Kaulah Segalanya - Bab 1

Romance Series 26496

Bayu lembut yang berpuput petang itu begitu mendamaikan. Beberapa buah sampan kecil kelihatan teroleng-oleng dilambung ombak yang tenang menghempas pantai. Firdaus leka melayan perasaan sambil tangannya melukis-lukis sesuatu di atas pasir pantai yang memutih. Dia mahu kosongkan fikirannya. Dia mahu lari dari segala kekusutan perasaan yang dialami. Dia mahu kembali seperti dahulu, tenang, bahagia, dan selalu gembira. Bukan seperti ini, selalu menyendiri, mengelamun, dan susah hati. Perlahan-lahan dia melepaskan keluhan. Bayangan seorang perempuan yang paling disayanginya selepas ibunya menjelma lagi dalam fikiran. Firdaus membentak. Dia lari ke sini kerana mahu melupakan semuanya, namun, mengapa harus dia terus mengingatkan lagi semua kepedihan itu.

“Sudah-sudahlah tu Fid. Sampai bila kau ni asyik nak macam ni. Hari-hari kalau tak ada kerja, mengelamun, mengelamun, mengelamun. Apa faedahnya kalau terus macam ni. Sekarang kita kat sini pun kau nak monyok-monyok macam ni jugak?” sergahan Amir dari belakang mengejutkannya dan membawanya ke alam realiti. Firdaus mengeluh.

“Dah hampir setahun Aina pergi. Kau masih macam ni. Kalau Aina masih ada lagi pun tentu dia takkan suka tengok kau selalu macam ni. Tu, kau tak kesian dengan Firdaus junior kau tu? Si Alif tu, masih kecil dan perlukan perhatian kau Fid.” Amir menyambung khutbahnya. Firdaus memandangnya. Kemudian matanya memandang ke arah seorang kanak-kanak kecil yang sedang leka bermain dengan kulit siput tidak jauh darinya. Si kecilnya itu baru berusia setahun 10 bulan. Masih terlalu kecil. Baru dia tersedar, dia tidak boleh berterusan mengikut perasaan sehingga mengabaikan kehadiran Alif Firdaus dalam hidupnya. Si kecil itu adalah lambang cintanya dengan Aina. Satu-satunya pemberian yang ditinggalkan oleh Aina sebelum kekasih hatinya itu pergi menghadap Kekasih yang abadi. Firdaus memerhati Alif yang bermain tidak jauh darinya. Kanak-kanak itu lincah, sudah cekap berjalan. Namun masih belum boleh berkata-kata. Menurut ibu, kanak-kanak memang begitu. Jika cepat dia dapat ‘kaki’, lambatlah dia dapat ‘mulut’. Firdaus tersenyum melihat anak comel itu leka bermain sehingga air liurnya keluar memenuhi sekitar bibir yang kecil.

“Kalau tak nak fikirkan kebaikan kau pun, fikirkan kebaikan Alif. Aku tau kau sedih, masih tak boleh lupakan Aina, aku tau kisah kau dan Aina macam mana. Aku tau betapa dalam kasih korang berdua. Dan aku tak mintak kau lupakan Aina, cuma berpada-padalah. Hidup perlu diteruskan. Sudah hampir setahun, Fid.”

Firdaus tersenyum kecil. Benar kata sahabatnya. Dia harus berusaha mengatasi kesedihannya. Memang telah hampir setahun dia kehilangan Aina dan dia sedar semua itu kehendak ALLAH. Dia redha namun sesekali dia tidak dapat lari daripada mengingati kisahnya bersama Aina. Terasa begitu payah mahu menghindari bayangan Aina. Dia menepuk bahu Amir.

“Thanks.. Aku tengah mencuba. Cuma sesekali aku sukar nak halang dari terlalu mengingati dia..”

“Aku faham.. kau cubalah perlahan-lahan. Dan sekarang ni, kau ajak aku bercuti kat sini bukan sebab nak suruh aku jadi motivator kau kan?” ujar Amir dalm gurauan. Firdaus senyum.

“Ok.. kita ke sini sebab aku nak habiskan masa, nak tenangkan fikiran,sorry..” jawab Firdaus laju menyebabkan mereka sama-sama ketawa. Alif yang berada hanya beberapa langkah di hadapan mereka terus leka bermain. Ada seorang perempuan yang lalu tidak jauh dari tempat mereka duduk. Namun keduanya hanya memerhati sekilas pandang. Seorang gadis kampung yang manis bertudung, mengenakan skirt labuh biru dipadankan dengan baju T putih lengan panjang. Tangan kanannya memimpin seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 9 tahun. Mereka leka bermain ombak berhampiran Alif. Firdaus yang mula leka berbual dengan Amir tidak menyedari Alif yang sedang bermain dengan sejenis kulit siput yang agak tajam. Gadis itu yang terpandang kulit siput yang berada di tangan Alif segera mendekati. Perlahan, kulit siput ditangan Alif diambil, penuh berhati-hati. Alif hanya memandang. Tidak pula menangis atau menghalang. Maisara yang memandang anak mata si kecil yang sedang memandangnya itu lantas jatuh hati dengan kecomelan Alif. Dia rasa teruja. Memang dia selalu begitu bila bersama kanak-kanak. Dia sukakan anak kecil. Baginya,kanak-kanak itu suci, dan comel. Maisara mengagah-agah Alif dan si kecil montel itu tersenyum. Anak matanya masih memandang Maisara. Maisara terkejut memandang segaris luka pada jari tengah Alif. Pasti kerana kulit siput tadi, tetapi tidak pula budak ni menangis, getus hatinya. Namun jari kecil itu dicapainya juga lantas dibelek. Memang ada luka kecil. Namun, jika terkena air laut, tentu saja menyakitkan. Maisara memandang sekeliling. Dia terpandang ke arah Firdaus dan Amir yang masih leka berbual. Tanpa silu, Maisara melabuhkan punggung di sisi Alif dan meribanya. Jari anak kecil itu dibelek. Alif sedikit berkerut dahinya tatkala Maisara menyentuh jari itu. Dari situ Maisara tahu anak kecil itu merasa sakit. Amir yang terpandang situasi itu mencuit lengan Firdaus. Pandangan mereka terarah kepada objek yang sama. Hati Firdaus terpegun. Dia bangun merapati Alif.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience