Bersama Arwah Nenek

Spiritual Completed 384

Saya dari kecil lagi memang bukan jenis anak manja. Dari umur saya 7 tahun, saya telah dibawa oleh arwah nenek saya ke hutan untuk mencari rezeki. Selalunya saya dengan arwah akan melakukan aktiviti menangkap ikan, memancing, mencari udang kecil di sungai dan macam – macam lagi.

Dari hasil usaha kami, saya dengan arwah nenek akan berjalan rumah ke rumah untuk berjual. Arwah nenek tak berkira keuntungan orangnya. Dulu nenek buat sukatan untuk jual udang kecil sungai pakai mangkuk sup saja. Tambahan harga yang dikenakan hanya RM1 saja semangkuk, memang orang kampung akan berebut – rebut nak beli.

Banyak penduduk kampung yang hampa sebab tak sempat nak beli jualan kami. Saya sejak kecil memang rapat sangat dengan arwah nenek. Masa arwah nenek masih hidup dulu. Saya pernah berjanji dengan beliau melancong ke Gua Niah bersamanya. Masa itu saya baru Darjah 5.

Tetapi apakan daya, nenek telah meninggal dunia pada tahun 2008. Masa tu saya menghadapi percubaan peperiksaan SPM. Walaupun nenek telah tiada, janji saya pada beliau masih saya ingat hingga kini. Bila dikenang, kecewalah juga sebab saya tidak dapat menunaikan janji dan saya reda bahawa Allah lebih menyayangi beliau. Moga beliau ditempatkan dikalangan orang – orang yang beriman. Amin!

Saya masih ingat lagi, semasa arwah nenek nazak, saya pegang tangan nenek tetapi nenek tepis tangan saya. Bukan saya seorang saja. Mak, adik dan semua orang arwah cakap jangan dekat. Arwah sudah tak mengenali kami. Hati saya sudah lain. Saya rasa, sayalah yang paling kuat menangis masa tu. Kesian.

Waktu malam saya menjaga nenek di hospital ketika nenek sedang tidur, saya perhatikan kaki nenek. Saya lihat setiap telunjuk kaki arwah nenek sedikit turun ke bawah. Saya juga masa itu hanya satu saja perasaan yang saya ada. Takut! Ya takut! Dalam hati saya memang menyatakan bahawa itu tanda nenek akan meninggalkan saya.

Masa itu, saya masih belum mengenali surah – surah ayat Al-Quran seperti saya sekarang ini. Mata saya melirik pula pada perubahan tangan kanan dan tangan kiri nenek. Daripada tangannya lurus di sisi badannya tetiba setiap jari - jemarinya bergerak sendiri membengkok seperti ada sesuatu yang menariknya. Saya berdoa di dalam hati. 'Janganlah Kau ambil nenek aku sekarang'.

Akan tetapi siapalah saya. Tuhan lebih menguasai makhluk ciptaan-Nya. Selang 1 jam kemudian, nenek mula nazak dan doktor memasang alat oksigen untuk membantu nenek bernafas. Beberapa minit kemudian, hanya beberapa minit selepas tengah malam, nenek telah menghembuskan nafas terakhirnya pada hari pertama di bulan puasa pada tahun 2008.

Akibat kehilangan arwah nenek, keputusan percubaan peperiksaan saya agak kurang memuaskan. Saya sebenarnya masih belum dapat menerima pemergian nenek. Saya telah kehilangan orang yang paling rapat dengan saya. Hanya sehelai baju arwah saja sebagai kenangan bagi saya sempat saya curi – curi ambik semasa ibu sedang mengemas barang nenek di hospital.

Sebulan sudah nenek meninggalkan kami sekeluarga, saya masih bengkak mata menagisi pemergian arwah. Saya sering duduk termenung mengigati arwah. Kenangan bersama bagaikan berputar semula. Pernah sekali saya di rumah pada waktu pagi sebelum saya ke sekolah, saya seolah – olah melihat kelibatan seseorang berwarna putih melimpasi cermin tingkap ruang tamu. Takutlah juga cuma bila saya bagi tahu ibu, dia cakap itu mungkin roh arwah yang masih berada di rumah ini.

Pada malam itu, saya bermimpi bersama arwah nenek. Saya dan arwah nenek sedang mencari udang di sungai seperti ketika beliau masih hidup. Ya. Tempat yang sama. Tempat kami berdua selalu mencari udang dan memancing. Arwah melayan saya sama saja seperti arwah masih hidup. Akibat terlalu gembira dapat bersama dengan arwah nenek, lengan saya telah tertoreh dengan dahan kayu yang tajam. Habis calar lengan kiri saya masa itu. Akibat terlalu pedih, saya pun terjaga dari tidur.

Saya termenung dengan keadaan saya duduk di atas tilam. Baru saya sedar saya mimpi rupanya. Dan saya mulai sedar nenek sudah lama meninggal. Saya ingatkan saya betul – betul dengan arwah. Saya menoleh ke lengan kiri saya. Terasa perit. Alangkah terkejutnya saya, kesan torehan kayu dalam mimpi betul – betul ada pada lengan saya. Kejadian itu, saya sembunyikan dari pengetahuan keluarga saya.

Saya memang selalu ke kawasan kebun arwah nenek. Bunga tahi ayam saya dan arwah tanam masih tumbuh dan mengeluarkan bunga di situ. Bila saya hendak balik ke rumah, dari kejauhan, saya melihat seperti ada bayangan putih di tingkap dan bau wangian bunga memang dah sebati dengan deria saya apabila saya berada di kawasan rumah. Sejak daripada kejadian pertama kali saya bermimpi dengan arwah nenek, setiap waktu lena saya memang selalu bermimpi bersama dengan arwah. Kami melakukan aktiviti yang telah kami lakukan bersama ketika beliau masih hidup.

Ada suatu ketika saya demam panas. Sehinggakan saya terpaksa dibawa ke klinik. Entah mengapa ahli keluarga saya terlalu risau. Bila demam saya berunsur pulih, saya telah diminta keluarga belah atuk untuk mandi air tanah perkuburan nenek. Hairan bukan tidak hairan tetapi saya masih takut nak bertanya.

Sejak daripada saya mandi air tanah itulah saya langsung tiada bermimpi akan arwah lagi. Lama – lama baru ibu bagi tahu kenapa keluarga belah atuk suruh mandi air campur tanah perkuburan nenek. Katanya nak pisahkan ikatan saya dan arwah nenek. Adalah juga ketika saya balik dari sekolah masa itu, kelibatan di tingkap jarang saya tengok tetapi bauan bunga masih tetap ada.

Ada suatu malam saya bermimpi akan arwah nenek buat kali keduanya. Arwah ada berpesan pada saya supaya menjaga diri dan keluarga. Arwah juga berpesan supaya jangan terlalu risau akan dirinya. Sempat lagi saya memandang sekeliling, rumah arwah agak sempit dan tiada tingkap. Dalam mimpi saya hanya berdiri kaku saja. Arwah seolah – olah menghalau saya. Saya terjaga.

Sejak dari itu saya tidak bermimpi bersama arwah nenek lagi. Kini, jika saya fikirkan semula keadaan rumah arwah dalam mimpi saya itu, nak tahu tak apa yang saya fikir?

Hah! Itulah kubur. Sebab apa saya fikir ianya kubur? Sebab dalam mimpi tu rumah tu tiada tingkap, putih saja. Pintu jangan dicarilah. Hahaha. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience