BAB 6

Romance Completed 5915

PETI aiskrim bewarna biru itu dibuka. Matanya meliar memerhati jenis dan jenama aiskrim yang bersusun. Ada aiskrim paddle pop, cornetto dan macam-macam lagi. Nah, ini dia yang dia mahukan. Aiskrim Malaysia. Perisa bubur kacang hijau pula tu. Sedapnya. Belum sempat tangannya mencapai aiskrim yang hanya tinggal satu itu, ada tangan lain yang terlebih dahulu menariknya keluar.

Fahmi terdiam. Aiskrim tadi ‘dicuri’ dengan terlalu pantas. Langsung tidak sempat untuk dia menyelamatkannya. Fahmi menoleh ke kiri. Mencari gerangan si pencuri aiskrim. Belakang badan gadis rendang dengan rambut diikat satu itu dipandang bagai mahu tembus. Waktu ini dia sangat berharap matanya boleh mengeluarkan laser.

“Nah, 30 sen.” Tutur gadis itu sambil tangannya membayar harga aiskrim tadi. Dia kemudianya memusingkan tubuh seraya berjalan keluar. Fahmi yang masih memerhati langsung tidak dipandang.

Muka aje ayu, tapi sombong. Tangannya mencapai aiskrim Malaysia yang berperisa asam dengan keluhan berat. Dia betul-betul teringin makan aiskrim bubur kacang hijau tadi. Kenapalah nasib tak menyebelahinya kebelakangan ini. Sudahlah putus tunang, tak dapat aiskrim bubur kacang hijau pula tu.

Selepas membayar harga aiskrim tadi, dia segera mendapatkan motor Azrie yang dipinjamnya. Berdentum bunyi enjin. Pergh, nampak je macam ayu motor Azrie ni. Warna pink gitu, tapi sekali start bunyi ekzos tu macam kat litar Sepang aje. Sewaktu dia mahu meminjam motor ni tadi, Azrie awal-awal lagi berkata tidak. Huh, dasar kedekut tahi hidung masin. Mujur ada Mak Cik Norita yang bagi dia green light. Puas pusing-pusing kampung, terasa mahu makan aiskrim pula. Itu yang dia berhenti di kedai runcit ni.

Sesekali dia membunyikan hon apabila terserempak dengan orang-orang kampung yang lalu lalang. Nun jauh di sana, dalam 10 meter dia nampak kelibat gadis tadi sedang mengayuh basikal. Dalam kepalanya sudah mencongak mahu mengusik gadis itu. Fahmi tersengih.

Terus dia memecut laju sebelum memperlahankan kembali kelajuan sewaktu dia hampir melintas gadis pencuri aiskrim. Amboi, senangnya hati dia dapat makan aiskrim. Dia memulas minyak berkali-kali, sengaja mahu memekakkan telinga gadis itu dengan bunyi ekzos yang kuat. Tangan kiri pula menekan hon berkali-kali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience