Kaulah Segalanya - Bab 6

Romance Series 26498

“Alhamdulillah, selamat pun sampai.” Mak Sidah begitu gembira menyambut mereka. Pak Hasim yang baru pulang dari solat Maghrib di masjid juga tersenyum manis sambil menyalami Firdaus. Hairan juga hatinya mengenangkan apa sebenarnya hubungan lelaki ini dengan anaknya sehingga mahu pula menghantarkan anaknya pulang. Tetamu dijemput naik, dan memandangkan hari sudah malam, Firdaus disuruh bermalam di rumahnya sahaja, tidak membenarkan Firdaus menyewa mana-mana chalet. Memang Pak Hasim memuliakan setiap tetamu. Tetamu itu hadir membawa berkat bersamanya.

Maisara terpesona melihat ketampanan Firdaus walaupun hanya berkain pelekat milik Pak Hasim dan berbaju T yang memang ada dalam keretanya. Memang memikat. Dia senyum kecil namun hatinya masih tidak senang mengingatkan lamaran Firdaus yang masih tergantung. Selesai makan malam, mereka bersantai di beranda rumah. Angin malam begitu mendamaikan. Maisara tidak lama berada di situ kerana menghilang ke dapur bersama emaknya setelah menghantar seteko kopi panas ke beranda. Dia perasan pandangan tajam mata milik Firdaus yang tertuju ke arahnya. Firdaus senang melihat perwatakan gadis itu. Manisnya tetap terserlah. Seksi juga walau hanya berpakaian kain batik merah jambu dan baju T lengan panjang dipadankan dengan tudung merah jambu itu.

“Pak cik, saya ada hajat untuk sampaikan kepada pak cik. Harap pak cik sudi mendengar, dan menerimanya.” Firdaus menyusun kata. Dia harus nekad dan bertindak cepat. Hanya ini sahaja cara dan masanya dia mahu mengetahui perasaan dan mendapatkan jawapan yang sebenar daripada Maisara. Dia sudah tidak sanggup sering memendam rasa dan berperang dengan perasaan sendiri. dia tidak boleh lagi main-main dan berteka teki dengan perasaan sendiri. Dia perlu meluahkan. Tapi bimbang penerimaan Pak Hasim. Namun kata orang, belum cuba belum tahu, bukan..? Dia memandang wajah Pak Hasim. Pak Hasim teliti mahu mendengar.

“Saya sukakan Sara. Kalau pak cik izinkan, saya mahukan dia sebagai peneman hidup saya dan ibu kepada Alif..” dengan penuh keyakinan dia meluahkan. Pak Hasim terdiam. Mak Sidah yang baru keluar dari dapur dan melabuhkan punggungnya di sisi Pak Hasim juga diam. Mereka saling berpandangan.

“Pak cik tak ada halangan. Kami tak kisah untuk mengizinkan, tetapi ada baiknya kalau kita minta pendapat Sara, kerana dia yang akan hidup dengan kamu.” Jawab Pak Hasim sambil menepuk bahu bakal menantunya. Dia memang tidak kisah menerima Firdaus sebagai menantu. Dia yakin lelaki itu mungkin yang terbaik untuk anaknya. Dia yakin juga dengan ketetapan dari ALLAH.

“Pak cik dan mak cik tidak kisah dengan status saya..?” soal Firdaus jujur. Pak Hasim tersenyum.

“Kita semua sama aje. Pak cik tak pandang semua itu sebagai halangan. Yang penting, Maisara boleh menerima dan bahagia, yang penting juga, kamu mampu menjadi seorang pemimpin yang baik. Itu sudah cukup.” Jawab Pak Hasim dan Mak Sidah hanya mengangguk. Mak Sidah memanggil Maisara. Maisara keluar dan bersimpuh di sisinya. Dia dapat meneka apa yang sedang terjadi. Apalagi semua mata sedang memandang ke arahnya.

“Abang dah mintak izin dengan ayah dan emak awak, Cik Sara. Sekarang, giliran awak untuk menjawab soalan saya tadi. Susah sangat ke?” dalam gurauan, terselit tegasnya pada kata-kata Firdaus. Pak Hasim mula mengerti bahawa sebelum ini Firdaus sudahpun melamar anaknya secara tidak rasmi. Pak Hasim menanti jawapan anaknya. Mak Sidah juga. Dia berharap anaknya akan menerima. Firdaus tiada cacat celanya di mata tuanya. Maisara memandang ayah dan emaknya silih berganti. Dan kemudian Firdaus.

“Abang pun belum jawab soalan Sara tadi. Soalan itu akan ada kaitannya pada jawapan Sara terhadap soalan abang nanti..” tegas Maisara. Selama ini dia tidak mengerti akan perasaan Firdaus yang sebenar-benarnya. Firdaus diam. Lama dia merenung Maisara.

“Sara tak boleh nak agak perasaan abang selama ini? Dengan layanan abang pada Sara, Sara tak boleh nak teka apa perasaan abang di sebalik semua itu?” lembut Firdaus bertanya membuat Maisara terkedu.

“Ok lah. Kalau Sara tanya abang, abang mahukan Sara untuk abang atau semata-mata untuk Alif, jawapan abang, tentunya untuk kami berdua. Bukan kerana Alif semata-mata, tetapi kerana abang perlukan seorang isteri dan orang itu adalah Sara. Sekarang, Sara yang kena jawab soalan abang tadi.” Mak oi., terasa wajah Maisara merona merah mendengar jawapan Firdaus. Apatah lagi ayah dan emaknya sudah tersenyum-senyum. Firdaus bagaikan tidak kekok langsung berbicara begitu walaupun di hadapan ayah dan emaknya. Maisara tersipu. Terdiam. Kehilangan kata-kata. Tambahan pula dia segan dipandang oleh tiga pasang mata itu.

“Diam itu kalau ikut orang tua-tua, tandanya setuju.” Celah Mak Sidah. Dia mencapai tangan anaknya dan memerhati penuh kasih sayang. Maisara mengangguk perlahan. Andai benar Firdaus mahukannya kerana perlukannya sebagai isteri, bukan semata-mata untuk Alif, tiada alasan lagi untuk dia menolak kerana sememangnya di hati itu telah terpahat nama Afid Firdaus sejak sekian lama..

“Alhamdulillah kalau Sara terima. Tapi sebelum tu, abang nak tau, Sara tak kisah dengan status abang? Sara tak kisah kalau orang mengata Sara kahwin dengan abang?” soal Firdaus lembut namun penuh dengan perasaan ingin tahu. Dia sekadar ingin menguji. Maisara memandang emaknya. Ada keyakinan di situ. Dia menggeleng.

“Apa yang Sara nak bimbangkan kalau restu mak dan ayah dah bersama-sama Sara. Sara ikhlas terima kalau abang juga ikhlas menyayangi Sara.” Jawab Maisara, matang. Firdaus mengeluh lega.

“Betul ke Sara sayang abang juga macam abang sayang Sara?” soal Firdaus lagi. Maisara membulatkan mata. Tidak tahu malu betul lelaki ini. Boleh pula bertanya begitu di hadapan keluarganya. Pak Hasim tersengih. Dia tahu Firdaus ihklas. Dan lelaki ini seorang yang matang.

“Pak cik harap kalau Firdaus betul mahukan dia, jagalah dia baik-baik. Dia masih terlalu muda, kadang-kadang mungkin ada tingkah lakunya yang kurang matang. Jaga diri masing-masing, jaga adat dan agama.” Celah Pak Hasim dan Firdaus mengangguk.

“Kalau semuanya dah selesai, senanglah hati saya pak cik. Saya dah lama fikir dan sekarang memang saya yakin dengan apa yang saya rasa.” Luah Firdaus sambil tersenyum manis memandang wajah kemalu-maluan Maisara. Tidak sabar mahu memiliki gadis ini. Tidak di sangka dahulu dia langsung tidak nampak apa-apa kelebihan pada diri Maisara, namun sekarang dia mampu jatuh cinta dengan gadis ini. Semuanya kerana Alif. Alif ‘membuka’ matanya untuk melihat kelebihan yang ada pada gadis ini. Layanan Maisara pada Alif satu-satunya anak yang dia ada, telah menyedarkannya, gadis ini adalah yang terbaik untuknya dan Alif.

“Abang, abang betul-betul yakin? Abang tau kan, pipit tak akan mampu terbang bersama enggang.” Maisara bermain kata. Persoalan yang telah lama bermain di fikirannya terluah juga. Pak Hasim dan Mak Sidah hanya memerhati. Anaknya makin matang tentang kehidupan. Mereka tidak sabar menunggu jawapan Firdaus.

“Ye?? Kalau macam tu, biarlah pipit tu tumpang sayap enggang..dan enggang tu akan bawa dia terbang dan melindunginya.. Sekarang terpulang pada pipit itu, sama ada mahu atau tidak bergantung pada sayap enggang itu..” jawab Firdaus. Maisara diam. Pak Hasim dan Mak Sidah lega. Tersenyum mendengar jawapan bernas Firdaus.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience