"AWAL bangun, Yuanjun?" tegur Izz sambil berjalan menuju ke meja makan. Jarang-jarang kawannya itu bangun awal. Ada apa-apa peracangankah pagi ini?
"Awal bangun apanya? Dia tidur pun tak semalam," maklum Naufal. Dia bangun solat Subuh tadi, tengok-tengok Yuanjun masih celikkan mata.
Yuanjun kerutkan kening, tak suka apa yang diperkatakan Naufal tadi, "Kau diam boleh tak?" Ada juga dia jolok kerongkong orang pagi-pagi ni guna sudu. Sarapan orang makan nasi lemak, biar Naufal seorang aje makan sudu.
"Apa? Salah kau la tutup pintu bilik tak rapat," bela Naufal. Bukannya sengaja dia mahu skodeng Yuanjun.
"Tak boleh tidur?" soal Izz.
"Kau dengar kan apa Naufal cakap tadi?" Yuanjun suapkan mi ke dalam mulut, angguk terpaksa, "Haah." Dia mengesahkan.
"Kenapa?"
Yuanjun angkat bahu, "Entah. Apa aku boleh buat? Dah tak boleh tidur."
Mulut Izz terbuka, ingin mengutarakan sesuatu tetapi tiba-tiba saja terbantut oleh disebabkan kemunculan Farish. Muka mamai, mata terkatup. Berus gigi tergantung dalam mulut.
"Ni pula dah kenapa?" Izz pelik. Farish mamai ke?
"Mghamhmgham" Farish menggumam sesuatu yang tidak dapat mereka di meja makan tafsir.
"Farish, tandas dekat sana." Naufal menunjukkan arah di mana tandas berada. Entah Farish mamai, ataupun dia cuma sengaja berkelakuan aneh pagi ini. Mereka semua tahu, Farish lah yang terpaling pelik sekali di antara mereka semua.
Farish menggumam perlahan, seperti tadi. Matanya terbuka sedikit dan dia memusingkan tubuh, bergerak mengikut arah jari telunjuk Naufal.
Dia berjalan menonong menuju ke tandas. Aidan yang baru keluar dari biliknya tidak perasan akan Farish, lalu kedua jejaka itu terlanggar sesama sendiri.
"Farish, kau dah kenapa!" Aidan memarahi Farish. Habis bajunya terlekat ubat gigi Farish. Pagi-pagi sudah buat hal la, Farish ni!
Naufal bingkas bangun, ingin meleraikan pergaduhan kecil mereka.
Izz dan Yuanjun memandang sesama sendiri. Mereka teruskan makan tanpa hiraukan kekecohan yang berlaku. Malas mahu ambil pusing.
"Kau fikir apa pula kali ini?" Izz menyoal, topik tadi belum habis. Sebelum ini ada juga Yuanjun mengadu kepadanya beberapa kali yang dia mengalami kesukaran untuk tidur. Katanya kerana dia terlampau memikirkan banyak hal.
"Entah. Otak aku aktif malam-malam. Aku fikir banyak benda, sampaikan aku lupa apa yang aku fikir." Yuanjun mengeluh. Dia sebenarnya cukup tersiksa dengan semua ini. Apa lagi dia boleh buat? Telan ubat tidur pun tak jalan. Beberapa bulan sebelum ini dia normal kecuali dua tiga malam kebelakangan ini. Dia mula diserang insomnia semula.
"Dahtu?"
"Apa?"
"Malam ni kau nak aku tidur dengan kau tak?" Izz tawarkan diri. Manalah tahu kalau-kalau ada peneman Yuanjun boleh tidur.
"Kau boleh buat apa dekat aku? Dodoi aku?" Alahai, bagusnya Izz. Cuma... itulah. Diteman ke, tak ada teman ke, tetap sama. Matanya tak akan lelap juga.
"Haah. Peluk cium kau sekali. Untung-untung nyenyak kau tidur." Izz berseloroh. Koyak senyum nakal kepada Yuanjun.
Yuanjun mendengus tawa, "Gila."
"Okey, tak. Aku serius ni. Nak tak?"
"Alah, tak payah. Aku bukannya budak kecil." Yuanjun menolak niat baik Izz. Lagipula, katilnya hanya katil bujang. Manalah nak muat dua orang sekali? Tak pasal-pasal Izz kena tidur berlapikkan lantai.
"Iyelah." Izz turuti saja. Dia hanya mampu hulurkan pertolongan melalui cara itu.
Aidan muncul setelah itu, disusuli oleh Naufal. Baju sudah ditukar ke baju lain. Dia menarik kerusi di sebelah Yuanjun. Satu bungkus nasi lemak ayam diambil.
"Malam ni lepak, nak?" Aidan menyoal kawan-kawannya di situ sambil tangan membuka bungkusan nasi lemak.
"Pergi mana?" Soalan berbalas soalan. Izz kelihatan seperti tidak dapat meneka apakah maksud soalan Aidan tadi.
Aidan mengisyaratkan sesuatu menggunakan keningnya. Izz bingung, cuba memahami maksud dibalik angkatan kening Aidan.
Setelah tiada tanda-tanda Izz memahami maksud Aidan, dia buka mulut, berterus terang, “Lepak. Tempat biasa. Jomlah!”
Oh... Itu maksud Aidan. Izz angguk sekali. Kemudian, dia menggeleng pula, "Malas. Aku stay rumah aje kut."
“Aku... ada hal,” jawab Yuanjun. Malangnya, dia tidak boleh ikut serta. ‘Hal’nya itu benar-benar menghalangnya.
"Aku ada date malam ni dengan Syafira." Jawapan Naufal.
"Eh? Okey dah ke?" Yuanjun terkejut. Semalam sedap kutuk girlfriend dia. Bukan setakat girfriend dia yang kena, satu jantina girlfriend terkena sekali.
"Well, dia tu mana boleh hidup tanpa aku." Naufal tayang muka bangga. Dia mengembang mengempis hidung. Seronok dia dapat chat daripada Syafira Subuh tadi. Maknanya, pujukannya menjadilah.
Mereka disitu memandang sesama sendiri. Izz yang baru saja ingin menyuap mi ke dalam mulut terhenti. Aidan ternganga. Beberapa utas mi terkeluar dari mulutnya. Yuanjun pula, mengerutkan dahi. Ugh... cringe!
"Bye." Yuanjun bangun, mahu menapak pergi. Geli tekaknya jika berlama-lama di situ lagi.
"Nak ikut, Jun." Diikuti oleh Izz. Pinggan berisi mi dibawa bersama. Loya tekak duduk sebelah Naufal.
Aidan sempat mengunyah mi nya perlahan. Turut mengikut langkah Izz yang kian menjauh ke ruang tamu, "Aku ikut juga."
"Korang dah kenapa!" bentak Naufal. Susah betul mahu bergurau dengan kawan-kawannya ini.
“KAU kalau taknak makan, baik kasi aku aje.” Tangan Atiq cuba mencapai aiskrim Erina yang sudah separa cair itu. Apalah perempuan ini fikir sampaikan aiskrim di tangannya hampir cair pun tidak sedar?
Erina mengelak, tarik tangannya jauh dari pandangan Atiq, “Eh! Siapa cakap aku taknak?” Pandai-pandai aje Atiq ni! Bab kebas makanan orang cepat sungguh!
“Manalah tahu. Dah termenung jauh sangat. Kau fikir apa?” siasat Atiq.
“Pasal apa yang jadi dua hari lepas?” jawab Erina. Memang betul dia termenung fikirkan tentang kejadian itu. Tiada niat mahu menyindir Atiq.
Dia teringin tahu, siapakah gerangan tiga orang lelaki itu. Kenapa mereka punya rumah di tempat usang sebegitu? Apakah maksud tulisan tangan Yuanjun pada balutan tangannya ini?
Dan... adakah nanti mereka bakal bertemu lagi?
“Aku dah belanja aiskrim kut. Kau masih berdendam dengan aku ke?” Beria dia ajak Erina keluar, belanja aiskrim dan dalam masa yang sama, menemaninya berlatih bola keranjang. Pujukan terpaling spesial dia pernah buat untuk Erina. Sebelum-sebelum ini dia hanya menuturkan kata maaf sahaja pada gadis itu jika mereka mengalami perselisihan faham.
“Tak adalah... aku teringin tahu maksud ini aje.” Erina menghalakan tangannya pada Atiq, “Agak-agak kau dia tulis apa?” Dia menyoal pendapat Atiq.
Atiq tenung tulisan itu lama. Ada beberapa bentuk huruf tersebut dia dapat kenal pasti.
“Ini... zhídào. Maksudnya, until.” Atiq menunjukkan huruf pertama dalam ayat tersebut. Keningnya berkerut memahami huruf seterusnya.
“Ini pula, w?men. Kita.”
“Kau pandai Mandarin ke, Atiq?” Erina terkejut. Satu fakta baru tentang Atiq dia dapat tahu hari ini. Lah... sebengap-bengap Atiq, pandai juga ya dia baca Mandarin?
“Sikitlah.” Berkat dulu dia mengikuti tuisyen Mandarin semasa sekolah rendah. Dia ingin belajar bahasa Mandarin sehingga fasih, nak jadi Multilingual lah katakan.
“Waktu darjah enam. Tak habis pun aku belajar. Kejap aje sebab jadual aku padat gila waktu itu. Kena fokus UPSR lagi, fokus kelas Bahasa Mandarin lagi. Boleh gila aku tengah jalan weh,” cerita Atiq.
“Sekarang? Tak gila?”
Atiq angkat kepala, pandang Erina yang sedang tersenyum simpul penuh makna.
“Ah, malas aku. Pandai-pandailah kau cari maksud tu sendiri.” Atiq berura-ura mahu bangun. Biar dia pula merajuk! Untung-untung Erina belanja dia aiskrim juga.
Erina menarik baju bola keranjang tanpa lengan Atiq. Dia ketawa sehingga terkeluar beberapa kekehan, “Tak payahla, Atiq. Aku gurau aje. Duduk balik!”
Atiq menurut tanpa banyak songeh. Pun begitu, hujung matanya tidak boleh berhenti menjeling Erina.
“Ha, maksudnya apa?” Erina menyoal kembali. Tanpa riak muka bersalah.
Atiq mencebik, “Eleh kau.”
“Cepatlah!” Erina mendesak. Betul-betul dia ingin tahu! Sudah dua hari persoalan tentang tulisan itu muncul di benaknya dan hari ini... dia bakal tahu apakah maksudnya!
Atiq senyum. Biarkan kawannya itu terkulat-kulat terlebih dahulu sebelum dia memberikan erti penuh ayat itu.
“Until we meet again.”
Share this novel