BAB 12

Romance Completed 5915

“Apasal kau ni? Kejap geleng, kejap angguk. Rimas aku tengok.” Soal Azrie. Telefonnya sudah diletak ke tepi. Fahmi menoleh.

“Berapa lama kau kenal Suria?” Ringan sahaja mulutnya bertanya malam ini sedangkan selama ini dia jarang berbicara soal hati dan perasaan dengan Azrie.

“Dalam setahun macam tulah. Sejak dia bertugas dekat klinik desa tu. Awat? Hang berkenan ka?” Azrie angkat kening double jerk. Lambat-lambat dia bangun seraya membuka jendela. Terasa mahu menghirup udara segar pula malam ni.

“Berkenan? Dekat budak Suria tu? Hish, selisih malaikat 44. Suria tu samalah macam kau, kedekut.” Dalih Fahmi cepat-cepat. Niat mahu berterus terang terus melebur sebaik sahaja melihat kening Azrie terjongket. Ah, kalau dia cakap pasti teruk kena bahan dengan Azrie.

“Amboi, cakap tu tak tengok kiri kanan. Kalau Allah dah susun jodoh kau dengan Suria macam mana?” Azrie sudah merenung Fahmi semacam. Dia berpeluk tubuh sambil bersandar pada dinding.

“Suria tu bukannya teruk sangat. Dia cuma garang macam anak singa aje. Kalau bab masak, aku mengaku dia lagi terer dari Kalsom. Kari kepala ikan dia memang terbaik.” Sambung Azrie lagi. Ibu jari tangannya diangkat.

“Biar betul kau ni?” soal Fahmi dengan wajah terkejut. Wow, pandai masak rupanya budak Suria ni.

PETANG itu orang kampung sudah mula ke rumah Mak Cik Norita untuk menyiapkan apa yang patut seperti mengupas bawah dan sebagainya. Fahmi duduk di ruang tamu sahaja sambil memerhati orang memasang pelamin. Sewaktu dia mahu menolong, awal-awal lagi keluarga Azrie membantah. Padahal telapak tangannya sudah tidak sakit.

Hai, Fahmi. Bilalah kau nak kahwin? Bisik hati Fahmi sambil bibirnya mengoyak senyum. Puas melihat orang memasang pelamin, dia bingkas bangun menuju ke bilik Azrie. Dia mendapatkan jendela yang terbuka luas. Dari jendela bilik itu, dia nampak kelibat Suria dan Kalsom yang baru sampai. Mereka datang dengan kereta Perodua Kancil milik Kalsom.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience