Kaulah Segalanya - Bab 3

Romance Series 26496

Maisara menanti adiknya di hadapan restoran di kawasan chalet itu. Memang pemilik restoran itu selalu menempah nasi lemak daripada emaknya sejak beberapa tahun lalu. Rezeki dari Tuhan, siapa yang boleh menduga. Masih teringat betapa gembira emaknya bila pemilik restoran yang memang mengenali emak sejak lama dahulu meminta emak membuat nasi lemak untuk diletak di restorannya. Lama benar adiknya itu, entah apa yang dibuat dalam restoran itu begitu lama. Jam sudah pukul 7 pagi, beberapa orang yang menyewa chalet telah memenuhi restoran untuk bersarapan. Maisara melangkah masuk ke dalam restoran. Mata Maisara tertancap pada seorang lelaki tua berbangsa Cina sedang terkial-kial mencedok lauk yang dihidang secara buffet. Maisara dapat melihat lelaki tua itu sedang mencuba mencapai sepotong daging bakar dan sosej untuk dimakan bersama dengan nasi goreng yang telah ada dalam pinggannya. Langkahnya terhenti di sebelah lelaki tua itu. Tidak jadi untuk ke ruang kaunter tempat adiknya sedang bercakap dengan pemilik restoran. Maisara mendekati lelaki tua itu. Baru dia perasan, tangan kanan lelaki itu berbalut kain anduh. Patutlah nampak terkial-kial mahu mencapai lauk.

“Morning, uncle..” ucap Maisara lembut mengejutkan lelaki tua itu. Dia tersenyum. Menunjuk ke arah pinggan yang dipegang oleh lelaki itu. Lelaki tua itu kelihatan teragak-agak namun melihat anggukan Maisara, dia menghulurkan juga pinggannya. Maisara lantas meletakkan sepotong daging bakar yang dihiris kecil dan sosej ke dalam pinggan lelaki itu. Dia lantas memegang sedikit hujung lengan kemeja yang dipakai oleh lelaki tua itu ke salah satu meja. Dia berpuas hati setelah dapat menolong orang tua itu. Memang hatinya cepat tersentuh apabila melihat orang tua dan golongan yang kurang upaya. Pernah air matanya menitis tatkala melihat pak cik pengayuh beca begitu bersusah payah mengayuh beca yang dinaiki seorang penumpang dalam keadaan jalan yang penuh sesak. Pernah air matanya hampir menitis melihat seorang pelajar di universitinya yang cacat penglihatan mahu melintas jalan seorang diri tanpa ada sesiapa yang membantu.

“Thank you. May God always bless you, girl.” Ucap lelaki tua itu. Maisara tersenyum dan mengangguk sahaja. Dia mahu melangkah keluar restoran setelah mendapati adiknya telah menanti di sisi motorsikal.

“Siapa nama u?” soal lelaki tua itu. Maisara tidak jadi melangkah.

“Maisara.” Jawabnya lembut. Lelaki cina itu mengangguk.

Dia hanya memerhati langkah Maisara yang menuju ke arah adiknya. Hmm.. Anak siapakah ini? Baik budi, sanggup menolongnya walaupun mereka berlainan bangsa. Lembut. Tanpa sedar, bukan hanya lelaki Cina yang leka memerhati Maisara. Terdapat dua pasang mata lagi yang sedang merenungnya sejak dar tadi. Hati Firdaus terpaut melihat keikhlasan gadis itu membantu lelaki cina itu. Hatinya tersentuh melihat betapa tingginya budi pekerti gadis kampung itu. Wajahnya sederhana, namun pekertinya terlalu cantik. Amir juga sedang membuat penilaian yang sama. Mereka melihat sehingga kelibat Maisara dan adiknya hilang dari pandangan.

“Apasal kau senyum sorang-sorang?” soal Firdaus kepada Amir. Amir tersipu. Dia menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya. Kalau tidak silap, nasi lemak itu dibawa oleh adik gadis yang bernama Maisara itu. Memang sedap.

“Tak ada apa-apa. Saja nak senyum, senaman mulut.” Jawab Amir. Yang pasti dia tidak mahu mengaku yang dia mula berkenan dengan perwatakan gadis itu. Benarlah kata orang, kecantikan wajah itu tidak penting berbanding kecantikan budi pekerti. Firdaus menyuapkan anaknya kuih lapis yang sudah tinggal separuh dimakan oleh Alif. Matanya sempat mencuri pandang ke arah jalan walaupun Maisara telah hilang dari pandangan. Maisara.. hmm, nama yang cantik. Maisara. Entah kenapa hatinya kerap menyebut-nyebut nama itu.

*****

Amir memandu kereta Firdaus dengan penuh hati-hati. Mereka mengelilingi sekitar kampung itu. Entah kenapa mereka boleh sampai ke sini. Yang pasti, Firdaus sendiri tidak tahu kenapa dia memutuskan untuk datang bercuti di tempat ini. Pantai yang agak menarik. Kampung yang mendamaikan, memiliki banyak kawasan pantai yang bersih, dan cantik. Seingatnya, hanya sekali dia pernah sampai ke sini, iaitu semasa majlis perkahwinan sepupunya tiga tahun lepas.

“Fid, aku rasa kau memang patut cari seorang bidadari dari kampung inilah buat peneman hidup kau. Tak lah sunyi sangat nanti, boleh juga si Alif ni menumpang kasih. Aku tengok, kat kampung ni macam ada ramai perempuan yang baik-baik aje..” Amir membuka bicara ketika kereta berhenti di suatu persimpangan jalan. Firdaus tergelak. Belum terfikir langsung!

“Kau la yang patut kahwin Mir. Sekurang-kurangnya aku dah pernah rasa, kau tu yang sampai sekarang belum merasa alam perkahwinan tu camne.. umur dah masuk 30.” Jawab Firdaus membuatkan Amir tersengih. Bukan tak mahu kahwin, cuma belum sampai seru. Dia membelokkan kereta masuk ke persimpangan jalan. Malang tidak berbau, dia hampir sahaja melanggar Maisara yang menunggang motorsikal gara-gara mahu mengelak seorang kanak-kanak kecil yang berbasikal di tengah jalan. Walaupun tidak melanggar, namun Maisara telah pun terjatuh dari motorsikalnya kerana hilang kawalan. Terkejut beruk mereka berdua apabila menyedari keadaan yang berlaku dan Amir lantas memberhentikan keretanya. Amir turun mendapatkan Maisara yang menggosok-gosok sikunya yang sedikit luka.

“Cik, tak apa-apa?” soal Amir cemas dan dia terkesima. Kenapalah asyik bertemu gadis ini sahaja? Firdaus yang melihat dari dalam kereta sambil meriba anaknya turut keluar. Bimbang jika terjadi sesuatu yang buruk dengan Maisara. Alif diam dalam dukungannya. Tatkala Alif melihat Maisara, dia bergerak-gerak. Matanya memandang Maisara. Tidak berkelip. Maisara yang perasan akan Alif mencuba untuk bangun. Lagipun, dia tidak mengalami luka melainkan di siku. Kakinya juga tidak cedera. Motorsikalnya pun dalam keadaan baik kerana jatuh di atas rumput.

“Saya ok. Hai, cute..” sapanya pada Alif sambil mencubit lembut pipi kanak-kanak itu yang mula menghulur tangan kepadanya. Alif cam dirinya ke? Maisara tersenyum manis pada Alif, tidak sedar perlakuannya diperhatikan oleh sepasang mata milik Firdaus.

“Betul ke ni ok? Saya mintak maaf lah sebab kecuaian saya.” Amir masih tidak sedap hati namun melihat anggukan dan senyuman Maisara, dia lega.

“Saya hantarkan cik…”

“Maisara.. panggil aje Sara.” Jawab Maisara. Amir mengangguk. Memang dia sudah lama tau nama itu sebenarnya.

“Saya Amir.. ni Firdaus.. kitorang bercuti kat sini..” Amir berkata mesra. Maisara mengangguk.

“Saya mintak diri dululah..” Maisara ingin memulakan langkah namun terasa langkahnya tersekat. Kenapa tiba-tiba kaki kanannya terasa sakit? Patah ke? Tak mungkin! Terseliuh? Hish.. jatuh sikit je tadi. Dia mencuba melangkah namun Firdaus yang perasan kerutan di dahi Maisara mengandaikan sesuatu.

“Kaki awak mungkin terseliuh.. let me..” dia terus memberikan Alif kepada Amir dan dia duduk dengan kedua belah lututnya berada di atas rumput di tepi jalan itu.

“Boleh awak duduk kejap? Saya nak tengok kaki awak..” soal Firdaus perlahan membuatkan Maisara agak terkejut. Haisy.. malunya.. Namun, dia tidak mahu terus menanggung sakit, jadi perlahan-lahan dia duduk dan menghulurkan kakinya ke arah Firdaus. Firdaus mengangkat sedikit track bottom yang dipakai Maisara dan menyentuh buku lalinya. Hmm.. memang terseliuh. Dia terus mengurut sedikit kawasan terseliuh itu dan membetulkan kembali kedudukan urat kaki yang terseliuh. Maisara mengerutkan dahi kesakitan semasa Firdaus menarik sedikit kakinya.. Adoiii…. Nasib baik lah orang yang sedang berada di hadapannya ini handsome, sekurang-kurangnya dia boleh mengalihkan perhatian otaknya yang mentafsirkan rasa sakit itu kepada rasa kagum dengan ketampanan wajah itu.. Hihihihi…

“Terima kasih..” ujarnya tatkala Firdaus melepaskan kakinya dan memintanya berdiri. Dah tak sakit dah. Dia mahu mendekati motorsikalnya namun ditegah Amir.

“Kami hantar Sara sampai ke rumahlah. Bimbang kalau ada apa-apa yang terjadi. Lagipun, kami perlu berjumpa keluarga Sara, saya yang silap tadi.” Ujar Amir, dan Firdaus mengangguk. Maisara menggeleng. Dia sudah baik. Tidak ada yang patah riuk. Boleh balik sendiri. Namun, melihat kesungguhan Amir, dia mengalah dan masuk ke dalam kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience