Bunyian Pelik

Spiritual Completed 414

Semasa umur saya 23 tahun lagi, saya telah menderita ketumbuhan pada bahagian belakang leher saya. Banyak kaedah perubatan telah ibu saya cuba untuk menyembuhkan saya. Tetapi penyakit saya makin bertambah parah. Akhir sekali saya berubat dengan abang angkat ibu yang mengamalkan perubatan islam berlesen.

Abang angkat ibu saya ini seorang muslim. Dialah salah seorang yang telah mencuba merawat penyakit saya. Pagi itu saya, ibu dan adik pergi ke premis perubatan islam abang angkat ibu. Kami panggil dia Pak Mat.

Pak Matl cakap saya ini kena perbuatan sihir. Dan si penyihir itu adalah orang terdekat dengan keluarga kami. Owh, ada betul juga cakap dukun dulu itu. Bukan kita nak percaya kata – kata dukun, tapi Pak Mat juga berkata begitu.

Setelah berubat dengan kaedah cara perubatan Islam, saya telah di ajar dan disuruh mengamalkan bacaan tiga Qul. Saya yakin kalian yang beragama islam lebih mahir apa itu 3 Qul. Bagi yang bukan beragama islam. 3 Qul ini ialah terdiri daripada surah Al- Fatihah, Al-Anas, Al-Falaq dan Al-Ikhlash.

Kali ini saya menulis bukan pasal mimpi ya. Ini realiti saya punya pengalaman sendiri. Malam itu saya tidur berasingan dengan ibu dan adik saya. Atuk, saya di khabarkan beliau kini hidup sebagai perantauan di Kuching, Sarawak. Ayah saya? Entahlah. Lama sudah tidak dengar berita.

Yang tinggal dalam rumah asal keluarga kami ialah kami bertiga sajalah. Saya, ibu dan adik saya. Malam itu saya mengambil keputusan untuk tidur di ruang tepi tangga ke dapur. Kalau waktu tengah hari, memang ruang dapur tepi tangga inilah port saya untuk tidur.

Saya ini bukanlah penakut sangat dan bukanlah berani sangat. Sedang – sedanglah. Sebelum tidur saya bacaan Bismilah macam biasa. Terkebil – kebil mata saya sehinggalah saya terlelap entah pukul berapa.

Saya terjaga apabila deria pendengaran saya terdengar sesuatu bunyi asing di kawasan luar rumah. Bunyi tersebut seolah – oleh seperti ada orang mengheret dahan kayu dan berjalan mengelilingi kawasan rumah. Perasaan takut mula lahir dalam diri saya. Saya baca tiga Qul seperti yang Pak Mat ajar.

Beberapa kali saya baca ayat – ayat tersebut, habis tiga Qul itu, saya ulang lagi. Apa yang berlaku adalah luar jangkaan saya. Bunyi heretan semakin kuat dan bagaikan orang yang mengheret itu berlari – lari. Ia terdengar semakin jelas. Saya memandang ke arah tingkap, tiada pula saya melihat sebarang bayangan manusia. Saya memang berfikiran negatif terus masa itu. Memang yang buat bunyi itu bukan manusia.

Saya tidak berani hendak membangunkan diri. Dalam keadaan saya baring itu, saya baca Bismillah lagi dan saya mula membaca tiga Qul semua. Banyak kali jugalah saya ulang baca seperti tadi. Akhirnya, bunyi orang heret dahan kayu tadi tiada lagi kedengaran.

Tetapi yang buat saya langkah seribu dan pindah tidur dengan ibu dan adik ialah tetiba bunyi orang melompat dari ruang tamu tanpa meniti tangga ke lantai dapur itulah yang buat saya tak tahan. Bertambah kuat saya nekad untuk pecut 100 meter malam tu ialah ada terasa sangat angin badan 'dia' itu bagai mengena pada saya.

Tetapi entah siapakah 'dia' tiada pula kelihatan dengan mata kasar saya. Siapakah yang tidak takut? Tambahan lagi keberanian saya ini hanya setipis kulit bawang saja.

'Bammm!!!' Bunyi bagaikan benda berat melompat. Rumah kampung, rumah kayu. Mahu tak dengar dengan jelas.

Sudahlah tempat 'dia' lompat itu betul – betul sebelah tempat saya tidur. Bila sampai di kamar dimana ibu dan adik, anehnya mereka berdua tidur dengan lenanya. Tiada selimut ataupun bantal, saya baringkan diri sahaja di sebelah ibu. Saya pejam rapat – rapat mata. Tidak mahu berfikir banyak lagi.

Terasa bahang rasa tubuh bagaikan ada sesuatu yang memerhati. Lama saya berada dalam keadaan pura – pura tidur sehingga akhirnya saya terlena juga. Pagi itu, ibu tanya kenapa saya tidur tanda selimut dan bantal, saya ceritakan apa yang saya alami malam tadi. Ibu hanya diam tidak respon apa – apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience