Kaulah Segalanya - Bab 7

Romance Series 26498

Maisara tersenyum mengenang kisah 2 tahun lepas. Kisah cintanya dengan Firdaus memang akan selalu berada dalam ingatannya. Kisah cintanya yang tercipta ketika dia masih lagi bergelar seorang pelajar. Sekarang, dia sudah hampir sebulan memegang gelaran isteri Firdaus. Sebaik sahaja dia menamatkan semester terakirnya, majlis pertunangan dan perkahwinan dijalankan serentak. Dan sebulan sahaja lagi, majlis konvokesyennya akan berlangsung. Dia sungguh bahagia dengan semua yang dikurniakan Ilahi. Suami yang baik, anak yang secomel Alif, dan kejayaannya yang selama ini diidamkan untuk dirinya, emak dan ayah serta adik-adik.

“Mam..ma..” suara halus Alif menerjah pendengarannya. Firdaus dan Alif sudah pulang dari pasaraya membelikan beberapa bahan membuat kek yang masih belum cukup. Hari ini hari ulang tahun Alif yang ke empat dan beberapa tetamu telah dijemput untuk meraikannya termasuklah Amir dan bakal isterinya, Dr Wadira. Siapa sangka rupanya Dr. Warida itu adalah junior Firdaus dan sebenarnya wanita itu adalah pelajar Amir yang merupakan tenaga pengajar di HUKM.

Maisara pantas mencium pipi comel Alif dan anak kecil itu ketawa. Firdaus mempamerkan wajah masam. Maisara tersenyum. Dia tahu, Firdaus selalu cemburu dengan Alif.

“Sayang abang juga..” lantas pipi suaminya dicium mesra. Firdaus tersenyum kecil.

“Lain kali, bagi kat abang dulu tau sebelum Alif. Tak adil Alif je yang dapat dulu.” Jawab Firdaus sambil mengucup dahi Maisara. Maisara senyum. Manis.

“Dengan anak pun nak jeles.. teruk lah papa ni sayang.. dengan Alif pun nak jeles.. Dulu jeles dengan Bakri, tak apa lah, memang patut, ni dengan Alif pun nak jeles..kan sayang?” Maisara ketawa kecil sambil mengambil Alif dari dukungan Firdaus. Firdaus mencebik. Pandangannya tumpah pada Maisara. Mesra, penuh kasih sayang.

“Macam mana papa tak jeles. Alif selalu dapat mama. Siang mama dah peluk Alif, malam pulak, bila mama peluk papa pun Alif nak mengganggu jugak..” jawab Firdaus selamba membuatkan Maisara spontan mencubit lengannya yang putih. Ketawa mereka pecah berderai bersama-sama. Firdaus memaut Maisara agar rapat kepadanya. Bahu isterinya dipegang kemas dan anak matanya memandang tepat pada anak mata Maisara.

“Mana Sara tahu abang pernah cemburu dengan Bakri?” soalnya perlahan. Maisara senyum.

“Tau la.. walaupun abang tak bagitahu masa tu, tapi tengok muka abang pun Sara tahu.. betul kan?” Maisara mengelus kening Firdaus. Firdaus mengangguk. Maisara ketawa kecil.

“Dia memang cintakan Sara tapi Sara tolak sebab Sara hanya anggap dia kawan. Petang itu Sara tolak lamaran dia, and malam itu pulak abang call Sara pertama kali. Tahu tak, Nabila pernah mengeluh, siapalah lelaki yang memegang kunci hati Sara.. hmm.. rupanya abang.. dan sampai sekarang, cinta Sara hanya untuk abang.. Cinta pertama Sara.” Luah Maisara tenang. Matanya tepat memandang Firdaus yang terpegun.

“Terima kasih sayang, kerana berikan kebahagiaan ini untuk abang dan Alif. Abang hargainya, dan abang nak Sara tau, walaupun Sara bukan yang pertama, tapi abang sayang sangat-sangat pada Sara. Abang perlukan Sara sangat-sangat, untuk abang, dan untuk besarkan Alif. Pemergian Aina memang menyakitkan, abang terpaksa berusaha keras untuk mengatasi rasa sakit itu sehinggalah Sara datang.. Lama abang berfikir, dan akhirnya abang tak mampu menolak lagi. Biarlah Sara yang menjadi penawar pada luka abang yang dulu..” Ucap Firdaus menyentuh hati Maisara. Perlahan, dia mengangguk. Firdaus tersenyum. Renungannya penuh makna yang tersirat. Sarat dengan kasih sayang yang tidak terungkap dengan kata-kata. Renungannya lembut menikam wajah Maisara. Kasih Maisara telah membuatnya lupa pada kepedihan yang lalu. Kelembutan kasih Maisara membawanya kembali ke dunia yang penuh dengan nikmat kebahagiaan. Dia berdoa, moga selamanya dia akan dapat merasai semua itu bersama Maisara, dan Alif Firdaus, permata hatinya,.. dan mungkin selepas ini, bersama adik-adik Alif yang mungkin akan menyusul.. InsyaAllah..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience