanya telah terlambat. Lelaki-lelaki tadi akhirnya sedar bahawa semenjak tadi bukan hanya mereka berdua sahaja disini.
"Oi!"
Lelaki berjaket denim mula mengatur langkah, berjalan laju menghampiri Erina. Dia juga yang menyedari dirinya sedang dikejar, tidak mengambil masa yang lama untuk meloloskan diri.
Ah, menyesal betul ikut otak sendiri! Layak buang jauh-jauh ajela otak dia ni! Erina menyumpah-nyumpah kekhilafan sendiri dalam hati.
Ya Allah... selamatkanlah aku!
Tanpa arah tuju, Erina melarikan diri sekuat hati. Berharap setiap langkah yang diambil akan menghubungkannya ke jalan besar.
Erina hampir berputus asa dan menyerah diri saja tadi. Nyawa dihujung-hujung tanduk. Sudahla kaki pendek, cepat semput pula tu. Dia pasti, lambat-laun mesti lelaki tadi tetap akan dapat menangkapnya biarpun santai saja cara lelaki itu berjalan mengejarnya.
Erina memperlahankan larian. Satu, kerana dia semput. Dua, kerana bunyi tapak kaki yang mengejarnya tadi sudah hilang. Sepatutnya dia berasa lega, tetapi entah kenapa perasaan 'lega' sekarang ini tidak mampu disebut. Hati gundahnya menyebabkan dia berasa jauh dengan perkataan itu.
Lututnya kian melemah. Mahu tak mahu, Erina terpaksa juga gagahkan diri untuk meneruskan perjalanan, walaupun lambat. Selagi belum menemui jalan besar, selagi itu dia masih lagi dalam bahaya sekalipun bunyi derapan langkah lelaki tadi sudah hilang.
Beberapa tapak bergerak, akhirnya Erina jatuh terduduk. Sudah tidak berdaya meneruskan perjalanan lagi. Terlampau gagahkan diri buruk pula padahnya nanti. Biarlah dia berehat sebentar.
Erina bersembunyi di balik timbunan sampah. Busuk, cuma dia tak boleh pedulikan semua itu sekarang. Kantung mata dikatup rapat. Syukurlah sekurang-kurangnya dia mempunyai perlindungan dan selamat.
Buat masa sekarang.
Sunyi menyapa. Seperti ketika Erina pertama kali menjejakkan kaki di kawasan ini. Bezanya kali ini lebih gerun kerana dia tahu, ada seseorang sedang memburunya.
Erina menekup mulut, sebagai pengajaran daripada insiden tadi. Terlampau takut sehinggakan pernafasannya yang tercungap-cungap serta memerlukan bantuan kedua-dua anggota badannya, iaitu mulut dan hidung pun dia terpaksa tahan.
Sebelah tangan Erina terketar-ketar menarik tali beg, sebelah lagi kekal menekup mulut. Telefon bimbit dicapai. Pedajalkan egonya sendiri, tiada masa nak layan ego kalau tengah-tengah dalam bahaya!
Erina cuba mengagau telefon bimbit di dalam beg sling. Barangan dalam begnya tidak banyak. Namun dek kerana tangannya yang terketar-ketar dan berpeluh, ia membuatkan telefon bimbitnya payah untuk diambil.
DUM!
Belum pun sempat tangan meraih telefon bimbit sendiri, bungkusan-bungkusan sampah yang menjadi pelindung badan kecilnya tadi terpelanting ke tepi. Disepak sehingga tiada lagi sebarang pelindungan dan tempat persembunyian untuknya.
Akhirnya, ketakutan yang selama ini Erina sedaya upaya cuba hindari, kini sedang berada di hadapannya. Riak muka tenang memerhatikannya namun dia belum cukup bodoh untuk tidak memahami ‘maksud’ riak muka tenang itu. Di balik ketenangan itu, tersembunyinya kemarahan.
Air liur laju melalui tekak mengalahkan air terjun Niagara. Usah disebut bertapa susahnya dia untuk bernafas sekarang. Naik turun, naik turun dadanya mengepam oksigen masuk. Air mata bergelinang di tubir mata. Kepalanya membayangkan beberapa gambaran negatif.
Lelaki di hadapannya ini nampak betul-betul menakutkan. Mata monolidnya sedari tadi tidak lepas memandang wajah Erina, cuba menakut-nakutkan lagi Erina.
"Hai, penat lari?" Ayat sinis berbaur sapaan yang keluar dari bibir nipis lelaki itu menandakan mimpi ngeri Erina telah tiba.
Atau mungkin... frasa kata 'ajal' lebih sesuai menggantikan perkataan 'mimpi ngeri' itu.
Erina bingkas bangun, ingin melarikan diri tetapi lelaki itu lebih tangkas. Dalam sekelip mata, lelaki itu berjaya menarik tali beg slingnya sebelum sempat Erina melarikan diri.
Impaknya, terus jatuh terduduk Erina menahan sakit. Tulang bertemu tar kut! Silap-silap boleh retak tulang punggungnya kalau macam ni.
"Kau ada dengar apa-apa tak tadi?" soal lelaki tadi dari belakang Erina. Perlahan-lahan dia berjalan mengelilingi Erina. Senyuman sinis tersungging di bibirnya. Seronok betul dia mengusik gadis ini. Muka takut Erina sedikit sebanyak membuatkan hatinya terhibur.
Secara jujurnya, dia sukakan situasi ini. Dia suka apabila dia kelihatan menakutkan di mata orang lain. Ianya membuatkan dia berasa seronok.
Dia duduk bertinggung berhadapan dengan Erina. Mata mereka separas. Sempat melakukan beberapa detik kontak mata sebelum Erina tunduk pandang bawah.
Erina pejam mata. Gerun. Nak-nak lagi bila ketahuan lelaki yang sedang bertinggung menghadapnya ini baru saja lepas tumbuk orang.
Erina menggeleng sebagai jawapan kepada pertanyaan leaki tadi. Jujur, memang sepatah apa yang keluar dari mulut lelaki tadi dia tidak faham apa-apa langsung. Dengar pun samar-samar aje tadi.
"Habistu kau buat apa dekat sini?" Lelaki itu melanjutkan siasatan. Gadis ini bukan salah seorang orang upahan keluarganya, kan?
Masih lagi sedang menunduk, "Saya sesat," jawab Erina takut-takut.
Dari penglihatan periferalnya, Erina dapat lihat bayangan lelaki itu kini bangun dan berdiri tinggi menghadapnya, "Cakap dengan orang macam ni ke? Adab mana?"
Terus tegak kepala Erina, langut memandang tubuh renjongnya, "Sorry," ucapnya. Perkataan itu saja yang dia mampu keluarkan sekarang. Dia kehilangan kata-kata, tiada kata lain selain maaf dapat dia tuturkan.
"Tangan kau sakit tak?" Cahaya mentari sedikit menyimbah mata bening gadis ini. Secara tiba-tiba membuatkan terbit rasa bersalah dalam dirinya. Barangkali kerana mengingatkan nasib gadis ini. Sudahla sesat, cedera pula itu.
Soalan itu buatkan Erina tersedar. Perhatikan tangan sendiri.
Tangannya pula bagaikan tahu, kuat berdenyut sakan. Darah hampir kering dan beberapa biji batu melekat pada telapak tangan. Kelihatan sikit namun sakitnya tak terkata. Erina tertanya sendiri, sejak bila dia dapat luka ini? Mungkin juga ketika dia gelabah melarikan diri daripada lelaki ini tadi.
Tidak dapat tidak, dia mendesis kesakitan. Ah... malang betul nasib diri. Badi apalah yang melekat pada badan dia? Bermula dengan sesat, menjadi saksi pergaduhan orang, dikejar oleh lelaki ini dan sehinggalah sekarang, bertentang empat mata bersama lelaki ini. Jadi, selepas ini apa pula?
"Jom. Aku ubatkan kau." Lelaki ini menawarkan diri. Jarang dia bersimpati terhadap orang lain. Ini pun mungkin kali ketiga dia menurunkan bantuan.
"Ha?" Separuh bingung, separuh terkejut nada suara Erina. Bingung kerana tadi dia menyangka lelaki ini akan membunuhnya. Terkejut kerana dia tidak menyangka lelaki ini mahu membantu mengubati tangannya.
"Nanti lagi teruk kalau biar." Bernada dingin namun terselit sedikit keprihatinan. Mata monolidnya memerhatikan Erina, menunggu jawapan daripadanya.
Erina mengangguk. Lega sikit hatinya. Cuma, dia tak boleh lega sangat! Cepat-cepat dia mengingati diri sendiri.
Niat lelaki ini mungkin kelihatan suci tapi, manatahu... ada udang disebalik batu?
Maksudnya, bukan dia mahu bersangka buruk tapi lelaki di hadapannya ini baru aje lepas tumbuk orang kut! Mungkinkah Erina mangsa dia seterusnya?
Layar negatif mula bermain di benak fikiran. Memandangkan sejak dia menjejakkan kaki di kawasan ini tuah langsung tidak menyebelahinya, tidak mustahil musibah lain bakal berlaku kepada dirinya.
Melihatkan mata tajam lelaki ini semenjak tadi tidak lepas memandangnya, rasa khuatir Erina menjengah kembali.
"Awak betul nak ubatkan saya?" Erina aktifkan mod berjaga-jaga. Sia-sia aje jika dia terlanjur mengikuti langkah lelaki asing berbangsa Cina ini.
"Dahtu?" Lelaki itu menyoal. Tidak nampak sebarang masalah untuk Erina bertanya banyak lagi. Jarang sekali dia menolong orang. Ini pun entah-entah kali ketiga dia membantu orang. Niatnya sememangnya baik, mahu mengubati luka gadis ini dan kemudian menghantarnya ke jalan besar.
Erina diam. Tak menyuarakan isi fikirannya. Cuma kedip-kedipkan mata tenung dia. Mencari sebarang pembohongan dibalik mata monolid namun menarik itu.
"Kau ingat aku nak bunuh kau ke?" soalnya, lebih kepada meneka.
Erina ketap bibir, enggan beritahu jawapan sebenar. Kediamannya buatkan lelaki itu mengeluh. Tahu apa yang ditekanya tadi mengena. Tak boleh salahkan gadis ini juga. Kalau mereka berubah tempat, pastinya dia sendiri akan paranoid.
"Buang masa aku ajela bunuh kau. Aku kalau nak bunuh orang, aku tak cari mangsa yang badan macam kau ni. Keding. Tak seronok." Sedap lelaki itu mengata Erina. Ketapan di bibirnya bertambah. Geram. Kalau bukan sebab lelaki ini baru aje tumbuk orang, dah lama Erina akan sembur balik.
"Cepatlah," gesa lelaki ini. Malas mahu berlengah lagi. Kalau banyak lagi soalan perempuan ni nak tanya, memang dia akan batalkan niat baik dia terus. Pergi dari sini dan tinggalkan perempuan ini terpinga-pinga seorang diri.
Erina cuba bangun, tak mahu lelaki ini tunggu lama-lama. Risau juga dia kalau betul-betul lelaki ini akan bunuh selagi dia belum bangun.
Baru beberapa sentimeter punggungnya menjauhi tanah, Erina terduduk semula. Pegang lutut sendiri dan gosok perlahan. Sakit kesan daripada melarikan diri tadi masih ada. Sia-sia aje dia larikan diri. Kalaulah dia tahu lelaki ini tiada niat buruk terhadapnya, pasti tadi dia tak akan bazirkan stamina dia. Bukan setakat stamina, lututnya pun tak akan berasa lembik sekarang ini.
"Lambat la kau ni,” rungut lelaki itu. Tak mampu berlama lagi di tengah-tengah bahang ini.
Tubuh Erina terus dicempung dan kemudian dalam sekelip mata, badannya sudah terapung tidak menjejaki tanah. Selamat dalam pegangan lelaki ini.
Terjerit kecil Erina jadinya, refleks. Terkejut dan tak sangka lelaki ini ambil langkah berani macam ini, "Sa... ya boleh jalanla!"
"Dahtu bila nak sampai? Esok?"
Erina diam, memikirkan lagi alasan munasabah lain supaya lelaki ini menurunkan dia. Biarlah dia jalan lambat sekalipun. Asalkan lelaki ini tidak perlu angkat dia. Segan. Jarang dia disentuh mana-mana lelaki. Walaupun dalam kes ini dimaafkan atas sebab darurat.
Lelaki ini mungkin tak kesah dan sudah terbiasa. Padanlah dengan riak muka dia. Langsung tak pedulikan jeritan Erina tadi.
"Err... awak mana boleh sentuh saya!" Erina bagi tipu sunat. Bukannya lelaki ini tahu pun.
"Ya? Setahu aku boleh aje kalau dalam keadaan terdesak."
Okay, dia tahu.
Pada akhirnya Erina mengalah juga. Segan bercampur kekok. Tapi apa pilihan yang dia ada? Nak membantah sudah tentunya tak boleh.
Sepanjang perjalanan, mata Erina berlari ke beberapa arah. Enggan memandang sisi muka lelaki itu. Jarak muka mereka agak rapat. Sekali-sekala tetap terpandang wajah sisi lelaki itu.
Lelaki itu fokus berjalan memandang ke depan. Mata dia sesekali menjeling ke arah Erina dan apabila itu berlaku, Erina bagaikan sudah bersedia menyambut anak matanya. Semenjak tadi dia tak lepas memandang wajah lelaki yang sedang mengangkatnya ini. Perempuan memang begini, ya?
Mata Erina terkatup rapat kesan daripada cahaya matahari menusuk masuk ke dalam kornea. Silau. Dia sedar akan keberadaan mereka sudah keluar dari kawasan sunyi yang dilebati oleh pokok-pokok rendang tadi. Kini mereka berada entah di mana, dia pun tidak pasti. Hatinya mula merasai sesuatu. Sesuatu seperti gundah bercampur risau. Ya, dia patut percayakan lelaki ini. Iyalah, mana ada lelaki asing yang sanggup tawar diri rawat dia, siap tolong angkat pula tu tetapi seriau itu pasti akan terselit juga.
Belum pun cukup sejam pertemuan mereka, hanya kenal dari segi luaran. Niat betul lelaki ini dia tidak tahu. Entah betul entah tidak mahu merawatnya.
"Tak banyak orang dekat tempat ni. Memang sunyi sikit." Lelaki itu bersuara, memulakan perbualan. Cuba menghilangkan rasa takut gadis ini, "Jangan takut. Kau selamat dengan aku." Halkumnya bergerak-gerak selepas dia mengeluarkan ayat tersebut. Khuatir kalau-kalau dia tersalah cakap. Dia bukanlah seorang yang arif dalam memberikan kata-kata melegakan hati orang lain.
Melihat anggukan daripada gadis ini, dia menghembuskan nafas lega. Baguslah.
Sekejap... sejak bila dia pedulikan perasaan orang lain?
Alunan gitar dan nyanyian entah lagu apa kedengaran tak jauh dari tempat mereka berjalan.
Oh, bukan mereka. Lelaki itu saja.
Dia teruskan berjalan melepasi pagar rumah kecil ini yang sudah sedia terbuka. Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu rumahnya, dia menedang kuat pintu itu. Kuat bunyi bantingan pintu terbuka luas. Bukan hanya gadis dalam pegangannya saja yang terkejut malah, seluruh isi rumah itu turut terkejut. Sepakat, mereka meberhentikan segala aktiviti mereka. Alunan bunyi gitar dan nyanyian kecil tadi terhenti serta-merta.
"Yuanjun! Kau... Eh, perempuan?" Bunga-bunga amarah salah seorang kawannya layu apabila mata dia dan gadis asing dalam pegangan sahabatnya itu bersabung.
"Aku lelaki," jawabnya selamba.
Erina ketap mulut, tahan gelak. Ada betul juga jawapan dia tadi. Terkejut sangat agaknya bila nampak anak dara orang sampai susun ayat pun tak betul.
"Siapa dia?" Seorang lagi lelaki bertanya. Ketika itu, lelaki tadi sudah selamat mendaratkan Erina pada salah sebuah kerusi di dapur rumah mereka.
"Uh... perempuan?" Nyatanya jelas. Intonasi dia seakan-akan sedang bersarkastik.
Jaket denimnya ditanggalkan terlebih dahulu. Panas seharian berkeringat di bawah terik matahari. Dan kini hanya baju T putih melekat pada badannya. Kit pertolongan cemas diambil dari dalam kabinet dan diletakkan di atas meja. Segala usikkan atau kata-kata galak dari rakannya seolah tidak memberi kesan. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan kalau hendak diperihalkan guna peribahasa.
Dia mengangkat salah sebuah kerusi lain dan menempatkannya berhadapan Erina, "Tengok tangan," pintanya. Erina akur, menghulurkan tangannya yang terluka itu tanpa banyak bunyi.
"Nama dia apa weh, Yuanjun?" Lama kawan Yuanjun diam. Kalini berbunyi pula. Bertanyakan tentang nama Erina. Gadis itu sedikit sebanyak menarik minat dia. Bukan bermaksud dia sudah tangkap cintan dengannya tapi dia dihurung perasaan aneh. Sahabatnya itu jarang sekali mahu menolong orang. Bila Yuanjun bawa pulang gadis asing ini... dia jadinya tertanya-tanya.
Yuanjun cuma angkat bahu, tetap fokus merawati tangan gadis itu. Sekilas, Yuanjun memandangnya. Seakan-akan memberi isyarat supaya empunya badan sendiri menjawab.
Erina menoleh ke arah rakan Yuanjun yang bertanyakan soal namanya tadi. Tahu mereka menanti jawapan darinya pula setelah Yuanjun cuma angkat bahu saja tanda dia tak tahu.
Senyum sekali, "Nur Erina Ayesha. Panggil Erina."
"Oh, hai Erina! Saya Naufal Hakimi. Boleh panggil Naufal! Ni, Izz. Ada lagi dua orang tapi dia orang pergi mana entah." Ramah Naufal perkenalkan diri sambil jari menunjuk orang sebelah, iaitu Izz. Izz senyum seulas.
Sekadar angguk dan balas senyuman Izz ajelah Erina mampu. Bila baru kenal, tahu-tahulah tahap segan tu macam mana.
Erina kembali perhatikan Yuanjun bila telapak tangannya terasa menyengat. Dia menahan mulut dari mengeluarkan sebarang bunyi.
"Macam mana boleh jatuh?" soal Naufal lagi. Izz kekal diam di sebelahnya.
Erina pandang Yuanjun. Soalan itu agak terbuka, Naufal tidak menyoal secara spesifik. Erina dalam dilema. Ingin buka cerita, dia risau kalau-kalau dia tersilap cerita kronologi situasi tadi.
Jadi, dia ambil jalan selamat. Kunci mulut rapat dan biarkan Yuanjun aje jawab.
Plaster ditampal pada luka Erina sesudah Yuanjun meletakkan antiseptik.
"Takdir,” jawab Yuanjun mudah. Nanti-nanti jika ada kesempatan dia akan menceritakan semuanya dari A hingga Z. Naufal berhak tahu, cuma masa tidak mengizinkan mereka. Sekurang-kurangnya tunggu sehingga dia menghantar Erina pulang terlebih dahulu. Khuatir juga dia terpecahkan apa-apa informasi kepada gadis ini.
"Meluat aku," Balas Naufal menyampah. Gitar yang sedia ada dalam pegangannya dipetik. Mula memainkan lagu secara rawak.
"Kau ada sakit dekat mana-mana lagi, tak?" Suara Yuanjun mengalihkan perhatian Erina dari Naufal. Tangan Yuanjun ligat meleraikan kain pembalut dari bentuk asalnya.
Erina berjeda sebentar. Tiada sebarang kecederaan lain selain daripada rasa lutut dia macam nak tercabut dan luka pada tapak tangannya yang sudah diubati oleh dia.
Erina geleng.
"Aku nak balut tangan kau ni. Kau tak kesah, kan?" Yuanjun pinta kepastian. Tadi bolehla dia main angkat aje gadis ini atas sebab berlapik. Sekarang, dia perlukan keizinan dari tuan punya badan kerana tangan mereka bakal bersentuhan.
Erina geleng lagi.
Sunyi selepas itu di antara mereka berdua. Yuanjun fokus membaluti tangan Erina sedangkan dia pula lebih selesa menjadi pemerhati. Pelik kalau tiba-tiba Erina ajak Yuanjun borak. Yuanjun pun tidaklah kelihatan seperti seorang yang peramah.
"If the whole world was watching I'd still dance with you..." Naufal menyanyi kecil berselang-seli dengan petikan gitar.
"Drive highways and byways to be there with you..."
Perhatian dari tanganya kini lagi sekali beralih kepada Naufal. Erina tajamkan telinga, cuba meneliti setiap bait lagu yang dia nyanyi. Suara serak-serak basah Naufal betul-betul sepadan dengan lagu ini.
"Over and over the only truth..." Naufal pandang Erina sambil tersenyum kecil. Kepala dianggukkan sekali kepada Erina, menyuruh dia untuk meneruskan rangkap selebihnya. Tahu-tahu saja Naufal lagu ini merupakan salah sebuah lagu kegemaran Erina.
"Everything comes back to you..." Erina sambung perlahan. Cukuplah bagi ketiga-tiga jejaka itu dengar. Suara dia bukannya merdu sangat pun.
Naufal sengih puas hati. Tepuk tangan beberapa kali diikuti Izz yang setia berada di sebelahnya semenjak tadi. Kedua-dua mereka kelihatan kagum.
Erina sengih, ingin menutup malu. Pipinya terasa membahang. Iyalah, siapa aje yang tak malu kena puji dengan lelaki, kan? Cebikkan terlepas dari mulutnya, cuba menolak tepukan berupa pujian mereka kepadanya.
Erina pusing kepala, hadap Yuanjun semula. Entah kenapa dia ingin tahu reaksi lelaki itu.
Yuanjun bagaikan tahu Erina sedang menunggu reaksi daripada dia, hanya tersenyum senget. Sedikit sebanyak perasaan kagum itu tak lari dari dalam dirinya. Ada juga yang tahu lagu ini, ya?
Reaksinya biasa-biasa tapi mengapa Erina berasa senang melihat senyuman sengetnya, ya?
Mungkin kerana Yuanjun kelihatan seperti seorang yang 'beku'. Jadi, jika siapa-siapa saja memperoleh sebarang reaksi daripada dia merupakan satu penghargaan besar.
"Pegang sini," arah Yuanjun sementara tangan kirinya menarik jalur pita pelekat. Erina sekali lagi akur. Setiap arahan terpacul keluar dari mulut Yuanjun, dia tidak banyak membantah dan sedia peka. Cepat-cepat dia menahan hujung kain balutan itu daripada terburai jatuh.
Yuanjun kemudiannya membawa pita pelekat itu ke mulut dan memotongnya menggunakan gigi sendiri. Malas gunakan gunting. Guna gigi lagi cepat. Setelah itu, penuh berhati-hati dia menampal pita pelekat tersebut pada tangan Erina bagi mengelakkannya terburai.
"Dah. Ketat sangat tak?" tanyanya. Ini boleh dikatakan kali pertama dia membalut tangan orang lain. Betul-betul dia fokus membalut tangan Erina tadi supaya tidak terlampau ketat sangat.
Selalunya dia membalut tangan atau lengannya sendiri dan dia tiada masalah setiap kali dia membalut tangannya sendiri. Cuma... lain orang, lain songeh, kan?
Erina pusingkan tangannya. Atas, bawah, kiri, kanan. Tak cukup itu, siap dia kepal buka telapak tangannya berulang kali. Tak ada rasa ketat sangat pun. Okay aje kut ni...
"Bukan. Tekan hujung jari kau. Perhatikan berapa lama jari kau ambil masa dari warna putih kepada merah balik. Kalau lebih dari tiga saat, maknanya ketat sangat la tu," Yuanjun menekan hujung jari telunjuk tangan kirinya. Tunjuk demonstrasi penuh kepada Erina.
Erina angguk faham. Oh...
Erina mengikut apa yang diterang oleh Yuanjun tadi. Menekan hujung jari telunjuknya. Tak sampai sesaat, darah mula memenuhi ruas jari dia semula. Maknanya balutan Yuanjun oada tangannya tidaklah begitu ketat.
"Okey, tak ketat.","Terima kasih," ucap Erina. Tayang sebaris gigi kepada Yuanjun sekali. Yuanjun hanya angguk sebagai respon kepada sengihan Erina. Sengihan Erina buatkan dia kekok. Masalahnya dari dulu, dia tidak pandai berkomunikasi dengan orang yang baru dikenali. Tak apa kan kalau dia angguk aje?
Naufal dan Izz tiba-tiba muncul di sebelah Erina. Terangkat bahu gadis itu. Semenjak tadikah mereka hereda disebelahnya?
Di tangan Naufal terdapat pen marker bewarna hitam, "Nak tulis!" Teruja dia menarik tangan berbalut Erina sebelum sempat Erina bersetuju. Akibat terkejut, dia cuma mampu ketawa. Tulis ajelah. Dia tidak kesah.
Penuh berhati-hati Naufal menulis sesuatu di atas balutan tangan Erina. Dia turut mengelak daripada menyentuh secara langsung kulit Erina.
Naufal berdiri tegak semula setelah selesai. Tersenyum bangga dia melihat tulisan tangan sendiri pada balutan tangan Erina.
'Get well soon :p'
Itu apa yang ditulisnya.
"Nah, Izz!" Pen marker tadi diserahkan pula kepada Izz.
Izz bengkokkan tubuh, mula menulis sesuatu. Seperti Naufal tadi, dia sedaya upaya cuba untuk tidak menyentuh kulit Erina.
'Wishing you well :)'
Tulisan tangan Izz.
Izz beralih kepada seorang lagi lelaki yang sedari tadi memerhatikan mereka, "Yuanjun?" Pen dihalakan kepada dia.
Erina sangka Yuanjun akan menolak. Perkara-perkara sebegini bukanlah kelihatan seperti ‘gaya’ dia tetapi apabila pen marker tadi bertukar tangan, tahulah Erina bahawa sangkaan dia tadi tidak mengena.
Yuanjun menulis sesuatu dalam tulisan Mandarin. Bentuknya kelihatan begini,
'????????'
Entah apa maksudnya, Erina tak dapat teka. Dia meneka, barangkali tulisan itu membawa maksud semoga cepat sembuh dalam bahasa Mandarin memandangkan Naufal dan Izz masing-masing menulis ayat lebih kurang sama.
"Kau balik naik apa?" soalnya sambil tangan mula mengemas kit kecemasan. Erina diam, berfikir. Datang sini naik grab, pulang pun harusnyalah naik grab juga. Memang semenjak tadi dia terfikir untuk pulang menggunakan perkhidmatan grab.
"Grab," jawab Erina singkat.
"Okey, aku temankan kau pergi jalan besar."
"Oi, kau taknak hantarkan dia ke?" Sibuk Naufal bertanya. Ada ke patut Yuanjun biarkan perempuan balik seorang diri? Pandai angkat datang sini tapi tak pandai nak hantar balik
"Naik apa? Moto cabuk kau?" soal Yuanjun berbaur hinaan. Dia boleh aje hantar Erina pulang. Apa yang menjadi masalah adalah tiada pengangkutan yang sepadan untuk menghantar gadis itu pulang.
"Eh, elok sikit eh?" Kata-kata Yuanjun tadi memberi kesan kepada tuan punya badan. Moto cabuk dia kata? Moto cabuk itulah yang selalu menemani dia, tahu? Dikala hujan ribut, dikala panas mentari.
Naufal berjalan mengikuti Yuanjun sambil menyinjat, ingin menyamai tinggi Yuanjun. Erina di tengah-tengah ruang makan menahan tawa. Dia menjeling Izz dari hujung mata, Izz juga sama. Sedang menahan ketawa.
"Lain kali balik sini dengan Izz bawak kereta. Baru la senang." Yuanjun menutup pintu kabinet dapur. Jaket denimnya tadi dicapai setelah itu. Tubuh Naufal yang menganggu langkahnya ditolak ke tepi, "Tepilah, pendek!"
"Eh, biadap!" balas Naufal geram. Pantang betul dia bila ada orang mengutuk harta kesayangannya yang satu itu. Lengan Yuanjun pantas ditampar kuat sehingga berhasil mengeluarkan bunyi 'pap'.
Sudut bibir Yuanjun terangkat, menahan tawa. Kelakar betul muka Naufal bila tengah naik angin. Dia menggeleng kepala. Malas mahu melayan karenah Naufal lagi.
Yuanjun menyarungkan jaket denim di depan Erina, "Jom." ajaknya. Naufal dari tadi tidak lepas menempel di sebelahnya. Yuanjun menaikkan siku, memberi amaran. Ha, menempel sikit lagi. Aku siku baru tahu!
Izz menggeleng kepala melihat telatah mereka berdua. Kadang dia juga tertanya, bagaimanalah dia dapat bertahan duduk serumah dengan mereka semua sehingga sekarang?
Erina angguk, merujuk kepada ajakkan Yuanjun tadi. Pandang Izz dan Naufal bersilih ganti, "Saya balik dulu. Kalau ada rezeki boleh jumpa lagi." Senyuman ikhlas diberi.
Setelah menerima anggukan dari Izz dan sengihan serta lambaian dari Naufal, Erina bingkas bangun. Namun tidak semena-mena dia terduduk semula. Desisan kuat terkeluat dari bibir.
Aduh, terlupa lutut sendiri masih lagi lenguh!
"Sakit lagi ke?"
Erina urut lutut aku perlahan, "Haah."
"Nak aku angkat lagi ke?" soal Yuanjun. Tayang riak muka tak kesah. Betul, dia langsung tak kesah.
"Eh, tak payah!" Mentah-mentah Erina tolak. Cukuplah sekali saja. Dia tak sanggup diangkat buat kali kedua.
"Tak apa, boleh aje kut saya jalan." Erina sedapkan hati sendiri.
"Ha, dahtu? Bangunlah." Kalau Erina jalan lambat, tahulah apa dia akan buat.
Erina tegakkan tubuh lagi sekali, bersedia untuk bangun. Tangan melekap pada permukaan meja sebagai imbangan. Naufal memegang kerusinha erat. Bersiap sedia kalau-kalau punggung Erina bertemu kerusi lagi.
Berjaya walaupun ambil masa lama. Lutut terasa bergoyang tetapi dia gagahkan diri untuk berdiri. Erina sengih, lebih kepada menutup malu sebenarnya. Beria tadi sembang dengan Naufal dan Izz, 'kalau ada rezeki jumpa lagi' lepastu tiba-tiba terduduk balik.
"Kalau lambat sangat jalan nanti aku angkat kau macam tadi." Yuanjun menyuarakan isi hati. Jalan menuju ke arah pintu rumah mereka.
Erina buat tak endah. Susun langkah menuju ke arah Yuanjun yang sedang menongkat lengannya pada muka pintu. Apabila Erina selamat berdiri bersebelahan Yuanjun, dia melambai buat kali kedua kepada dua orang lelaki itu.
"Bye, Erina!" ucap Naufal. Dia juga berharap ini bukanlah pertemuan pertama dan terakhir mereka.
Izz pula senyum seulas. Pertemuan singkat bersama Erina yang agak seronok.
"Bye!" Ucapan terakhir Erina sebelum dia melangkah keluar seiring bersama Yuanjun.
'Kalau ada rezeki boleh jumpa lagi.'
Share this novel