MENGIRING ke kiri, perlahan-lahan dia membuka kelopak matanya. Kepalanya terasa berat, matanya juga terasa letih.
Dia melihat tingkap di balik tirai. Gelap, matahari masih belum munculkan sinarnya.
Mata dikecilkan lalu dibesarkan beberapa kali, cuba mengecam jarum jam pada dinding biliknya.
3:20 pagi.
Sigh... As expected.
Sepanjang minggu ini, sudah dua tiga hari dia terjaga pada pukul tiga pagi. Masuk tidur pukul dua belas, terjaga pukul tiga. Boleh dikatakan setiap malam dia hanya diulik mimpi sepanjang tiga jam sahaja.
Yuanjun menolak gebar yang membaluti separa badannya ke tepi. Mahu menuju ke tandas dan membasuh muka. Terbaring atas katil saja pun tiada guna. Bukannya dia boleh lelapkan mata semula.
Dia memulas tombol pintu biliknya. Suasana hening menyapa, seperti dijangka. Semua teman serumahnya kini pasti sedang seronok melayani mimpi masing-masing. Untung betul rakan-rakannya mampu lelapkan mata, tidur tanpa sebarang gangguan.
Selangkah sebelum sampai ke bilik Izz dan Naufal, langkah terhenti. Pintu bilik mereka sedikit ternganga. Ada simbahan cahaya menerobos keluar dari celahan pintu itu. Mereka berdua masih belum tidur?
Yuanjun menjenguk sedikit melalui pintu itu. Kelihatan Naufal sedang elok terbongkang, manakala Izz...
Dia sedang duduk di atas sejadah, menadah tangan. Berdoa dalam diam.
Tanpa sedar, Yuanjun mengukir senyuman kecil. Gambaran itu entah mengapa sedikit sebanyak menenangkan hatinya. Senyuman Yuanjun semakin mekar, mengingatkan yang sedang duduk di atas sejadah itu adalah sahabat karibnya. Ternyata, dia tak pernah salah memilih Izz sebagai kawan.
Izz baik. Benar-benar baik hati. Perangai mereka dua berbeza sungguh jika hendak dibandingkan. Mereka berdua bagaikan datang dari dua alam yang berlainan.
Mata Yuanjun terbuntang saat melihat Izz bangun dari duduknya. Dalam panik, dia bertindak pantas. Terjengket-jengket dia berpatah balik ke bilik sendiri. Niat untuk ke tandas tadi terus terbatal.
Jejak kaki saja ke dalam bilik sendiri, dia mengunci pintu rapat. Buat seketika dia berdiri menghadap pintu sendiri. Apa boleh dia buat sementara menunggu pagi menjelang?
Dia melihat sekeliling bilik bersepahnya. Baju-baju bertaburan di atas lantai, bungkusan makanan yang masih bersisa dibiarkan terbuka, beberapa tin minuman kosong tidak dibuang. Usah tanya soal meja yang berada di dalam biliknya itu. Sudah tidak kelihatan seperti meja! Tempat pengumpulan plastik dan kertas pula jadinya. Berserabut sungguh.
Ini kalau Naufal masuk buat room tour dalam bilik Yuanjun, mahu kena bebel setimpal. Lelaki itu memang sukakan kekemasan. Lain pula Yuanjun. Baginya, kenapa perlu susah payah kemas kalau nanti pasti akan punya habuk juga?
Kan dah cakap, sifat semua kawan-kawannya di sini memang berbeza tiga ratus enam puluh darjah dari sifatnya. Beruntung sehingga hari ini mereka masih akrab.
Dia tidak pedulikan keserabutan biliknya yang bagaikan dilanda ribut itu. Matanya cuma tertancap pada satu objek, terletak elok di hujung kaki katilnya.
Gitar. Milik Naufal.
Dia pinjam gitar Naufal pada minggu lepas. Sepatutnya gitar itu sudah berada di tangan tuannya tapi... itulah. Yuanjun adalah Yuanjun. Jangan percaya kalau dia sebut perkataan 'pinjam'.
Pakaian-pakaiannya disepak ke tepi saat dia sedang mengaturkan langkah ke arah tingkap biliknya. Menyampah pula melihat pakaiannya berada di merata tempat tapi buat masa sekarang, frasa kata 'mengemas' memang terasa jauh dari dirinya. Malas. Nanti-nantilah!
Semua sampah sarap di atas kerusi yang berada dihujung bilik dibuang ke lantai terlebih dahulu sebelum dia mengangkatnya merapati tingkap bilik sendiri.
Langsir diselak lalu tingkap dibuka. Berderu masuk angin malam menyapa dirinya, termasuklah badannya yang tidak memakai sebarang baju. Rambut pendeknya terkuak kebelakang kesan dari deruan angin tersebut.
Langit gelap, dihiasi beberapa gugusan bintang sedang berkedipan memeriahkan lagi dada langit malam ini. Terbentang elok. Teramatlah cantik di matanya.
Ya, dia sejujurnya sukakan pemandangan malam. Sunyi dan tenang. Rasa seperti dia seorang saja wujud di bumi ini setiap kali dia melihat pemandangan langit malam. Tiada gangguan dari orang lain, tiada sesak di kepala.
Angin, langit malam, dan gitar. Hanya ini sudah memadai. Ketiga-tiga perkara ini merupakan kebahagiaan buatnya. Cukup tiga serangkai ini bergabung, moodnya sah mencanak naik.
Dia mula memetik gitar secara perlahan. Biar telinganya saja menerima alunan itu. Risau Izz mendengarnya dari luar.
"Pull it out of park, put it in drive... I can feel your heart beatin' with mine..." Yuanjun menyanyi kecil. Lama dia tidak mengeluarkan suara, jadi agak serak sedikit suaranya. Namun, itu tidak menghalangnya dari mengukirkan senyuman kecil sambil memainkan lagu kegemarannya. Satu-satuya lagu yang dapat meningkatkan serotoninnya, iaitu Stargazing oleh The Neighbourhood. Kena pula dengan keadaannya sekarang ini.
"Underneath the stars looking for a sign... Glowing in the dark 'till the sun shines..." Dia menyambung rangkap seterusnya. Sesekali memandang langit malam. Dan setiap kali dia mengalihkan pandangan pada langit malam, setiap kali itulah tak lekang senyuman dari bibirnya.
Inilah sisi lain seorang Wen Yuanjun. Dia jarang tersenyum bila berhadapan dengan orang ramai. Dia hanya akan tersenyum ketika sedang menyendiri.
Pendek kata, senyumannya begitu beharga. Bahkan Izz, sahabat paling karib di antara yang lain pun boleh bilang dengan jari sendiri, berapa banyak kali dia melihat Yuanjun tersenyum.
Tak, dia tidaklah berlagak. Dia cuma bencikan makhluk yang diberi jolokan 'manusia'. Bukan spesifik, malah secara umumnya. Manusia benar-benar menjengkelkan.
Manusia kejam. Tamak. Rakus. Kuat menghukum orang lain tanpa usul periksa. Suka ikutkan nafsu sendiri. Akal fikiran ada, tapi sayangnya tidak digunakan sebaik mungkin. Tanggapan-tanggapan tentang manusia ini tidak pernah luntur dari otaknya.
Bingo! Dia manusia dan dia tahu hakikat itu. He's a normal human-being. Bermakna... sifatnya turut tidak lari dari semua itu. Kejam, tamak, rakus, menghukum orang tanpa usul periksa, ikutkan nafsu lebih dari akal fikiran waras.
Sejak kecil, dia dibesarkan dalam kelompok orang-orang berkelakuan sebegitu. Jadi... bukan salahnya jika bila mana dia menjelang dewasa, dia juga memperoleh perangai yang sama.
Sama seperti ahli keluarganya.
Satu saja dia akui. Biarpun sifat-sifat itu ditanam dalam dirinya, sekurang-kurangnya dia lebih baik dari ahli keluarganya yang lain. Terima kasih kepada diri sendiri, dan Izz. Lelaki itu punya bakti besar ke atas dirinya.
"Ooh-ooh, baby... I feel like we've made it pretty far..."
"Now we're stargazing..." Dia tersenyum bangga seraya menghentikan petikan pada alat muzik tersebut. Kepalanya dilentokkan pada badan gitar tersebut. Kesejukan di pipi ketika bersentuhan dengan badan gitar itu diabaikan. Dia sukakan perasaan ini.
Then, again. This feels so much like home to him. Only him. And him alone, living in this world.
AIDAN bongkokkan badan, ingin mengambil botol air mineral di dalam peti sejuk kecil separas pinggangnya. Leceh betul. Izz ni lain kali beli peti ais tinggi sikit tak boleh, ke?
Satu tamparan hinggap pada punggungnya saat dia memanggungkan kepala. Kerana terkejut, tidak pasal-pasal kepalanya terhantuk pada peti sejuk itu.
"Aduh. Sakitlah, bebal!" Aidan menggosok kepala sendiri. Farish pula seronok mentertawakan kawannya. Lah, diri sendiri yang terkejut, orang lain yang dimarahnya?
Yuanjun di meja makan melihat tingkah mereka berdua bersama dua bola mata yang memerah, rambut tidak disikat semenjak dia selesai mandi tadi. Sekali pandang, dia kelihatan bagai seorang penagih dadah. Sarapannya langsung tidak diusik. Sebaliknya, dia duduk berteliku di situ, memerhatikan adegan tepuk tampar dua sahabat karib itu.
"Tak sejuklah!" adu Aidan. Dia masukkan semula botol mineral tersebut ke dalam peti sejuk.
"Suis tak buka," beritahu Farish.
Aidan menjenguk ke tepi, ingin mengesahkan kata-kata Farish menggunakan mata sendiri. Ya, Farish betul. Suis peti sejuk itu elok tertutup. Siapalah rajin sangat tutup suis peti sejuk ini?
"Siapa tutup?" Aidan memandang Farish, pinta jawapan darinya. Farish mengangkat bahu. Manalah dia tahu.
"Membazir elektrik." Yuanjun dari meja makan menjawab. Dia lah orang yang bertanggungjawab menutup suis itu.
"Kau ke tutup?"
"Tak," nafi Yuanjun. Malas hendak mengaku.
Aidan dan Farish memandang sesama sendiri setelah itu. Seperti masing-masing sedang bertelepati soal sesuatu. Tak lama kemudian, mereka mengangguk perlahan.
"Kau okey ke tak? Mata merah, rambut berserabut, muka kering. Dah mandi ke belum?" Prihatin Farish bertanya. Hubungan dia dan Yuanjun tidaklah rapat, serapat dia dan Aidan, serapat Yuanjun dan Izz. Walau bagaimana sekali pun, mereka tetap sahabat. Meski tidak rapat. Telah menjadi tugasnya menyoal tentang keadaan rakan-rakannya.
Yuanjun membalas pertanyaan Farish dengan senyuman senget. Matanya dipejam lama,
"Aku okey." Dia menjawab perlahan.
Jawapan itu mengundang tatapan kurang senang Farish. Bukannya dia buta. Elok lagi penglihatannya, tahu? Yuanjun di matanya terlihat seperti orang hilang kewarasan.
"Kau kalau tak okey, bagitahu jela aku. Aku ada je. Boleh je dengar masalah kau." Farish menawar diri. Iyalah... apa guna kawan kalau kawannya yang lain punya masalah pun tidak peduli?
Yuanjun angguk perlahan, sekadar mengiyakan sekali gus ingin mengusir topik ini pergi. Sembang pasal benda lain lagi seronok berbanding sembang perihal dia.
Aidan memetik jari tiba-tiba. Baru harini dia teringat. Alahai... kenapalah dia boleh terlupa!
"Oh, Yuanjun! Aku terlupa. Haritu ada perempuan datang. Dia cakap nak jumpa kau."
Mata Yuanjun lambat-lambat terbuka. Dahinya berkerut. Perempuan? Siapa? Gadis-gadis yang pernah ditidurinya datang mencarinya semulakah? Bukankah sudah dia memberi amaran setiap daripada mereka, jangan datang carinya lagi? Lagipun dia sudah tidak mengajak perempuan jejak ke sini lagi setelah menerima berbakul-bakul leteran Izz. Siapa pula yang terpaling degil ini? Cari nahas betul.
"Siapa?" Adakah di antara Shu Li? Atau... Ju? Kemungkinan besar juga Stella. Dia orang yang paling banyak soal, banyak membantah sewaktu Yuanjun memberi ugutan dulu.
"Nama dia Erina."
Oh, salah teka.
Sebentar...
"Hah?" Bingung. Dah kenapa dia pula datang cari Yuanjun? Di antara mereka sudah langsai semuanya. Mereka tiada apa-apa kaitan lagi dah.
"Ya. Nama dia Erina." Aidan mengesahkan, "Dia ada bagi nombor dia dekat aku." Aidan menayangkan skrin telefonnya yang bercahaya kepada Yuanjun. Jejaka itu ternganga melihat sebaris nama Erina terpapar pada skrin telefon Aidan. Amboi, siap kasi nombor!
Yuanjun mencebik. Nak jumpalah, apalah. Banyak songeh. Tak malu ke datang rumah lelaki? Minta jumpa lelaki yang baru kenal tak sampai sehari pula itu.
"Aku taknak jumpa dia," putusnya muktamad. Ada hal mustahak sangat ke sampai perlu berjumpa balik? Dia ada tercuri barang Erina ke? Mestilah tak ada. Jadi, apa motif hendak berjumpa?
Aneh.
"Oh. Okey..." Kasihan pula terhadap Erina tapi apa dia boleh buat? Keputusan mahu bertemu atau tidak ada pada tangan Yuanjun.
Farish menyiku lengan Aidan, "Eh kalau dia taknak jumpa, aku nak!" Dia memaparkan senyuman miangnya. Aidan guling mata ke atas. Mula dah!
"Buaya," kutuk Aidan. Hakikat seorang Farish. Dia sememangnya kuat menggatal. Bagi pickup-line merata tapi masih saja single. Sedih.
Farish kuak senyuman lebih lebar, "Thanks puji." Title buaya entah mengapa buatkan dirinya bangga. Alah... selagi masih single, bukannya menjadi kesalahan untuk dia menggatal, kan?
"Kejap, Aidan." Yuanjun bersuara saat Aidan dan Farish ingin melangkah pergi. Setelah difikirkan kembali, dia akhirnya bersetuju untuk menemui Erina. Nak jumpa sangat, kan? Tunggulah, 'reunion' ini akan terpahat dalam ingatan Erina sampai bila-bila. Dia yakin!
"Betul?" Pinta kepastian.
Yuanjun angguk sekali.
"Okey..."
Share this novel