W :: SEMBILAN

Young Adult Series 1905

tw:// self harm, suicide attempt

enjoy reading :)

-

"BAGI sini buku kau." Atiq mengambil buku-buku berat di tangan Erina. Kesian tengok kawan dia yang seorang ini. Semalam balik kerja lewat, harini awal-awal pagi lagi kena masuk kelas. Habis kelas, usung buku-buku berat pula.

Belum sempat Erina membantah, buku tadi sudah pun bertukar tuan. Otot lengannya serta merta mengendur. Terima kasih buat Atiq, bebannya berkurang.

Dia menjeling sekilas buku-bukunya di tangan Atiq. Mudah saja lelaki itu mengangkat semuanya. Haih... kalaulah dia punya kudrat sekudrat dengan Atiq.

"Kau kerja lagi malam ni?" Atiq menyoal sambil mereka berdua jalan beriringan. Sesekali dia memandang ke arah Erina yang tinggi separas bahunya.

"Haah. OT lagi." Fikirkan soal kerja, Erina mengeluh tidak sengaja. Dia penat tapi apa boleh buat? Nak tukar syif? Tentu sekali tidak boleh. Skop kerja perlulah dia patuhi. Sia-sia saja nanti makan gaji buta. Tak ke berdosa namanya?

"Sabarlah. Sikit je lagi." Atiq memperingati. Mereka masih punya empat bulan untuk dihabiskan. Setelah itu, bolehlah berhuha-huha. Empat bulan bukannya lama. Pejam celik, pejam celik, sudah masuk empat bulan.

Erina angguk. Betul kata Atiq. Kehidupan dia di universiti bersisa sedikit saja lagi.

"Oh! Sebut pasal ni, kau tahu tak nanti ada Karnival Amal Universiti?" soal Atiq.

Erina memandang dia bingung, "Bila?" Tak ambil tahu pula pasal apa-apa karnival dekat universiti ini. Sebelum ini pun banyak aje acara di sini cuma Erina malas ambil pusing. Apatah lagi hadir ke acara-acara sebegini.

"Dua minggu lagi. Jomlah, join!" ajak Atiq. Ini merupakan tahun terakhir mereka, sekurang-kurangnya hadirlah buat kali terakhir.

"Tengoklah dulu." Mudah Erina beri jawapan. Malaslah dia! Bersesak-sesak. Tak suka.

Atiq memberhentikan langkah lalu mencebik, "Ala... jomlah! Tahun ni last. Kalau kau tak suka bersesak-sesak, kita boleh jaga booth!" Tak kesah. Kalini biar dia heret Erina sekali. Kena guna paksaan pun, dia takkan teragak-agak.

Erina menghembus nafas, malas. "Booth apa?"

Atiq mendongak. Dia cuba memikirkan satu idea bernas. Agaknya booth apa yang dapat tarik ramai pengunjung?

"Kau ada idea?" Atiq pinta pendapat Erina setelah puas dia memerah otaknya mencari idea tetapi tak muncul-muncul juga.

"Aku pula?" Manalah Erina tahu. Masuk pun sebab dipaksa.

"Yelah. Mana tahu kau ada idea."

Erina menggeleng, "Takda."

"Hm. Nantilah aku fikirkan dulu. Apa-apa aku bagitahu lain." Lambat lagi karnival itu pun. Sempatlah dia cari idea dulu.

Suka hatilah. Erina hanya angkat tangan menunjukkan tanda OK.

ERINA memulakan syifnya pada petang itu, menggantikan syif tengahari Farisha.

Dia mengelap meja kaunter meski dia tahu pasti Farisha sudah mengelapnya sebelum dia meninggalkan syif tadi.

Sedang dia mengelap meja, bunyi loceng angin pada pintu masuk kafe berbunyi. Dia peka akan bunyi itu. Bunyi itu menandakan bahawa ada pelanggan telah memasuki premis ini.

Erina memandang ke arah pintu masuk. Seorang lelaki tinggi lampai, rambut sesikit berserabut, dan berkulit cerah datang menghampiri.

Serta-merta tangan Erina terhenti. Kain lap tadi ditolak ke tepi. Matanya membuntang, dia betul-betul terkejut setelah melihat tampang figura itu.

Sekejap... dia tak salah pandang, kan?

Lelaki itu...

Izz.

Izz berhenti di hadapan kaunter. Dia menghadiahkan senyuman kepada Erina ketika melihat gadis itu terkulat-kulat. Barangkali terkejut dengan keberadaannya di kafe ini.

Bila dekat begini, barulah Erina perasan. Mata Izz sembap, seperti kurang tidur. Lingkaran bawah matanya gelap. Senyumlah semanis sekali pun, muka lesu Izz tetap tak dapat disembunyikan.

Izz kenapa?

"Hai," sapanya dulu. "Boleh kita sembang kejap?"

Erina telan liur. Baru sedar, semenjak tadi dia tak lepas merenung Izz.

Lambat-lambat dia angguk, "Boleh tapi kejap jela. Saya ada banyak kerja lagi."

"Tak apa. Saya janji kejap aje." Izz angguk, mengiakan.

"Okey..." Erina berjeda. "Ada nak order apa-apa tak?"

Pertanyaan Erina disambut oleh gelengan Izz, "No, thanks." Dia tak ada selera.

"Pergilah duduk. Kejap lagi saya datang." Erina menunjukkan salah satu kerusi kosong secara rawak.

Izz menoleh memandang arah tunjukkan jari Erina. Mengoyak senyuman buat kali kedua kepada Erina, dia menapak pergi. Duduk di salah sebuah kerusi di situ.

Erina garu kepala. Banyak persoalan berlegar di kepalanya. Satu,

Mana Izz tahu dia bekerja di sini?

Dua,

Apa jadi pada Izz?

Tiga,

Mustahak sangatkah hal yang hendak dibincangkan itu hingga perlu datang menghadap?

Aduhai.

Dia mengikat apronnya ketat. Sosok Kak Finaz di bahagian dapur dicari. "Kak Finaz!" panggil dia lantang.

Kak Finaz menoleh melihat Erina. Segala pekerjannya tadi langsung terbantut.

"Cover kejap, eh? Ada orang ajak jumpa!"

Kak Finaz angguk sambil tersenyum penuh makna. Ha, adalah itu benda bukan-bukan dia tengah fikir.

Erina menuju ke meja tempat Izz sedang berteleku. Kerusi di hadapan Izz dia tarik lalu duduk.

"Ada apa?" Dia bertanyakan tujuan Izz dulu sebelum mengajukan soalan-soalannya yang lain.

Mata letih Izz terkatup sebentar. Dia menghembuskan nafas berat. "Yuanjun... dah berapa hari dia tak balik."

Nama Yuanjun yang terpacul dari mulut Izz sedikit sebanyak menggelegakkan hatinya.

Ada apa urusan Yuanjun tak balik rumah dengan aku? Aku perlu kesah ke dia balik ke tak?

Erina menyoal dalam hati. Kalau tak fikirkan keadaan Izz sekarang ini, lama dah dia sembur soalan-soalan itu. Perasaan geram pada Yuanjun masih tersisa.

"Lepas korang jumpa haritu, dia ada jumpa kau lagi tak? Semalam ke?"

Erina memandang Izz malas. Automatik hilang mood setelah nama Yuanjun dibangkitkan. "Takda," balasnya acuh tak acuh.

Izz serabutkan rambutnya secara kasar. Harapannya hancur. Dia sangka, Yuanjun ada menemui Erina lagi dan Erina tahu dimana keberadaan kawan baiknya itu. Sangkaannya tidak mengena sama sekali.

"Tapi..." Erina bersuara. Perhatian Izz berbalik kepadanya semula. "Mana awak tahu saya kerja dekat sini?"

"Semua dah tahu. Sejak kau ajak Yuanjun jumpa kau dekat sini."

Oh, bagus sekali.

Masing-masing diam setelah Erina menyoal tentang itu. Dia ingin bertanya lebih lanjut tetapi tidak terkeluar soalan-soalannya. Semuanya tersekat di kerongkong. Dia lebih fokus memandang wajah lesu Izz.

"Awak tak tidur ke?"

Izz angkat kepala. Mata masih elok tertutup. Dia geleng perlahan.

"Langsung?"

Geleng lagi.

Erina kemam bibir. Faham, Izz risaukan Yuanjun tapi sampai tak tidur? Itu namanya memudaratkan diri sendiri.

Dia dekatkan tubuh pada Izz. Kedua-dua tangan dicantumkan. "Tahu risau tapi jangan sampai tak tidur," pesan Erina prihatin. Ini entah macam mana dia pandu kereta sampai sini? Beruntung tiada sebarang kecelakaan berlaku pada dia.

Izz menghembuskan nafas berat buat kesekian kali, "Kau tak faham, Erina... Dia keluar waktu tu dengan emosi tak stabil..." tutur Izz lemah di hujung ayat. Sehari dua hilang tak apa. Ini, sampai nak dekat seminggu. Mahu dia tak risau? Nak jejak pun tak dapat. Macam-macam boleh jadi dekat Yuanjun sekarang ini.

Bab-bab beri nasihat dekat orang Erina paling tak reti. Dia kasihankan Izz tapi dia tak mampu buat apa-apa. Takkan mahu tawar diri pergi cari Yuanjun pula? Gila. Dia ada banyak kerja lain dari pergi cari lelaki itu.

"Saya yakin, nanti dia mesti akan balik. Janganlah risau sangat." Tak tahulah kata-katanya dapat menenangkan Izz. Dia mencuba nasib saja.

Izz merenung meja itu. Dalam. Memproses kata-kata Erina.

Balik, Yuanjun. Aku tunggu kau.

TERKADANG dia tertanya,

Apakah perasaannya punya sayap? Punya kebebasan terbang tinggi, membelah kepulan-kepulan awan?

Dia selalu ingin terbang. Ingin merasai kebebasan, tanpa endahkan sebarang permasalahan yang bersarang di benak.

Dia baring di situ. Bajunya basah lencun dek ditimpa air hujan. Dia perasankan itu cuma dia biarkan saja dirinya kekal terbaring di situ.

Langit pekat malam, diiringi rintikkan hujan yang dihamburkan oleh awan mengena tampangnya, sedikit sebanyak membasuh air matanya. Tiada bintang, mahupun bulan. Jauh sekali burung untuk dia amati sebagai inspirasi.

Dia mendengus tawa, menyedari satu fakta.

Dia dan langit tiada beza.

Kedua-duanya menghamburkan titisan kemendungan, langit malam ini juga begitu kosong, seperti kehidupannya.

Sesudah dia puas mengamati langit, jemarinya bergerak pada lengan sendiri. Perlahan-lahan balutan yang membaluti lengannya diburaikan.

Sedikit tinggi tangannya diangkat, ingin memeriksa keadaan lengannya itu.

Sejurus dia membuka balutan itu, lengannya terus terasa menyengat. Bibirnya melepaskan desisan perlahan ketika merasai itu.

Lengannya kelihatan mengerikan. Darah masih baru, belahan terlampau dalam sehinggakan isinya sedikit terlihat. Bukannya satu, malah lima belahan teruk terdapat di permukaan lengannya.

Dia rebahkan semula lengannya di tanah. Biarkan rintik hujan menitik ke atas darah yang masih baru pada lengannya. Pedih... tapi dia sukakannya.

Dia suka mendera diri sendiri.

Biarlah... buat kali terakhir. Selama ini, dia didera oleh perasaan sendiri. Kali ini, biar dia mendera perasaannya semula.

Kesan dadah yang diambil tadi mula memainkan peranan. Kepalanya berpusing. Penghilahatannya kabur, matanya sekejap terbuka, kemudian lambat-lambat tertutup tetapi dia gagahkan juga untuk memandang langit.

Buat kali terakhir.

Di sini.

Dia menoleh ke kiri, memandang lengan kirinya. Darah bercampur dengan air hujan sejuk, membuatkan ia bertambah menyengat. Memang sakit, dia tak nafikan.

Tetapi tak sesakit apa yang dia hadap selama ini.

Dia mengukirkan senyuman pahit. Ini kali terakhir dia tersenyum, ini kali terakhir dia dapat melihat langit, dan ini juga kali terakhir dia bernafas.

Dia selalu ingin terbang. Dan sekarang... dia sudah mengecapi impiannya yang satu itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience