W :: LIMA

Young Adult Series 1905

“TAK payah turunlah. Kejap je." Erina menghalang Atiq ketika melihat lelaki itu mula meleraikan tali pinggang dari membelit badannya.

Atiq geleng kepala, "Tak boleh. Aku turun sekali," tegasnya. Sekejap macam mana sekali pun, bahaya biarkan Erina turun seorang diri.

"Lah..." Erina berura-ura mahu membantah tapi Atiq langsung mengabaikannya. Dia cepat-cepat keluar dari kereta. Tak ada guna berdebat panjang lebar.

Erina merengus halus, mengalah. Iyelah, Atiq! Bazir air liur kalau sembang lebih-lebih. Akhirnya nanti memang kemenangan berpihak kepada Atiq pun.

Bahang matahari terasa menyengat seluruh kepala saat Erina melangkah keluar dari kereta. Tambah pula hari ini dia mengenakan shawl bewarna hitam. Sememangnya silap paling terbesar dia pernah lakukan. Bahangnya terasa menembus masuk ke dalam anak tudung. Belum sampai di hadapan pintu pagar rumah itu lagi, peluh sudah merinik jatuh ke dahi.

Erina merapati Atiq yang sudah berdiri terpacak di hadapan pintu pagar. Dia memangku dagu di atas pagar, "Ha, bagi salam." Mudah dia beri arahan.

"Eh?" Kening Atiq naik sedikit, hairan. Dia pula?

"Suara perempuan kan aurat." Haruslah alasan diberi. Dia sebenarnya segan mahu melolong beri salam.

Atiq jeling Erina. Tahu kawannya itu hanya berikan alasan.

"Assalamualaikum," laung Atiq. Dia menunggu respon buat beberapa saat sebelum melaungkan salam buat kali kedua.

"Assalam..." Laungannya terhenti ketika pintu dibuka dari dalam. Tersembul wajah seorang lelaki di muka pintu, dia hanya menjengukkan kepala melihat mereka berdua.

"Waalaikumussalam. Ada apa?" Sopan dia bertanya biarpun dia hairan dengan kehadiran mereka berdua. Siapa gerangan dua orang ini? Adakah mereka berdua sesat?

Melihatkan reaksi tenang mereka berdua, dia tak rasa mereka sesat. Namun... agak mustahil juga jika mereka mengetahui keberadaan rumahnya dalam kawasan terpencil sebegini.

Pandangan Erina tak lepas dari wajah lelaki itu. Parasnya tidak seperti Izz, jauh sekali Naufal. Siapa dia? Salah seorang dari kawan mereka juga?

"Yuanjun ada?" Erina beranikan diri menyoal.

Soalan Erina mengundang muka pelik dari lelaki tadi. Perempuan ini cari Yuanjun? Kenapa? Yuanjun ada buat salah apa-apa padanyakah?

Dari menjenguk, lelaki tadi kuak pintu luas-luas. Dia tegakkan badan, berdiri tinggi separas pintu rumahnya. Lenguh membongkok lama-lama. Lambat-lambat dia mula menapak ke arah pintu pagar.

"Masuklah dulu. Panas," pelawanya.

"Eh, tak apa! Nak jumpa Yuanjun kejap je," tolak Erina. Panas memanglah panas tapi tak padanlah nak masuk rumah orang pula. Niatnya mahu jumpa Yuanjun sekejap saja.

"Kejap lagi mungkin dia balik kut. Bolehlah masuk dulu sementara tunggu dia balik." Entah manalah Yuanjun berada sekarang. Lelaki itu suka sangat buat hal sendiri. Kadang merayau dari pagi sampai ke tengah malam baru tayang muka.

"Lambat lagi ke?" Teringat tadi Atiq kata mahu ambil adiknya, Alisya di sekolah. Kalau lama sangat, lain kali sajalah datang lagi. Kesian pula biarkan Alisya tunggu lama-lama.

"Tak pastilah," jawabnya. Takut hendak beri jaminan.

"Oh. Lain kali lah datang lagi, boleh? Kami ada tempat lain pula nak pergi lepas ni." Erina pamit. Rezeki jumpa Yuanjun di lain hari.

"Boleh bagi nombor telefon awak. Tengoklah esok dia ada dekat rumah saya call."Dia berikan cadangan. Mudahkan kerja dua orang ini. Susah-susah datang lagi sekali nanti, tengok-tengok Yuanjun masih tak melekat di rumah.

"Ah, thank you..." Hujung ayat Erina meleret dalam nada menyoal. Tanda dia cuba menyoal nama lelaki itu.

Lelaki itu tersenyum manis, "Aidan."

"ABANG kenapa lambat? Pergi dating dengan kakak Erina ke?" Alisya masuk ke dalam kereta bersama muka cemberut. Tudung di kepala sudah ditanggalkan. Sempatlah dia mandi peluh dulu sementara tunggu abangnya tiba.

Terbuntang mata Erin yang elok sedang menyedut air. Hampir saja tersembur keluar air dari mulutnya. Amboi... kerlas adik Atiq! Baru darjah satu dah tahu perkataan dating, ya? Ini kalau bukan pengaruh kawan mesti pengaruh abang dia.

"Nah, ambil ni." Atiq malas layan, tahu Alisya sedang marahkan dia. Air jambu batu diserahkan kepada si adik.

Alisya memandang sinis pemberian abangnya. Eleh! Ambil hati la tu!

"Taknak, sudah." Atiq baru gaya hendak pusing semula ke depan, terbantut gara-gara Alisya mencengkam bahunya. Marah tu memang marah, rezeki pun janganlah ditolak.

"Kau ajar dia bukan-bukan ke, Atiq?" Erina bersuara. Pedih di tekaknya masih terasa kesan daripada soalan luar alam Alisya. Masakan budak darjah satu sudah arif dalam hal begini? Dia dulu waktu darjah satu, hingus mak dia yang lapkan.

"Apa?" Atiq pelik. Bukan-bukan apa? Alisya ada cakap benda pelik ke tadi?

"Dating. Kau ajar ke?"

"Alah... budak-budak macam dia tak payah ajar pun dia tahu." Perkataan dating aje. Tak usah jadikan isu besar. Budak-budak zaman sekarang semua benda tahu.

Erina angkat bahu. Manalah tahu. Atiq kan selalu jadi cikgu tak bertauliah Alisya.

"Harini Alisya belajar apa?"

“Banyak benda. Tambah, tolak. Cikgu Matematik baik sangat. Takda marah-marah pun. Alisya jawab soalan dia betul tau tadi. Dia puji Alisya.” Mata keanak-anakkan Alisya bercahaya ketika dia menceritakan apa yang berlaku seharian di sekolah. Dia membayangkan senyuman manis Cikgu Syima beri kepadanya tadi setelah dia berjaya menjawab soalan Matematik tadi.

Erina senyum mendengar celoteh Alisya, “Pandainya Alisya!” Erina tepuk tangan sekali, memberi sokongan. Atiq di bahagian pemandu dia jeling sekilas, “Bukan macam abang Alisya.” Dia kuatkan suara. Sengaja.

Mendengarkan kutukan kawannya itu, Atiq mula perlahankan kenderaan. Sampai di tepi jalan, dia menekan brek,
“Turun. Kau balik jalan kaki.”

Erina gelak bebas. Seronok dia tengok muka bengang Atiq. Dia geleng kepala, “Tak, tak. Aku gurau.”

Atiq pusing kepala ke tepi, konon merajuk. Malas betul dia nak layan.

Suasana dalam kereta sekali-sekala riuh dengan gelak tawa Erina dan Alisya bergabung mendengar selorohan kurang cerdik Atiq tetapi sepanjang perjalanan, mereka bertiga lebih kerap diamkan diri. Alisya memandang keluar tingkap, begitu juga Erina. Tiada topik mahu dibualkan. Sebelum datang menjeput Alisya tadi sudah puas dia bergosip dengan Atiq.

"Tengok wayang, nak?" Atiq bersuara, bercadang untuk menonton wayang memandangkan dia malas dia mahu pulang ke rumah awal. Bukannya ada benda menarik di rumah. Alih-alih mesti terperap dalam bilik. Cukup masa, bibik panggil makan. Kemudian sambung terperap dalam bilik. Itulah rutin harian dia.

Almaklumlah, mak ayah selalu sibuk. Rumahnya sudah tentulah sunyi sepanjang masa.

"Jom!" Alisya terlebih dahulu yang bersetuju. Dia juga bosan terperap di rumah. Punya rumah besar tapi tak ada guna. Alih-alih nampak muka abangnya. Paling tidak, bibiknya. Kadang kalau abangnya keluar, tinggallah dia seorang diri di rumah.

Tapi mujur ada bibik. Selain anak jiran sebelah, bibiknya juga merupakan teman sepermainannya.

"Aku okey je. Movie apa seronok?" Atiq ni main redah ajak tengok wayang macam tu aje. Buatnya movie yang ditayang nanti tak sesuai dengan Alisya?

"Tak tahu. Tengoklah kejap lagi." Atiq pusing stereng masuk ke dalam sebuah pasar raya besar. Dia tak berani sebut wayang apa yang seronok memandangkan dia sendiri sudah lama tidak menonton wayang.

"JANGAN!" Esakkan seseorang mengakibatkan dia gagahkan diri untuk memanggung kepala yang kian memberat. Lelapannya betul-betul terganggu.

Esakkan dan jeritan bersilih ganti. Dia tahu, ada seseorang sedang diancam bahaya. Sepatutnya dia perlu bangun dan bergegas ke arah punca suara itu. Namun sebaliknya, dia hanya membuka kedua belah mata monolidnya, merenung pemandangan hamparan langit gelap tanpa sebarang bintang menghiasai dada langit di situ.

Bukannya apa, dia cuba menstabilkan diri terlebih dahulu. Kepalanya betul-betul terasa menyengat. Padah meneguk terlampau banyak minuman berakohol.

"Lepaskan saya!" Suara itu sungguh rapuh. Dapat rasakan ketakutan dalam nada suaranya.

Yuanjun berpusing ke tepi, mengiring di atas rusuk kirinya. Matanya tertutup kembali. Setelah berfikir masak-masak, rasa malas tiba-tiba menguasai diri. Malas mahu menjadi knight in shining armor buat kali kedua.

Lantaklah perempuan itu mahu terpekik atau terlolong hingga kehilangan suara sekali pun. Bukannya hal dia!

Keningnya berkerut, sebelah tangannya menutup telinga kanannya. Dia tidak betah untuk menutup telinga sebelah kiri memandangkan dia mengiringkan diri pada sebelah kiri. Automatik telinganya menindih tanah berumput, tempat dia merebahkan diri sekarang ini.

Cubaannya menghalang daripada bunyi lolongan itu menerobos masuk ke dalam gegendang telinga gagal. Semakin dia cuba, semakin bertambah kuat pula bunyi itu.

Ah, menjengkelkan!

Yuanjun bangun. Penglihatannya kabur, badannya pula terasa seperti ranting yang dibawa angin kencing. Terhuyung-hayang.

Jaket yang menjadi 'bantal' buat merehatkan kepalanya tadi lambat-lambat dia ambil. Gambaran jaketnya itu kelihatan satu, kemudian dua. Sukar betul dia mahu menumpukan fokus.

Rumput pada badannya dikibas sedikit. Dia mula berjalan setapak demi setapak. Masih terhuyung-hayang walaupun secara lambat dia mengatur langkah.

Pekikan tadi sudah tenggelam. Hanya bersisa esakkan, bergema di setiap pelusuk kawasan sunyi ini.

Setibanya di tempat kejadian, matanya menangkap entah tiga atau dua orang lelaki sedang menindih seorang perempuan.

Atau boleh dia katakan... seorang remaja perempuan?

Remaja itu benar-benar hilang daya melawan. Bawah matanya memerah kesan daripada menangis tidak henti. Dia mengalah, berserah dengan nasib menimpanya pada malam ini.

Harapan yang dirasakan gelap kini perlahan-lahan bertukar menjadi terang. Seorang lelaki, entah muncul dari pelusuk mana datang lalu menggertakkan mereka berdua. Hanya gertakkan, langsung berjaya membuatkan kedua-dua lelaki itu lari bertempiaran.

"Bangun." Dia menghulurkan tangan. Melihatkan keadaan tenat perempuan itu, dia tahu remaja itu tidak berdaya untuk melakukan apa-apa. Matanya basah, hidung memerah dan diikuti oleh kesan air mata pada pipi remaja perempuan itu yang mula mengering.

Setelah berjaya duduk dari terus terbaring, remaja itu meraup mukanya. Menghilangkan segala air mata dan kekotoran pada muka sendiri. Dia berpusing ke belakang, memandang beg pakaiannya yang tercampak jauh.

"Buat apa... sini?" Sedaya upaya Yuanjun mengatur ayatnya. Lidahnya berbelit, sukar membentuk satu ayat. Mujur dia tidak gagap semasa menggertak lelaki-lelaki tak guna itu tadi.

Remaja itu geleng, mengunci mulut. Takut hendak memberitahu sebarang maklumat tentang dirinya.

"Tak. Aku baik." Dari berdiri, dia duduk bertinggung menghadapnya. Dia mendekatkan diri sedikit, mengecam wajah remaja itu. Penglihatan kabur, juga kekurangan imbasan cahaya menjadi faktor dia tidak dapat mengecam dengan tepat.

Remaja itu menggigit bibir. Ya, dia tahu lelaki ini baik. Trauma selepas kejadian tadi membuatkan dia takut mempercayai sesiapa lagi. Tambahan pula, lelaki ini begitu rapat sehinggakan aroma masam dari lelaki ini dapat dihidu. Buatkan dia kurang selesa.

Dia bergerak ke belakang sedikit.

Yuanjun mengeluh, kedua belah tangannya diangkat tinggi-tinggi. Tanda dia mengalah, "Aku tak patut... tenung macam tu... salah aku."

Bahunya sedikit menurun apabila Yuanjun kembali mencipta jarak di antara mereka. Lega! Okey, kepercayannya pada lelaki ini naik dua puluh peratus.

"Nama?" Yuanjun beri senyuman galak, "Biar aku teka... Erina?"

Pantas dia menggeleng. Nama siapa pula lelaki ini petik?

"Zalikha," balasnya pendek, dalam masa sama terus memperkenalkan diri.

"Oh. Aku... Yuanjun!" Dia ketawa bebas. Terhibur entah mengapa. Jika dia waras sekarang ini, pasti dia tak akan menyusahkan otot mukanya bekerja semata-mata untuk ketawa.

Zalikha angguk, sedikit kekok. Masakan tidak kekok tiba-tiba saja lelaki ini ketawa sewaktu memperkenalkan diri?

"Kau... kenapa? Sesat?"

"Tak."

"Lari... rumah?"

Zalikha terdiam. Tebakan lelaki ini hampir mengena. Jangan kantoi! Baik dia pergi dari sini sebelum pecah segala rahsianya.

"Tak. Saya pergi dulu. Terima kasih." Zalikha bangun. Segala sengal-sengal pada badan dia buat-buat seperti tidak memberi kesan kepadanya. Dia perlu segera beredar!

"Oi, budak! Tunggu! Kau bukan... tahu... jalan!" Yuanjun turut bangun, ingin mengatasi langkah Zalikha.

Zalikha sedar akan langkah kaki Yuanjun semakin laju mengejarnya, dia lantas berlari laju. Beg pakaian yang tadinya tercampak jauh dari pandangan mata, sudah kelihatan. Cepat dia menyambarnya. Mesti Yuanjun tak mampu mengejar langkahnya. Lelaki itu kan mabuk.

"Jangan sampai aku... telefon polis!" teriak Yuanjun berbaur ugutan. Dia yakin, Zalikha mendengarnya. Jika tidak, mengapa langkah kaki Zalikha terpasak?

Zalikha menoleh. Tubuh lampai Yuanjun menghiasi kornea mata. Dia menghembuskan nafas, tersekat-sekat oksigen di peparunya.

Dia diam tidak berkutik di tempatnya. Namun, bila mata menangkap satu objek empat segi pada tangan Yuanjun, dengan kelajuan semaksima mungkin, dia mendapatkan Yuanjun.

Telefon Yuanjun di tepis. Tidak jatuh berkecai di bawah kerana genggaman Yuanjun kuat.

"Tak payah!"

"Ha, ha. Tahu takut... mesti kau lari... rumah!" Yuanjun menunding jari sambil menyepetkan lagi mata sepet miliknya. Heh, tak boleh mengelak dah, budak!

Zalikha merengus, "Tak."

"Aik?" Oh, bukan eh?

Zalikha memandang Yuanjun beberapa kali. Teragak-agak mahu memberitahu hal sebenar. Liur ditelan buat kali ke berapa, dia tidak sempat mengira. Pahit di celah kerongkong.

"Budak?" Yuanjun menolak perlahan bahu Zalikha. Pasif aje budak ini. Okey ke?

"Saya kena halau." Perkataan itu akhirnya mampu juga Zalikha ungkapkan. Buat-buat buta dengan pandangan pelik Yuanjun.

"Kenapa?" Budak ini buat salah apa sampaikan dihukum sebegini rupa?

Zalikha menghembuskan nafas buat kesekian kali. Isu ini terlampau berat. Terpaksalah dia beritahu demi mengelakkan lelaki ini menelefon pihak polis.

"Sebab saya mengandung."

Dia mungkin mabuk tapi, rasanya dia tak salah tangkap setiap bait perkataan Zalikha tadi. Seluruh otot mukanya terasa kejang, mulutnya melopong. Tercengang teruk. Remaja perempuan di hadapannya ini... mengandung?

"Ha?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience