BAB 8

Romance Completed 5915

Dia sudah melepasi pintu dapur rumah, tawa Azrie masih belum reda. Sah, lelaki itu memang tiga suku. Selipar jepun bergambar kartun Barbie itu disarung. Entah siapa punya dia pun tidak tahu. Main rembat sahaja. Dia segera mendapatkan Pak Cik Firdaus yang sibuk mengopek buah kelapa yang mahu digunakan untuk kenduri kahwin Kak Siti hari Sabtu. Mak Cik Norita pula sedang berbual dengan Kak Siti di atas pangkin di tepi bendang.

“Banyak lagi ke kelapa yang belum dikopek pak cik?” soal Fahmi sekadar berbasa basi. Matanya ralit memerhatikan Pak Cik Firdaus yang cekap membuat kerja.

“Banyaklah juga. Sakit dah pinggang ni asyik terbongkok-bongkok.” Balas Pak Cik Firdaus. Selepas satu, satu sabut kelapa tu itu dikopeknya.

“Kalau macam tu biar saya tolong ya pak cik.” Cadang Fahmi, ikhlas. Sebiji kelapa bersaiz sederhana diambil. Pak Cik Firdaus tersenyum seraya berundur ke belakang.

“PADAN muka kau. Tulah, nak tunjuk hero sangat. Kononnya terer. Alih-alih sebiji je yang sempat dikopek. Lepas tu tangan sendiri yang terkopek.” Bebel Azrie sepanjang perjalanan hinggalah ke klinik desa yang kecil ini.

Fahmi tayang muka ketegar. Macam mak nenek Azrie membebel. Pot pet pot pet!Tapak tangan kanannya yang luka ditilik. Sakit memanglah sakit tapi sakit lagi telinga dia menadah bebelan Azrie yang belum mahu reda.

Kecoh seketika halaman rumah Pak Cik Firdaus dan Mak Cik Norita pagi ini. Azrie yang sedang enak melantak mihun goreng di dapur terkocoh-kocoh keluar. Mujur kain pelikatnya tidak terluncut. Abang Pauzi (abang sulung Azrie ) dengan isteri dia yang baru sampai turut sama terkejut melihat tapak tangannya sudah berdarah. Terus sahaja Mak Cik Norita menyuruh Azrie membawanya ke klinik padahal kalau diikutkan hatinya, taruk aje minyak gamat ke TYT ke, settle masalah.

Masuk sahaja ke dalam klinik, seorang jururawat muda menyambut mereka dengan senyuman. Boleh tahan cun juga jururawat di sini. Tak menyesal dia membonceng motor dengan Azrie ke mari.

“Awat hang tak cakap awai-awaimisi kat sini cantik?” bisik Fahmi dalam loghat Kedah yang dibuat-buat. Budak baru belajarlah katakan. Mereka mengekori jururawat tadi masuk ke dalam bilik rawatan. Mujur tiada sesiapa pagi itu, tidak perlulah mereka menunggu. Azrie yang sedang menjelingnya dipandang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience