Nenek

Spiritual Completed 384

Saya hanya tinggal bersama ibu, adik bungsu dan nenek dari saya berumur 11 tahun. Ayah saya kadang – kadang balik dan kadang – kadang tidak ke rumah kami. Inilah tekanan yang saya maksudkan. Ayah telah berlaku curang dan berkahwin lagi tanpa pengetahuan keluarga. Paling tertekan ialah ibu saya pada masa itu. Ayah juga jarang mengirimkan belanja buat saya dan adik saya yang bongsu. Ibu terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.

Saya pernah pergi ke rumah keluarga baru ayah untuk meminta nafkah untuk saya dan adik. Tetapi ayah bagaikan tidak kenal anak sendiri. Malah saya diludah dan dihalau dari rumahnya. Masih lagi saya ingat, isteri baru ayah ketawakan saya masa tu. Malu, sedih, benci dan dendam. Semua perasaan itu bercampur gaul.

Hal ini berlaku hinggalah saya berusia 17 tahun, ayah tidak balik lagi dan meninggalkan kami bersama isteri mudanya. Nenek pula telah memeluk agama Islam kerana berkahwin dengan seorang lelaki muslim. Hanya saya, ibu dan adik saja masih mengekalkan dan mengamalkan adat lama nenek moyang kami iaitu masih percaya akan adat asal Iban.

Walaupun begitu atuk tiri saya banyak memberikan pendedahan dan mengajar saya dan adik dengan sedikit asas bahasa jawi dan hal – hal yang berkaitan agama Islam. Namun bagi saya pada masa itu, semua itu hanyalah satu pengetahuan dan ilmu yang dipelajari sahaja. Saya belum mempunyai rasa keinginan untuk mendalami tentang agama tersebut.

Baru saja keluarga saya mencapai sinar kebahagian, atuk pula yang buat masalah. Atuk mula mencurangi nenek dengan mempunyai hubungan sulit dengan sepupu sendiri. Nenek sangat kecewa sekali. Mula dari situ, atuk mula berubah dan meninggalkan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Atuk juga jarang solat. Seperti dirinya melupakan kewajipannya terhadap Ilahi.

Pernah sekali sepupu atuk dan ibunya datang ke rumah kami tanpa ada rasa bersalah. Nenek den ibu dengan hati yang terbuka mengalu – alukan sahaja kedatangan mereka tanpa berfikiran apa pun. Anggap saja mereka sebagai tetamu.

Kata sepupu atuk dan ibunya, niat datang kononnya mahu berbaik – baik dengan nenek sebab ketelanjuran dirinya dengan atuk selama ini. Nenek yang lagi pemurah dengan kemaafan itu pun maafkan sajalah si sepupu atuk tu.

Kebetulan, mereka datang tidak dengan tangan kosong. Sepupu atuk ada bawa banyak ikan terubuk masin dan mengajak nenek bersama – sama menjual ikan tersebut di sekitar kampung kami. Nenek setuju saja. Masa tu atuk kerja di Pulau Pinang hanya sesekali saja balik. Mak pula kerja di kilang. Nenek keberatan meninggalkan saya dan adik yang masih kecil tinggal bersama mak sepupu atuk di rumah bersendirian. Mungkin hati nenek berbelah bagi nak meninggalkan rumah. Bagaikan ada sesuatu yang akan terjadi.

"Alah pergi jelah. Akukan ada jaga budak – budak ini." Kata mak sepupu atuk. Nenek pun dengan langkah lemahnya mengikuti saja sepupu atuk tu berjual ikan terubuk masin. Masih saya ingat lagi masa itu, saya hanya duduk berdiam diri berhadapan dengan beliau masa itu. Lama berdiam, tetiba mak sepupu atuk yang saya panggil Nek Long itu mengajak saya memasak.

"Nanti nenek datang berjual mesti lapar." Inilah antara perbualannya yang saya ingatlah. Rasa curiga juga melihat Nek Long membawa sekali 'handbag'nya ke dapur. Jadi kami berdua pun mulai masak. Dari ekor mata, saya melihat Nek Long mengambil sesuatu dalam beg sandangnya. Botol kecil? Mulut saya ringan juga bertanya masa tu. Takkan tak bertanya kot? Perasaan ingin tahu terlalu kuat menguasai diri.

"Apa tu nek?" Lancar saja saya bertanya. Nek Long terkejut kerana saya prasan tindakan dia tadi. Lalu dia buat senyuman manis.

"Lada nie hah. Kalau tak ada lada tak nyaman lauknya." Saya lagi bertambah hairan. Lantas jari telunjuk saya menunjukkan rak kecil di belakangnya.

"Kat situ nenek dan mak ada beli banyak pelbagai spesis lada nek. Ada lada putih. Hah! Lada hitam pun ada dan tidak tinggal serbuk lada pun ada." Nek Long jelas sedikit kaget. Lama dia diam. Saya yang blur hanya memerhatikan dirinya sambil menutup api gas dapur. Tak pasal - pasal terlampau masak pula sayur kubis, memang tidak nyaman.

"Ini lada kesukaan Nek Long. Nek Long memang bawa ke mana – mana saja. Dahlah. Jangan banyak cakap." Saya masih hairan tapi anggukan saja. Bodohkan saya masa tu.

Kami berbual kosong hinggalah nenek saya sampai bersama dengan sepupu atuk. Tak habis jualan mereka. Kerana harga ikan itu bagi saya agak mahal. Tanpa berlengah, Nek Long terus mengajak kami menjamu selera. Tak sabar sungguh Nenek Long ajak makan. Alasannya nanti lauk sejuk. Kami pun menjamu selera tanpa bersangka apa – apa. Segalanya licin.

Malam itu saya di datangi mimpi yang tidak dapat diterima oleh akal. Dalam mimpi itu, saya bagaikan roh. Dari kejauhan saya terdengar sura tangisan. Bukan seorang, mungkin ada seorang dua begitu. Badan saya terasa ringan, senang saja melayang – layang bagai ada angin meniup saya.

Saya tiba di depan rumah kami. Betul – betul di halaman rumah kami sekeluarga. Saya dapat rasakan aura kesedihan di situ. Hairan juga saya tetapi tak tahu buat apa. Mak menangis tertahan – tahan di belakang antara orang ramai disitu. Lagi bertambah resah saya melihat, diri saya sambil mendukung adik juga turut menangis.

Atuk mengikuti membaca sesuatu yang saya tahu itu ialah buku Yassin. Ada juga orang lain tidak kira usia memakai songkok dan bertudung. Mereka juga bersama – sama atuk membaca Yassin. Sepupu – sepupuku dan ahli keluarga ku yang lain juga ada.

Nenek? Di mana nenek? Saya tidak melihat nenek berada di situ. Terasa ingin menoleh ke sekitar halaman rumah. Dari kejauhan, saya ada melihat sepupu atuk dan Nek Long berdiri tidak jauh dari pohon bunga raya yang ditanam oleh mak. Keadaan mereka berdua sukar difahamkan. Orang di sana menangis dan mereka tersenyum dan bagaikan bertaka sesuatu sesama mereka.

Saya menoleh lagi ke arah atuk, mak dan diri saya sendiri. Saya masuk ke dalam rumah. Kaki rasa bagaikan terapung. Saya bergerak lagi ke tepi kiri sikit supaya dapat melihat jelas, apa yang sedang berlaku sebenarnya. Di ruang tamu, ada sekujur tubuh dibalut dengan kain berwarna putih berbaring di situ. Siapakah yang terbaring kaku itu?

Alangkah terkejutnya saya, itu adalah NENEK! Nenek terbaring kaku dan telah dibalut kemas dengan kain kapan. Akibat sedih yang tersangat, saya terasa bahu saya ditepuk. Apabila saya buka mata, saya terpandang wajah nenek lalu saya peluk dia erat – eratnya.

Sebulan lebih selepas saya bermimpi nenek meninggal itu, nenek pun meninggal dunia kerana ketumbuhan sebesar biji telur ayam tumbuh menanah di lehernya. Hampir setahun nenek menderita akibat ketumbuhan itu. ketumbuhan itu mula – mulanya sekecil biji guli dan membesar sebiji telur ayam. Bila sudah besar sebiji ayam dan biji itu pecah sendiri. Ia mengeluarkan bau yang busuk dan nenek meninggal kerana itu. Doktor kata kanser tetapi tidak bagi saya. Dari situ saya bagai mula mempercayai MIMPI ITU NYATA ...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience