W :: ENAM

Young Adult Series 1905

DI hadapan Zalikha, terdapat tiga orang sedang menghadapnya. Seorang merenungnya, dua orang lagi pula tersengguk-sengguk menahan kantuk.

Sebelah kirinya, tempat di mana Yuanjun merebahkan diri. Lelaki itu telah pun selamat membongkang di atas sofa kecil yang tersedia di situ. Entah bagaimanalah jejaka itu selesa tidur di situ? Tidak sempitkah?

Dia pusing kepala ke sebelah kanan, memandang seorang jejaka yang sedang memejamkan mata sambil menongkat dagu. Dia tidak tidur, hanya melelapkan mata. Mustahil dia dapat tidur dalam keadaan membongkok begitu. Tak pasal-pasal terkena penyakit skoliosis.

Tangan dan kakinya berasa sejuk. Fikirannya penuh pemikiran negatif menghadapi lelaki-lelaki di sini. Biarpun dijamin selamat, perasaan takut itu tetap juga kekal di dalam dirinya, tidak lari kemana-mana.

Izz tersenyum kecil, mata bening Zalikha tidak melindungi hakikat bahawa dia sedang berada dalam ketakutan. Izz perasankan itu. Dia faham, pasti Zalikha trauma.

Dia lalu berdehem perlahan, mencuri perhatian Zalikha.

“Zalikha, jangan takut. Kita orang cuba bantu setakat mampu. Nama abang, Izz. Ini, Naufal dan Farish.” Kedua-dua belah bahu rakannya ditepuk sekali. Farish yang hampir terlelap terus terjaga. Dia menoleh ke arah Izz, bingung. Kenapa tepuk bahu dia? Naufal pula diam di tempatnya. Mengangkat tangan sebelah kanan bersama mata tertutup sambil tersenyum kecil, menyapa Zalikha.

“Sebelah kanan Zalikha tu Aidan.” Izz menunjuk Aidan. Respon lelaki itu hampir sama dengan Naufal. Dia mengangkat tangan sambil tersenyum kecil ke arah Zalikha.

“Yang kiri tu pula... Zalikha kenal dah kut.” Yuanjun sendiri bawa ke mari. Pasti mereka sudah berkenalan sebelum tiba di sini.

Zalikha angguk, menegesahkan. Sekali gus anggukan dia membawa maksud dia berjaya mengenali mereka semua.

Farish berbunyi, menyuarakan isi hatinya semenjak tadi, “Boleh tak esok je kita sembang pasal ni? Aku nak tidur,” rungutnya. Sekarang jam sudah berginjak ke pukul empat pagi. Dua jam dari sekarang, pagi bakal bertukar ke waktu Subuh. Selesaikan kes si Zalikha ini mestilah mengambil masa yang lama. Celah mana dia mahu dapatkan tidur berkualiti?

“Betul.” Aidan menyutujui pernyataan rakan karibnya itu. Sia-sia bersengkang mata, padahal esok pagi masih ada.

“Tunggu esok lambatlah. Benda boleh settle sekarang kut. Kenapa perlu bazirkan masa?” Izz membantah. Biarlah dia terpaksa korbankan waktu tidurnya. Zalikha lebih penting daripada tidur!

Zalikha gelak kekok, “Tak payah susah-susah. Saya okey je. Lepas Subuh saya keluarlah dari rumah ni.” Dia mampu jaga diri sendiri. Buktinya, sudah seminggu lebih dia dihalau dari rumah. Sihat walafiat saja dia sepanjang tidak berada di dalam rumah.

Kecuali, semalam. Kes semalam sedikit mengubah persepsinya terhadap dunia luar. Dia trauma, bercampur gentar. Tapi, tak apa! Dia akan lebih berhati-hati selepas ini.

“Mana boleh! Bahaya luar sana tu. Zalikha hampir kena rogol semalam, kan? Lupa dah ke?” Izz menggeleng kepala perlahan, anak gadis ini tidak serikkah?

“Tak apa. Zalikha boleh...” Ayatnya terbantut gara-gara Izz lebih pantas memintasnya.

“No.” Perlahan tapi cukup tegas. Terdiam jugalah Zalikha. Segala ayat bantahan dalam kepalanya bagaikan automatik terpadam.

“Zalikha boleh berdikari atau tak, benda tu bukannya point penting buat masa sekarang. Keselamatan Zalikha lebih penting sekarang,” serius Izz. Zalikha mampu berdikari ke, tak mampu ke, tu dah masuk hal lain!

“Dahtu? Apa nak buat dengan dia?” tanya Naufal. Matanya kini sepenuhnya terbuka luas.

“Kita hantar pergi Pusat Perlindungan Wanita. Ada satu aku nampak haritu di Klang.” Dia angguk yakin kepada Zalikha. Itulah satu-satu jalan penyelesaian yang ada. Mana lagi boleh bawa Zalikha pergi?

Mendengar khabar itu, Zalikha menjadi lebih seriau. Dia ada menonton satu drama di televisyen dulu. Tentang kehidupan di Pusat Perlindungan Wanita. Ianya betul-betul indah khabar dari rupa. Mereka bukannya melayan wanita dengan baik pun. Malah, wanita-wanita di situ akan dibuli oleh ‘kaklong.’ Beberapa kali cubaan melaporkan kepada warden gagal. Warden-warden di situ pula bukannya bagus-bagus belaka. Spesies suka lepas tangan dari tanggungjawab sendiri.

“Tak nak!” Zalikha geleng kepala. Tempatkanlah dia di mana-mana saja asalkan bukan dekat situ. Dia lebih sanggup mati diratah oleh manusia-manusia durjana di luar sana daripada tinggal di sana!

Farish dan Aidan sama-sama terkejut. Kedua-dua mereka serentak membuka mata dek tempikan Zalikha. Mata merah Farish memandang Zalikha tidak puas hati. Alahai, budak ini! Kacau sungguh.

Zalikha kemam bibir. Bersalah serta resah menjadi satu apabila terkena panahan mata Farish. Seram bila kena tenung begitu oleh Farish.

Dia menelan liur, “Ikha tengok dalam drama... Ramai perempuan dekat situ kena buli. Ikha lebih suka hidup bebas dari kena buli.” Zalikha menyuarakan sebab mengapa dia membantah cadangan Izz tadi.

Izz mengeluh. Senang terpengaruh rupanya Zalikha ini.

Dia betulkan duduk, “Zalikha, nama pun drama. Memang tak betul lah. Semua tu lakonan semata-mata. Abang Izz yakin, tempat ni memang terbaik. Zalikha takkan menyesal.”

“Zalikha boleh call abang Izz, atau abang Yuanjun kalau ada apa-apa jadi.”

Zalikha diam, kepala otaknya ligat berfikir samada mahu mengikut arahan Izz atau tidak.

Kalau tak ikut arahan Izz, apa lagi pilihan dia ada?

Sedang dia berfikir, tiba-tiba figura disebelah kirinya mengeluarkan bunyi rengusan. Kuatnya rengusan itu sampaikan perhatian Izz, Naufal dan Zalikha terarah kepada dia. Memang sengaja dia merengus kuat-kuat untuk memperoleh perhatian mereka.

“Aku tak nak terlibat apa-apa. Aku bawa dia datang sini kira okey dah. Pandai-pandai lah korang uruskan apa benda yang patut lepas ni. Blah.” Usai mengeluarkan kata-kata yang seeloknya Yuanjun simpan dalam otaknya saja, dia langsung bangun menapak ke arah biliknya, meninggalkan perbincangan kecil itu. Bahagiannya sudah selesai. Jadi, buat apa berlama-lama lagi?

Bukan niatnya mahu meninggalkan Izz terpinga-pinga menguruskan urusan Zalikha. Tempikan Zalikha sebentar tadi betul-betul menganggu lenanya. Asbab jengkel, dia tidak berfikir panjang, terus tinggalkan mereka di situ.

Budak itu memang suka menempik, melolong, menjerit dan segala macam perbuatan bermula dari imbuhan ‘me-’ ke?

Setelah menapak masuk, Yuanjun menutup rapat pintu biliknya. Haraplah suara Zalikha tidak menembusi masuk ke sini.

“Okey, tak apa. Abaikan dia. Zalikha call je abang Izz, atau abang Naufal. Boleh?”

Jeda.

Zalikha pejam mata, berserah kepada takdir. Baiklah. Jika cara ini yang terbaik, dia terima saja.

Lambat-lambat dia mengangguk, “Okey.” Zalikha beri kata putus.

“ZALIKHA, tunggu. Abang Izz nak tanya.” Langkah kaki Zalikha terbejat. Dia menoleh memandang dua orang lelaki itu, Izz dan Naufal. Kedua-duanya menayangkan riak serius maut. Jantungnya mula bagai nak gila. Tali beg pakaiannya digenggan erat.

“Ya?” Suara diatur agar tidak kelihatan seperti dia sedang gemuruh.

“Siapa lelaki yang buat Zalikha?”

Ah, soalan ini! Dia benar-benar tidak bersedia mahu menjawab soalan ini. Kenapalah Izz bertanyakan hal ini sekarang?

“Buat apa?” Zalikha pura-pura bingung.

“Zalikha...” Berbaur amaran. Jangan pura-pura lah, Zalikha.

Dia menggeleng perlahan. Mengelak dari menjawab pertanyaan Izz. Dia takut kalau-kalau Izz bakal lakukan apa-apa pada lelaki itu nanti.

“Kita orang nak tahu je, takda buat apa pun dengan dia.” Naufal menyela.

Zalikha masih diam. Susah mahu mempercayai dua orang jejaka ini.

“Boyfriend?” teka Izz. Semalaman dia berfikir beberapa kemungkinan, punca Zalikha mengandung.

Ibu bapanya pasti tak akan halau dia dari rumah kalau dia dirogol. Mana ada ibu bapa yang tergamak halau anaknya sendiri.

Zalikha diam. Tekaan Izz tepat. Dia bukan dirogol. Malah, dia mengandung disebabkan mereka berdua sendiri rela.

Pendek kata, dia sendiri memilih untuk berzina. Bukan dirogol.

“Nama dia apa?”

“Lutfi,” jawab dia perlahan. Buat apa berselindung lagi walhal semuanya telah pun terbongkar.

“Nama penuh?”

Zalikha teragak-agak. Perlu ke beritahu nama penuh?

“Muhammad Lutfi Wardi bin Thamin.” Sebaris nama itu meniti di bibir Zalikha buat sekian lama dia tidak menyebut nama itu.

Selepas mengetahui Zalikha membawa kandungannya, Lutfi hilang dari radar. Dia berharap setiap kali dia menghubungi Lutfi, Lutfi akan menjawabnya. Harapan tinggak harapan, bukan suara Lutfi yang menjengah masuk ke gegendang telinga. Malah, dia menerima sahutan dari operator voicemail.

Panggil dia bodoh tapi dia masih sayangkan Lutfi. Itu hakikatnya. Makilah dia gunakan berapa banyak bahasa di dunia ini sekali pun, rasa sayangnya pada Lutfi takkan pudar.

Dia percaya, Lutfi perlukan masa untuk menyendiri setelah menerima berita ini. Dia juga turut terkena tempias tekanan daripada berita ini. Zalikha kenal Lutfi, dia tidak bakal sewenang-wenangnya lepas tangan.

Izz memandang Naufal, mengisyaratkan sesuatu melalui mata. Naufal angguk faham seraya menerima arahan daripada Izz. Hanya mereka berdua saja faham maksud dibalik isyarat mata masing-masing.

“Okeylah, jom masuk.” Izz menggamit Zalikha ke arahnya, “Bagi beg tu. Biar abang Izz pegang.”

Zalikha menyerahkan beg pakaiannya kepada Izz tanpa banyak bunyi. Izz tahu, bahu kecil Zalikha tidak dapat menampung keberatan beg itu.

Mereka masuk melalui pintu pagar premis tersebut. Besar dan luas. Bangunannya seperti asrama.

Zalikha melihat sekeliling. Dia kagum, teruja, gementar. Semua ada. Entah perkataan apa yang sesuai untuk dia memerihalkan perasaannya ini.

Ramai mata-mata memerhatikannya. Dari blok atas, blok tengah, blok bawah. Merata tempat orang memerhatikan gerak-gerinya. Kurang selesa dia jadinya.

Ada juga yang tidak menghiraukan kehadirannya. Sibuk berceloteh sesama sendiri, sibuk menyelak helaian Al-Quran. Bermacam ragam manusia di situ.

Dia berjalan cuba menyamai langkah Naufal dan Izz. Disebabkan dia sibuk memerhati persekitaran sekeliling, dia tidak perasan mereka sudah jauh meninggalkan dia di belakang.

Mereka berhenti sesampainya di hadapan pintu tertera perkataan ‘pejabat’. Dua kali ketuk dan diselangi pemberian salam, pintu sudah terbuka dari dalam.

Izz dan Zalikha menuju ke kaunter pendaftaran, manakala Naufal duduk di kerusi menunggu. Mereka berdua disambut dengan senyuman oleh penjaga kaunter.

“Nurul Zalikha binti Aswad? Pagi tadi ada buat pendaftaran, kan?” Dia memandang Izz. Kalau tidak salah, lelaki ini lah yang mendaftarkan Zalikha pagi tadi.

“Ya.” Izz angguk, megesahkan.

“Baiklah. Tinggal bagi nombor IC lepas tu Zalikha dah siap daftar, ya?”

“.”

Papan kekunci komputer berbunyi setelah itu. Penuh cermat kerani itu mengisi segala data peribadi Zalikha.

“Okey, Zalikha. Berjaya daftar. Selamat datang ke Pusat Pemulihan Akhlak Ainul Mardhiah.” Kerani itu tersenyum simpul. Zalikha malu-malu membalasnya. Ayat itu menandakan bahawa dia bakal menginap di sini. Segala kehidupannya bakal berubah. Sedih, gementar, takut usah cakap! Sebelum melalui pagar masuk premis ini tadi dia sudah merasai semua itu.

“Tunggu sini, ya. Kejap lagi kita briefing semua peraturan di sini,” ujar kerani itu. Sesudah menerima anggukan dari Zalikha, dia mempamit diri keluar entah ke mana.

Zalikha menarik nafas, memandang paras sisi Izz. Inilah dia, pertemuan terakhir buat mereka berdua.

Bukanlah terakhir, mesti ada lagi pertemuan-pertemuan mereka akan datang. Izz sendiri berjanji ingin melawatnya nanti.

“Abang Izz balik lah. Tak apa. Zalikha uruskan semua ni sendiri nanti.” Izz banyak berbakti kepadanya. Dia terfikir juga semasa dalam perjalanan ke sini tadi. Kalaulah dia tidak dipertemukan oleh Yuanjun, Izz, Naufal, Farish dan tidak lupa, Aidan. Bagaimanakah nasibnya?

“Eh?” Izz ingin membantah namun cepat-cepat Zalikha menggeleng.

“Sampai sini dah cukup. Zalikha uruskan sendiri semua lepas ni.” Zalikha jeda,  menahan tangis, “Terima kasih, abang Izz.”

Izz tersenyum kecil. Agak sedih juga ingin melepaskan Zalikha. Anak gadis ini, biarpun pertemuan mereka belum cukup dua puluh empat jam, terasa seperti mereka sudah terlampau akrab.

“Okey...” Dia turuti permintaan Zalikha, “Jaga diri. Nanti lapang-lapang boleh call abang. Abang juga, janji nanti ada kelapangan abang datang melawat Zalikha.” Dia mengangkat jari telunjuk. Zalikha bagaikan faham, lantas menyatukan jari telunjuk mereka berdua.

“Janji.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience