Kaulah Segalanya - Bab 5

Romance Series 26496

Hubungan mereka terjalin agak baik. Firdaus sering juga menghubungi Maisara di kampus, malah pernah datang menjemputnya ke rumah semasa dia mengadakan sambutan hari ulang tahun kelahiran Alif yang kedua. Kadang-kadang beberapa kali lelaki itu datang membawanya keluar makan ditemani Nabila, dan selalunya Firdaus akan membawakan barang-barang keperluan kepadanya setiap kali datang. Maisara merasakan dia selesa bertemankan Firdaus. Mungkin kerana lelaki itu jauh lebih berusia daripadanya membuatkan tingkahnya matang dan lebih memahami. Maisara senang bersama-sama Firdaus, walaupun hubungan mereka banyak berlangsung setakat berbual-bual di talian. Lelaki ini sering memberi kata-kata semangat kepadanya, malah kadang-kadang langsung tidak lokek menghulurkan wang ringgit kepada Maisara walaupun dilarang. Maisara memang bersyukur berpeluang mengenali lelaki ini. Namun dia bimbang dengan keadaan hatinya. Hatinya kadang-kadang goyah dan tidak menentu apabila memikirkan Firdaus. Sudah jatuh cintakah dia pada lelaki itu? Haish..apa kata emaknya nanti jika tahu dia mencintai seorang duda beranak satu? Muda-muda lagi sudah mempunyai anak segera.. Tapi tidak salah kan? Asalkan perhubungan itu halal, kenapa perlu dipertikaikan? Bisik hatinya. Namun dia tetap bimbang jika hanya dirinya yang terperangkap dalam perasaan ini sedangkan Firdaus tidak. Masakan lelaki yang pernah mencintai seseorang wanita yang begitu istimewa dalam hidupnya begitu senang untuk jatuh cinta lagi? Pada gadis mentah sepertinya pula? Maisara cuba kembali ke alam nyata. Tidak mahu terbang terlalu tinggi. Apatah lagi menyedari hakikat hidupnya sebagai anak kampung yang serba kekurangan. Masakan pipit boleh terbang bersama enggang!

Lagi pula Firdaus tidak pernah mempamerkan perasaannya secara jelas. Dia juga tidak tahu apa sebenarnya status lelaki itu. Maisara kadang-kadang sangat keliru. Dia teringat peristiwa di PWTC sebulan yang lalu. Ketika itu pameran buku sedang berlangsung. Dia dan Nabila bersama-sama Bakri dan Kamal serta Ismadi turut mengunjungi pameran itu. Di sana mereka terserempak dengan Firdaus, bersama-sama seorang wanita lingkungan pertengahan 20-an. Cukup bergaya dan cantik sekali. Mereka dilihat sedang leka memilih buku-buku ilmiah di salah satu gerai. Maisara yang mahu mengelak daripada dilihat Firdaus terpaksa menapak juga ke arah lelaki itu bila Firdaus terlebih dahulu melihatnya.

“Sara.. tak sangka jumpa kat sini. Semua ni kawan-kawan Sara ke?” soal Firdaus ramah. Maisara sekadar mengangguk. Moodnya mahu bergembira hilang melihat Firdaus bersama perempuan itu. Entah kenapa hatinya sakit.

“Kenalkan, ini kawan sekerja abang, Dr. Wadira.” Perempuan di sebelah Firdaus tersenyum manis. Tatkala Maisara mahu melangkah pergi, Firdaus sempat menarik tangannya. Dia perasan wajah keruh Maisara. Namun hatinya tidak berani menduga sebabnya. Mana mungkin gadis semuda Maisara mahu menyimpan perasaan kepadanya dan cemburu melihatnya bersama orang lain.

“Nak pergi mana lepas ni?” soal Firdaus perlahan. Dr. Wadira memerhati dari jauh. Maisara rasa tidak selesa.

“Balik lah. Lagipun datang dengan diorang semua. Bakri ajak pergi makan dulu sebelum balik. Kenapa?” Maisara menjawab jujur. Sengaja ditekankan nama Bakri. Firdaus mengeluh perlahan. Pegangan tangannya dilepaskan. Bakri juga yang entah dari mana datang menghampiri.

“My dear Maisara, jom. Diorang semua dah kebuluran..” Bakri melemparkan senyum pada Firdaus.

“Pergilah. Hati-hati.” Hanya itu yang Firdaus ucapkan. Maisara keliru. Dalam hati dia mampu merasakan perubahan pada air muka Firdaus namun akal warasnya menghalang dia dari terlalu yakin. Lagi pula, kehadiran Dr. Wadira seakan mahu menjelaskan siapa dirinya dalam hati Firdaus.

******

Deringan telefon mengejutkannya dari lamunan. Dia berdebar melihat pemanggil yang sedang menanti di talian. Hatinya selalu berdebar kebelakangan ini bila berbicara dengan lelaki ini. Entah mengapa!

“Assalamualaikum.. Sara.” Seperti biasa perbualan mereka bermula dengan salam. Maisara menjawab perlahan.

“Buat apa? Mengelamun?” soal Firdaus membuat Maisara terkesima. Haish.. mana dia tahu ni? Agaknya apakan yang lelaki ini akan rasa kalau tahu dia tengah mengelamunkan dirinya?

“Tak ada lah.. baru siap solat, n baru nak start study.. abang dengan Alif sihat? Rindu dia..” soal Maisara membuatkan Firdaus tersenyum. Kalau rindukan papanya sekali kan lebih baik. Bisik hatinya nakal. Sejak beberapa bulan ini hatinya sudah mula berani menjadi nakal apabila terfikirkan Maisara. Namun fikiran itu akhirnya lenyap bila bayangan Aina menjelma.

“Sihat alhamdulillah.. Rindu Alif aje? Nampaknya Firdaus junior tu selalu dapat tempat pertama kat hati Sara ye..? Jealouse abang.” Firdaus berkata tenang. Maisara tidak tahu mahu mendefinisikan itu sebagai gurauan atau apa. Dia diam.

“Macam mana study? Exam semalam ok?” soal Firdaus.

“Ok.. tinggal 2 paper lagi. Lepas tu boleh kemas barang dan balik…. Hehehehe..” Maisara ketawa kecil. Firdaus juga.

“Bila balik kampung? Bagitahu ye.. nanti kalau kebetulan abang ada masa, abang boleh hantarkan..” ujar Firdaus mengejutkan Maisara. Doktor sepertinya ada masa ke untuk diluangkan kepadanya? Walaupun tempat Frdaus tidaklah jauh dengan kampusnya, namun untuk menghantarnya ke kampung, memang akan mengambil masa yang agak panjang. Paling tidak 5 6 jam.

“Eh,, kenapa nak hantarkan Sara pulak. Jauh tu. Sara boleh balik sendiri. Lagipun janganlah bazirkan masa untuk Sara..”

“Bazirkan masa? Hmm..so, Sara layan panggilan abang ni pun termasuk dalam membazir masa jugak ke?” soalan ini kedengaran agak sinis. Hati Maisara berdetak.

“Ok lah. Sambunglah study. Abang tak kacau. Jaga diri.” sambung Firdaus lagi dan terus memutuskan talian. Maisara dapat merasakan sesuatu yang tidak kena? Bukan itu maksudnya tadi. Kenapa perlu marah? Hatinya tidak senang. Marahkah lelaki ini kepadanya? Maisara berfikir-fikir. Akhirnya, dia memutuskan untuk mengirimkan SMS kepada lelaki itu.

>Maaf kalau Sara tersilap cakap. Bukan itu yang Sara maksudkan. Sara cuma tidak mahu abang bazirkan masa untuk Sara.. Tak bermakna Sara juga merasakan Sara membazirkan masa berbual dengan abang, atau Alif.

Kiriman SMS itu tidak berbalas. Maisara akur. Dia kembali menyambung tugasnya untuk menelaah pelajaran. Perkara tentang Firdaus dilupakan buat seketika.

******

>Sara balik kampung esok..

Dia mengirimkan SMS kepada Firdaus. Sejak kejadian itu, mereka langsung tidak berhubung. Sudah hampir seminggu lebih. Biasanya lelaki itu akan menghubunginya paling tidak dua kali dalam seminggu. Dia tidak tau kiriman SMSnya kali ini akan berbalas atau tidak. Dia tidak berharap. Dia sekadar memenuhi permintaan Firdaus agar memaklumkan kepadanya.

>Batalkan tiket. Abang akan hantarkan, tapi petang sikit dalam pukul 3 lepas kerja. Nanti abang gantikan duit tiket..

Maisara mengangkat kening. Amboi.. Memang benar-benar mahu menghantarnya pulang? Siap mengarah-arah lagi suruh batalkan tiket? Apa nak jadi ni? Kenapa begini tindakan Firdaus? Siapakah dirinya pada pandangan mata lelaki itu? Maisara tidak habis berfikir.

******

>Dah siap? Abang dah ada kat bawah..

SMS daripada Firdaus membuatkan Maisara terkocoh-kocoh mengenakan tudung. Memang punctual betul mamat ni. Setelah semuanya selesai, dia turun dengan menjinjit beg pakaian dan komputer ribanya. Dia terserempak dengan Bakri yang mahu menuju ke tempat memarkir motorsikalnya di bahagian bangunan blok kediaman lelaki.

“Sara nak balik ke?” soal Bakri ramah. Sudah diterima jawapan Maisara dengan hati terbuka. Mungkin mereka hanya ditakdirkan sebagai kawan baik. Maisara mengangguk.

“Bak tolong bawakkan beg.” tanpa menanti lelaki itu mencapai beg yang berada dalam pegangan Maisara. Maisara tidak sempat membantah. Bakri berjalan seiringan dengannya. Sempat pula berjenaka mengatakan begnya berisi pakaian untuk pulang selama setahun. Hakikatnya memang beg itu agak berat. Maisara hanya ketawa. Tidak sedar Firdaus sedang memerhati dengan hati yang sedikit membengkak.

“Sampai sini je Bak.. Hmm.. terima kasih.” Maisara memandang tepat ke wajah Bakri dan kemudian mengalihkan pandangannya kepada Firdaus yang kacak dengan kemeja biru yang dilipat lengannya separas siku. Menyerlahkan ketampanannya. Maisara hampir terpukau. Bakri yang melihat terasa hatinya pedih. Memang Maisara layak untuk mendapat yang lebih baik. Bisik hatinya. Dia senyum sambil menghulurkan tangan kepada Firdaus yang membalasnya mesra namun anak matanya tajam mengamati wajah anak muda itu.

“Jom.. nanti lambat.. Anyway, thanks for your help,.” Ucapnya kepada Bakri. Bakri hanya mngangguk. Memerhati kelibat dua insan itu masuk ke dalam kereta.

******

Mereka diam sahaja dalam perjalanan. Maisara dapat merasakan kedinginan Firdaus. Mengapa pula? Memang lelaki ini payah nak diduga perasaannya. Selalu bermain teka teki. Kadang-kadang layanannya bagaikan layanan kepada puteri. Dan sekelip mata boleh berubah menjadi sedingin ini.

“Betul ke Bakri tu kawan Sara? Bukan main mesra lagi. Macam bukan kawan.” soalnya memecah kebisuan. Maisara tersentak. Ai, bunyi macam seseorang sedang cemburu. Benarkah? Dia mengerling wajah dingin Firdaus.

“Kawanlah. Dah lama kenal sejak semester satu. Kawan yang paling handsome setakat ini” Maisara sengaja berkata begitu. Mahu menduga. Dia gembira andai benar ada cemburu di hati itu, kerana itu tandanya angan-angannya selama ini mampu jadi kenyataan!

“Ye? Hmm.. Tak nampak handsome sangat pun…” tukas Firdaus membuatkan Maisara ketawa. Firdaus tetap memandu, tidak memandangnya.

“Somebody is jealousy.. Is it right..?” Maisara bermain kata. Beraninya dia bertanyakan itu. Firdaus memandangnya. Suasana sepi.

“Alif abang tinggal dengan Mak Limah ke? Tak apa ke dia abang tak ada?” soal Maisara mengalih topik bicara. Firdaus senyum kecil. Sinis. Alif juga yang mendapat perhatiannya..?

“Abang tinggalkan dengan mak.. Sehari aje, tak apa rasanya. Lagipun Mak Limah ada untuk tolong mak jagakan. Sara sayang Alif?” Firdaus memandang Maisara sekilas. Maisara senyum. Mengingatkan Alif selalu membuat dia senyum. Keletah anak kecil itu memang menceriakan.

“Dari pertama kali tengok dia main pasir pantai, Sara dah suka kat dia dan tak keterlaluan kalau Sara katakan Sara memang sayang anak abang tu..” jawab Maisara jujur. Firdaus terpana. Dia tahu Maisara ihklas. Namun, kalau diminta untuk menjadi ibu kepada anak itu, sanggupkan gadis ini? Usianya masih muda, tidak mungkin dia mahu mempertaruhkan hidup dengan menjadi ibu kepada anak yang bukan darah dagingnya. Firdaus mengerling Maisara sekilas.

“Kalau abang cakap abang nak Sara jadi ibu untuk Alif, apa jawapan Sara?” akhirnya terluah juga soalan itu. Hampir tiga bulan lebih perhubungan mereka, selama itu jugalah dia berperang dengan perasaan sendiri. Seminggu lebih dia tidak menghubungi Maisara kerana mahu cuba memahami dirinya sendiri, mahu mencari jawapan kepada soalan yang selalu bermain di dalam hatinya. Dan sekarang, sejak dia pasti dengan perasaannya terhadap Maisara, Firdaus bimbang dan tidak yakin pula untuk meluahkannya. Kerana dia beranggapan status dirinya yang pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak tidak selayaknya mahu bergandingan dengan gadis semuda Maisara, yang masih anak dara. Manakan sanggup gadis ini menerimanya dan membebankan hidupnya untuk dia dan Alif.

Maisara pula terkelu. Apa maknanya ini? Ibu kepada Alif? Maknanya..isteri kepada papa Alif??? Jantung Maisara berhenti berdegup seketika. Wajahnya pucat. Tidak percaya. Dia memandang Firdaus yang kembali fokus kepada jalan raya.

“Apa maksud abang?” Maisara mahukan kepastian. Firdaus memberi isyarat dan berhenti di bahu jalan. Matanya tajam menikam anak mata Maisara.

“Sara sudi jadi teman hidup abang sekaligus jadi ibu untuk Alif, anak abang?” soalannya kali ini lebih jelas dan tidak ada cara untuk Maisara buat-buat tidak faham lagi. Firdaus masih merenungnya. Dalam. Mempesona. Menggetarkan hati kecilnya. Dia keliru. Jika ikutkan hati, memang dia akan jawab ya.. kerana selama ini dia menyukai dan menyenangi lelaki ini berada di sisinya. Cuma dia malu untuk mengaku dia sudah mula menyayangi dan menyukai lelaki ini.

“Sara..?” Firdaus mahukan jawapan. Namun seketika dia sedar, dia seharusnya memberikan masa untuk Maisara. Lantas dia melepaskan brek tangan dan kembali mahu memulakan perjalanan yang masih panjang.

“Sorry.. abang patut beri Sara masa. Abang faham kalau Sara tak boleh terima abang. Mana ada gadis yang semuda Sara mahu menerima orang yang dah pernah kahwin dan ada anak…kan? Abang tak kisah. Sara fikirlah dulu. Abang tak paksa Sara berikan jawapan sebagaimana yang abang harapkan.” Sela Firdaus sambil memberi isyarat untuk kembali naik ke jalan. Maisara tidak senang duduk.

“Abang mahukan Sara untuk abang atau semata-mata untuk Alif?” soalan cepumas dari Maisara. Firdaus terdiam. Rasanya Maisara sudah tahu perasaannya selama ini. Tidak bolehkah gadis itu memahami layanannya selama ini melambangkan rasa hatinya? Firdaus mengeluh kecil. Maisara memerhatikannya. Tiada jawapan. Perjalanan diteruskan sehingga tiba di R&R.

“Kita solat dan makan dulu.” Firdaus melangkah keluar dari dalam keretanya. Wajahnya menunjukkan seribu perasaan yang tidak tertafsir. Berperang dengan perasaan. Maisara pula masih tidak berganjak.

“Why? Having your menstruation?” alahai, straight punya soalan. Maisara mengangguk dan mengalihkan wajahnya ke tempat lain. Malu! Firdaus tersenyum kecil.

“So, tunggu abang solat dulu. Nanti kita makan. Abang lapar. Kalau nak pergi toilet, baik-baik. Awak darah manis..” guraunya bagaikan tidak ada perkara yang terjadi sebentar tadi. Kalau tadi wajahnya keruh, sekarang sempat bergurau pula. Maisara senyum. Turut keluar dari kereta dan meninggalkan Firdaus namun berpatah balik ke arah Firdaus yang sedang menutup pintu kereta dan menguncinya.

“Err.. abang, bukak pintu kejap.. nak ambil something” ujarnya perlahan. Wajahnya sedikit merona merah. Tentu sahaja Firdaus mampu meneka apa yang dimaksudkan dengan something itu yang tersimpan dalam beg galasnya di tempat duduk belakang. Firdaus kembali menekan punat hijau dan menyerahkan kunci itu kepada Maisara. Dia tidak mahu berada di situ dan membuat Maisara kekok dan segan. Dia menuju ke surau dan dari jauh dia melihat Maisara mengunci kereta dan menuju ke tandas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience