tw:// self harm, mention of suicide
–
ANGIN sejuk menghembus ke arah dirinya. Tenang dan lembut menyapa setiap inci badannya. Ada sinaran menyimbah kelopak matanya. Dia ingin membuka matanya tetapi terasa berat semacam.
Secara tidak sedar, dia melepaskan rengekkan. Rengekkan yang dia harapkan dapat membantu membuka kelopak matanya.
“Yuanjun?” Suara lunak seseorang kedengaran. Disambung dengan ketawa kecil darinya selepas itu.
Suara... siapakah?
Gadis itu mengangkat tangannya, melindungi tampang Yuanjun dari terus terkena cahaya.
“Bukalah mata. Saya ada depan awak ni” Telinga Yuanjun menangkap bunyi sengihan darinya. Kalau dia tak salah ini suara...
“Erina?” Dia meneka.
Dia tidak menjawab soalan Yuanjun malah, dia hanya ketawa mendengar tebakan Yuanjun.
Sepatutnya Yuanjun berasa sebal kerana soalannya tidak dijawab tetapi... dia kekal diam. Mendengar tawaan gadis ini yang bagaikan irama melodi indah di telinga. Sedikit sebanyak, dia diselubungi perasaan lega.
Baguslah... sekurang-kurangnya dia tidak keseorangan.
Lambat-lambat dia cuba membuka kelopak matanya. Pertama sekali mengisi pandangannya ialah wajah manis Erina. Gadis itu tampak berseri semacam. Terlebih berseri dari biasanya.
Lama dia memandang raut itu sebelum anak matanya bergerak ke arah lain selain dari muka Erina, mengamati persekitaran sekeliling.
Apa yang dia dapat takrifkan, dia kini berada di satu kawasan berumput. Sungguh luas. Terasa lebih luas kerana dia tahu, cuma punya dia dan Erina di sini. Langit pun biru nan indah. Angin pula berderu-deru mengenai mereka berdua.
Kawasan ini begitu asing buatnya. Tidak pernah-pernah dia sampai ke sini lagi sebelum ini.
Dari baring, dia perlahan-lahan bangun untuk duduk. Erina yang faham berginjak ke belakang sedikit memberi ruang kepada lelaki itu.
Dia meneliti lengannya. Kesan torehannya masih ada di situ, tidak hilang. Cumanya sekarang ianya meninggalkan parut yang agak dalam.
Mata Erina memandang ke arah lengan Yuanjun. Lama dia perhatikan lengan Yuanjun bersama riak serius.
Yuanjun yang perasankan itu lantas menyembunyikan lengannya. Dia melipat lengannya ke belakang, menghalang Erina dari sentiasa memerhatikannya.
Anak mata Erina naik memandang wajah risau Yuanjun. Beberapa saat mata mereka berlaga dan apabila Erina tidak menunjukkan tanda-tanda dia mahu berhenti menayangkan riak sedemikian, Yuanjun pantas menggerakkan anak matanya ke tepi.
Pasti gadis itu sedang memerhatikannya dari atas ke bawah sekarang, pasti dia memandang senteng kepadanya.
Letusan ketawa Erina membuatkan Yuanjun memusingkan kepalanya semula kepada Erina. Dahinya berkerut hairan. Sekejap serius, sekejap ketawa. Dia dah kenapa?
Erina tersenyum manis. “Saya takda cakap apa-apa pun. Janganlah takut.” pujuk Erina. Jujur, dia tidak berasa jijik pun Yuanjun menoreh lengan sendiri. Kenapa pula perlu berasa jijik? Mungkin itu salah satu cara Yuanjun lepaskan tekanan. Salah memanglah salah, tapi dia tiada hak untuk menilai perbuatan Yuanjun yang satu itu.
Yuanjun kembali tenang. Tangannya tadi dilekapkan semula ke atas rumput.
Kenapa... Erina tampak baik sekali?
Dalam Yuanjun sedang leka melayan persoalan-persoalan yang tidak bakal terjawab pun, tiba-tiba dia terasa tangannya direntap ke hadapan.
Direntap oleh Erina.
Terperanjat dia memandang gambaran itu. Pergelangan tangannya berada di dalam genggaman Erina.
Dia dan Erina,
Bersentuhan.
Dia menelan liur. Mana datang keberanian gadis ini untuk menyentuhnya? Padahal sewaktu pertama kali mereka bertemu, pelbagai alasan diberikan semata-mata ingin mengelak dari bersentuhan.
“Kau...” Yuanjun bersuara ingin menegur tingkah terlebih berani Erina tetapi dia dicantas terlebih dahulu oleh gadis itu.
“Kenapa?” Erina menyoal sambil mata tidak lepas memandang luka Yuanjun. Dalam amat lukanya. Tentu sakit.
Yuanjun hanya diam tidak menjawab. Fokusnya pun turut jatuh kepada lengan sendiri.
Perlukah Erina tahu... sebab dia lakukan ini?
Erina menunggu lelaki itu memberikan jawapan namun, tiada sebarang kata keluar dari mulutnya. Dia angkat kepala, memandang Yuanjun, tagih jawapan darinya. Dia tidak mahu kediaman Yuanjun sebagai jawapan.
Mata mereka berlaga buat kali kedua. Halkum Yuanjun bergerak memandang anak mata coklat cair itu menikamnya. Buat pertama kali, dia tewas.
Dia tewas untuk mendomanisasi seseorang.
Biarpun begitu, dia tetap mengunci mulutnya rapat, enggan memberitahu jawapan selanjutnya.
Akhirnya, Erina mengangguk perlahan. Faham yang Yuanjun tidak mahu memberitahunya. Dia melekukkan senyuman manis buat kesekian kalinya, menunjukkan yang dia tidak terasa.
“Tak elok.” Erina geleng kepala. “Tak elok buat macam ni. Kulit awak... bukannya kertas.”
Mereka memandang sesama sendiri. Masing-masing serius menatap antara satu sama lain. Pada waktu ini, angin tadi sudah tidak terasa sejuknya. Semuanya diganti oleh perasaan tegang ini.
Yuanjun tidak memberi respon dulu. Dia menunggu Erina melanjutkan kata.
“Saya faham, awak stres. Saya faham, awak ada masalah tapi ini bukan caranya untuk lepaskan tekanan.”
Yuanjun mengeluh. “Tapi masalah aku takkan pernah selesai.”
“Dan lari dari masalah pun takkan selesaikan semuanya.” Laju Erina memberi balasan.
Yuanjun diam. Dia bungkam. Kepala ligat mencari balasan apa lagi dia patut berikan kepada orang di hadapannya ini.
Bijak Erina buatkan Yuanjun terkedu.
Topik ini berat sehinggakan dadanya sesak. Secara tidak sengaja Erina melepaskan nafas berat. Senyum sekali lagi dan berkata, “Kehidupan semua orang ada susah, ada senangnya tapi tak bermakna kita perlu tamatkan nyawa sendiri. Harini kita sedih, mana tahu esok kita gembira?”
“Well, life's hard sometimes. Of course, it won't be only a flowery path in your life. Sometimes, you do need some rain to grow more flowers.” Dalamnya makna kata-kata Erina ini berjaya buatkan Yuanjun merenungnya dalam. Matanya mula berair memenuhi kornea.
Dia menutup mata, menarik nafas sedalam mungkin. Cuba menahan empangan air mata dari pecah.
“Aku...” Dia berdehem membetulkan suara pecahnya, “Aku... tak boleh berhenti.” Susah buatnya untuk memberhentikan tarbiat tak eloknya itu. Jika bukan lengannya menjadi mangsa, mesti jari ataupun telapak tangan. Dia menoreh di mana tempat yang boleh pulih semula.
Kecuali kali ini... Kali ini dia pilih lengannya kerana dia betul-betul mahu pergi.
Dia mahu terbang.
“Saya tak suruh awak berhenti.”
Yuanjun fokus sepenuh kepada Erina. Sabar dia menanti gadis itu menyudahkan ayat.
“Saya akan bantu awak lalui semua ini.” Sambil tersenyum dia menuturkan ayat itu. Lancar. Seperti dia ikhlas, seperti dia maksudkan segalanya.
“Macam mana?” Yuanjun ingin tahu. Walaupun separuh hatinya menidakkan tawaran Erina.
Sebabnya, dia tahu dan berpegang pada hakikat bahawa,
Dia tidak layak untuk dibantu.
Dia tidak layak diberi simpati.
Dia tidak layak dilayan sebegini baik.
Bahkan, tidak layak untuk hidup.
Erina memangku dagu. Dalam diam dia mengamati setiap wajah Yuanjun. Yuanjun begitu lesu. Pun begitu, kelesuan Yuanjun tidak mencacatkan sedikit pun tampang kacaknya.
“Jawablah.” rayu Yuanjun. Janganlah biar soalan dia tergantung tidak dijawab. Dia benci sungguh apabila soalannya dipulaukan.
Tidak betah Erina menjawab soalan lelaki itu biar dia ditekan beberapa kali oleh Yuanjun untuk menjawabnya. Erina tetap tersenyum, dan tersenyum.
Hingga dia lenyap dari pandangan Yuanjun.
TERKAPA-KAPA dia bangun dari pembaringan. Tercungap-cungap dia mencari nafas. Rerambutnya basah terkena peluh.
Seketika dia menutup mata. Kepalanya berdenyut sakan akibat tindakan drastiknya itu.
Dia... bermimpikah?
Perbualannya dengan Erina ketika berada di dalam mimpi tadi benar-benar nyata, seperti mereka berdua sedang berkomunikasi terus antara satu sama lain.
Dia menguak rambutnya ke belakang. Peluh di dahinya dilap sekali.
Kemudian, dia memandang persekitaran sekelilingnya.
Begitu asing sekali.
Dia berada di sebuah bilik bercat putih. Bilik ini kosong, tiada apa pun di dalam bilik itu kecuali dia yang duduk di atas tilam, dan satu kipas berdiri yang dihalakan kepadanya.
Oh... ini punca angin tadi?
Dia menilik dirinya pula. Bajunya masih elok melekat pada tubuh, terdapat kesan calar sedikit pada permukaan kakinya tetapi ianya kelihatan seperti sudah diubati seseorang, dan...
Lengannya!
Laju dia menyinting lengan bajunya ke atas bagi melihat keadaan lengannya itu.
Padanlah lengannya tidak sakit mahupun menyengat. Rupa-rupanya,
ada pembalut yang membaluti lengannya. Beberapa contengan terdapat di atas permukaan pembalut itu. Bola matanya bergerak membaca setiap satu ayat berikut.
‘Get well soon :p’
‘Wishing you well :)’
Dia berhenti setakat itu. Ayat-ayat ini... amat familiar.
Mata menurun membaca ayat seterusnya.
‘????????’
Ayatnya,
Tulisan tangannya.
Ini... pembalut tangan Erina, kan?
Maknanya, sekarang dia berada di rumah Erina?
Dia duduk termangu di situ. Agak lama dia memproses segala-galanya. Secebis dari memorinya cuba dipanggil kembali. Kali terakhir dia ingat adalah ketika dia memandang langit. Sejurus itu, semuanya kelihatan samar-samar di memorinya.
Bagaimana dia dapat sampai ke sini? Bahkan tidur nyenyak sekali di dalam bilik ini?
Beberapa detik dia tunggu untuk menstabilkan diri sebelum bangun menuju ke arah pintu. Dia tetap juga hampir terjatuh walaupun berhati-hati.
Tombol pintu dipegang erat. Kepalanya bertemu dengan permukaan pintu. Peningnya masih belum hilang. Berkali-kali dia menghentuk perlahan dahinya pada pintu, berharap perbuatannya itu dapat melegakan denyutan di kepala.
Setelah reda, dia memulas tombol pintu itu. Dia menjenguk dulu, memastikan tiada siapa melalui di hadapan bilik ini.
Yakin yang tiada sesiapa berada di situ, dia terus keluar dari bilik itu. Terhuyung-hayang dia berjalan mencari jalan keluar dari sini.
Tiba di ruang tamu, dia berhenti menapak. Memeriksa sekeliling untuk melihat masa. Jam yang elok melekat di dinding ruang tamu menarik perhatiannya.
6:00 pagi.
Subuh.
Bermakna, bila-bila masa saja Erina akan bangun. Dia menggeleng kepala mengingatkan hal itu. Dia tidak mahu bertembung dengan gadis itu dulu. Biarlah dia pergi dari sini tanpa jejak.
Pintu utama rumah ini dia pandang sepi. Ingin saja dia keluar melalui pintu itu tetapi mesti isi rumah ini akan perasankan bunyi kunci dibuka.
Dia membuat cadangan untuk lompat keluar dari tingkap bilik tadi. Lebih selamat berbanding keluar mengikut pintu depan.
Sudahnya, dia pusing ke belakang tanpa ragu.
Dan, di situlah mata mereka bersatu.
Kedua-duanya kaku.
Tercengang memerhati sesama sendiri.
“Yuanjun?” panggil Erina perlahan. Dia sudah siap bertelekung ingin menunaikan solat Subuh.
Melihat keberadaan Erina, dia jadinya teringat mimpinya sebentar tadi.
‘Saya akan bantu awak lalui semua ni.’
Yuanjun memggeleng kepala. Oh, jangan ingat tentang itu!
Dia bergerak setapak ke belakang dalam kekalutan. Erina yang melihatkan itu menunjukkan riak pelik. Dia okey ke?
“Kenapa?” Erina menyoal perlahan. Dia ada buat apa hinggakan Yuanjun gopoh sangat?
‘Tak elok... tak elok buat macam ni. Kulit awak bukannya kertas.’
Terngiang-ngiang ayat seterusnya dari mimpi tersebut.
Yuanjun mengundur ke belakang. Setapak, demi setapak. Untuk pertama kali, dia takut menghadap Erina. Atas sebab apa pun dia sendiri tak pasti.
Erina statik berdiri di situ. Memerhati gerak-geri Yuanjun. Dapat dia teka, lelaki itu berada dalam ketakutan. Mengapa?
Belakang badannya berlaga dengan pintu utama rumah Erina. Dia memusing tangannya ke belakang lalu memulas kunci.
Klak!
Berjaya dibuka.
Erina masih berdiri di situ. Kakinya ingin melangkah ke arah Yuanjun tetapi fikirannya menegah. Biarlah lelaki itu pergi. Dia menolong Yuanjun atas dasar kasihan. Tidak lebih, tidak kurang.
Yuanjun tetap melangkah, dan terus melangkah.
Hingga dia hilang dari pandangan Erina.
Thank you for reading May you guys have a great day!! ;)
Share this novel