BAB 10

Romance Completed 5915

Sedang Suria menjahit lukanya, Fahmi diam-diam memerhati raut wajah gadis itu. Kulit dia tak terlalu putih, lebih kepada kuning langsat. Cantik! Yang paling Fahmi berkenan adalah bulu matanya yang panjang dan lebat. Berkenan? Oh tidak. Dia langsung tidak berkenan dengan budak pelik ni. Muktamad. Titik. Habis cerita. Toksah tanya yang bukan-bukan.

“Dah siap. Toksah nak termenung sangatlah.” Suara Suria yang sedang mengemas perkakas rawatan melantun ke udara sebelum masuk ke gegendang telinga. Fahmi terkebil-kebil, bagai baru tersedar dari pukau. Spontan dia berjalan keluar, mendapatkan Azrie yang sedang rancak berbual dengan Kalsom.

“Dah siap?” soal Azrie sambil tangannya menilik telapak tangan Fahmi yang sudah berjahit. Fahmi mengangguk.

FAHMI melangkah malas setapak demi setapak. Tangannya sudah tidak sesakit pagi tadi namun untuk memegang objek memang dia belum boleh lagi. Setiap kali dia cuba pasti rasa sengal menyucuk-nyucuk telapak tangannya. Sebab itu dia berjalan sahaja petang ini. Mujur kedai runcit tidak terlalu jauh dari rumah. Gara-gara melihat wajah Suria, rasa mahu menikmati aiskrim membuak-buak di dalam hati.

Sampai sahaja di kedai, dia sudah nampak basikal Suria elok terpacak di bawah pohon manggis. Adoi, nasiblah kalau tak dapat makan aiskrim. Sudah dua hari dia kempunan. Fahmi menarik nafas lega apabila melihat aiskrim bubur kacang hijau masih ada. Mujur sudah restock.

“Sekali ya mak cik.” Gumam Fahmi bersama sengihan di bibir. Tujuh batang aiskrim bubur kacang hijau diletak di atas kaunter. Alang-alang sudah terserempak, apa salahnya kalau dia usik sikit cik misi kita ni. Jelingan maut yang dihantar lewat ekor mata Suria dibuat tidak endah.

Not sepuluh ringgit dihulur kepada mak cik yang menjaga kaunter. Gula sekilo, aiskrim 10 batang. Semuanya berjumlah RM7.00. Sebaik sahaja tangannya menyambut beg plastik yang berisi gula dan aiskrim beserta baki duit, Suria menonong keluar tanpa menoleh.

“Eh, tunggu dulu. Bak sini aiskrim saya.” Tangannya didepa di hadapan Suria dan basikalnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience