BAB 12

Drama Completed 557

Bangunan-bangunan tinggi mencakar langit. Deru kenderaan yang berlibur di atas jalan raya umpama semut. Dari jendela kaca kelihatan bola matahari tepat di atas darjah. Bersama jalur-jalur cahaya yang lurus. Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh ruang bilik mewah itu. Langsir yang berwarna merah jambu tersergam indah. Diserikan lagi dengan permaidani yang berwarna biru laut. Serta perabot yang antik.

Zarah berdiri tegak di sisi jendela. Sambil melontarkan pandangan ke arah bandaraya. Hari itu, dia tambah ayu. Bila mengenakan baju kurung yang berwarna biji kundang masak. Bersulamkan tompok-tompok manik yang kuning keemasan.

Dari raut wajahnya yang jelita itu nyata sekali dia sedang mengelamun. Hingga sampai ke awangan rasanya.

Tok! Tok! Tok! Lamunannya terhenti dengan serta-merta. Seperti rancangan yang tergendala di kaca televisyen. Dia lalu menarik nafas yang panjang. Kemudian kedua-dua biji matanya lantas menoleh ke arah pintu. Dia pantas bersuara lembut:
“Masuk ...!”
Tanpa berlengah lagi jendul pintu segera terkuak. Muncul Helmi bersama fail yang berwarna hitam di tangannya. Kemudian perlahan-lahan dia menutup daun pintu semula.

Serentak dengan itu dia mengatur lima tapak menghampiri Zarah yang memerhatikan gelagatnya itu dengan penuh minat.

“Assalammualaikum,” dia memberi salam sambil mengukir senyuman kecil.

“Waalaikumsalam.” Zarah mengamati wajahnya dengan penuh tepat sekali. Berbadan tegap serta bermisai. Berambut lurus. Sementara kulitnya berwarna cerah.

“Cik Zarah ini dia dokumen perjanjian antara syarikat kita dengan Syarikat Melor,” katanya sambil meletakkannya dengan penuh tertib di atas meja yang berbentuk empat segi itu.

“Baiklah!” Zarah cuma mengangguk.

“Oh ya, Siti mana?”

“Dia cuti hari ini, Cik Zarah.”
“Cuti?” dia sebaliknya membalas sambil melabuhkan punggung di atas kerusi yang eksekutif. Sambil tangannya ligat menyemak fail itu dan kemudiannya terus menurunkan tandatangan.

“Ya, Cik Zarah. Katanya ada hal yang penting,” terang Helmi lagi.

“Oh, begitu!” dia menjawab sambil menutup semula fail yang berwarna hitam itu dan pantas menghulurkannya pada Helmi dan dia menyambut dengan senang sekali.

“Ada apa-apa lagi, Cik Zarah?”

Zarah sebaliknya menggelengkan kepala.

“Tak ada! Awak boleh pergi.”

Helmi akur dengan arahan itu.

“Baiklah,” katanya sambil menundukkan kepala sebagai tanda hormat. Secepat kilat bayangan Helmi lesap di balik pintu yang terkatup rapat semula.

Zarah lalu menyandarkan tubuhnya pada kerusi sambil berpusing sedikit ke kiri dan kanan.

Sambil mengingati semula kisah-kisah silam yang pernah dilaluinya. Penuh dengan pahit dan getir. Namun dia terpaksa menelan jua biarpun hakikatnya amat pahit sekali bak hempedu. Walaupun yang ingin dikecapinya ialah manisan madu. Demi suatu perjuangan dalam hidup ini. Dia tetap kuat dan tabah menghadapinya.

“Sudahlah, tu! Orang perempuan kalau setinggi mana pelajarannya pun, akhirnya ke ceruk dapur jugak!” ujar Pak Leman. Air kopi yang masih panas berasap itu dihirupnya perlahan-lahan. Kemudian kembali semula meletakkan cawan itu ke bawah. Ubi rebus yang masih panas itu juga segera disentalnya melepasi kerongkong.

“Tak baik abang cakap macam tu. Bukankah Zarah tu, anak kita jugak?” balas Mak Ton pula.

Pak Leman naik muak mendengar penjelasan daripada Mak Ton.

“Masa depan konon. Sudahlah! Membazirkan duit aku aje!”

“Membazir abang kata?” Mak Ton naik hairan.
“Dia tu, tak macam anak-anak kita yang lain. Bukannya pandai sangat. Tak akan lulus periksa.”

“Tak baik abang merendah-rendahkan anak sendiri,” Mak Ton tetap membantah.

“Ini adalah kenyataan. Dia layak duduk di rumah aje. Menguruskan hal-hal rumah tangga seperti memasak, mengemas dan menjahit.”

“Jadi, abang nak kahwinkan dia.”

“Ya!” Pak Leman mengangguk sambil menyucuhkan api pada rokok daun. Kemudian lalu dihembusnya asap keluar. Berkepul-kepul memutih memenuhi ruang. Di luar angin bertiup kencang. Pohon-pohon nyiur yang tinggi mengangguk-angguk. Seperti turut merestukan kata-kata Pak Leman.

“Dengan siapa?”

“Halim.”

“Yang kerjanya memanjat pokok kelapa, tu?” Mak Ton terperanjat.
“Kalau Zarah tak setuju nanti macam mana?” soal Mak Ton lagi. Wajah Pak Leman pantas berubah.

“Setuju tak setuju lain kira. Pokoknya dia mesti kahwin jugak dengan budak Halim, tu!” Pak Leman meninggikan suara. Mak Ton diam. Dia masak benar dengan perangai Pak Leman. Dari dahulu sampai sekarang tak berubah-ubah. Cakapnya tak boleh dibantah. Baik hitam mahupun putih. Macam dia seorang aje yang betul dalam dunia ni.

Dia terkenal di kalangan orang-orang kampung sebagai seorang yang kuat memegang fahaman kuno.

Benar sekali, Zarah menolak cadangan ayahnya itu mentah-mentah. Ini memuncakkan lagi api kemarahan Pak Leman.

“Apa? Kau tak setuju?” Kedua-dua biji matanya terjojol keluar. Keningnya yang memutih itu juga turut terangkat.

“Ya, ayah ....”

Mak Ton secepat kilat lalu menyampuk:
“Sudahlah tu, bang. Dia tak mahu. Jangan dipaksa.”
Pak Leman memandang Mak Ton tak ubah seperti seekor singa lapar yang mahu menerkam mangsanya. Dan berkata:
“Awak diam! Awak dengan dia sama saja. Selalu membantah cakap saya!” Suara Pak Leman hampir memecahkan ruang anjung rumah.

“Zarah, kau dengar sini baik-baik. Kalau kau nak tinggal dalam rumah ni, lebih baik kau kahwin dengan Halim. Tapi kalau kau melawan jugak cakap aku, kau boleh keluar. Faham!” tengking Pak Leman lagi.

“Sedarlah diri kau tu, sikit. Kau tu, seorang perempuan. Yang hanya layak duduk di ceruk dapur. Dan bukannya di bilik yang berhawa dingin!” Pak Leman seolah-olah melepaskan protes yang telah lama bersarang di jiwanya. Zarah lalu menangis teresak-esak.

Akhirnya dia mengambil keputusan yang nekad dengan melarikan diri daripada rumah. Akibatnya heboh satu kampung akan berita itu.

“Huh, memang dasar anak yang tidak tahu diuntung!” Pak Leman melepaskan perasaan geram yang tak terhingga. Sambil menggertap rapat giginya.

“Itulah awak. Terlalu manjakan dia sangat!”

“Bang, pergilah cari dia. Saya bimbang. Hanya dialah satu-satunya anak perempuan kita ...,” ujar Mak Ton sambil menangis teresak-esak menahan tangisan.

“Ah, biarkan dia. Degil. Tak mahu dengar cakap orang tua. Saya yakin, satu hari nanti dia pasti balik dengan rasa penuh menyesal!”

Setibanya di kota, Zarah mendapat pekerjaan di salah sebuah kilang membuat alat-alat elektronik. Bersama dengan kawan-kawan sekerja dia menyewa rumah di Kampung Pandan. Masyarakat sekeliling selalu memandang serong pada mereka. Moral mereka dianggap rendah kerana adakalanya terpaksa pulang jauh malam. Dia tidak lupa untuk mengirim surat dan wang pada ayah dan ibunya di kampung setiap bulan. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Pulangkan duit hasil titik peluh dia, tu. Satu sen pun saya tak nak. Sebab saya tak ada anak yang bernama Zarah!”

“Kenapa abang benci sangat pada Zarah?”

“Anak-anak saya tak ada perangai macam dia. Keras kepala. Awak faham tak!” bentak Pak Leman.

Zarah juga nyaris-nyaris dinodai oleh penyelia kilang. Mujurlah Adi seorang pembantu penyelia yang telah menyelamatkannya. Semenjak dari hari itu, persahabatan mereka berdua semakin akrab bak isi dengan kuku. Adi sentiasa memberi perangsang kepada dia agar belajar semula. Akhirnya mereka berdua telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.

Setelah keluar daripada universiti, Zarah tidak mahu bekerja dengan kerajaan. Sebaliknya menceburkan diri dalam bidang usahawan. Sementara Asri pula melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

“Zarah .... Aku pergi tak lama. Bila dah tamat pengajian nanti, aku kembali semula ke pangkuan kau. Relakah kau menanti kepulanganku ...,” Asri bersuara perlahan.

Gulungan ombak setia menerjah pantai. Bayu berhembus perlahan nyaman. Hingga mengerbangkan rambut Zarah yang hitam ikal mayang hingga mencecah paras bahu.

“Asri, hanya kaulah sahaja lelaki yang pertama dan terakhir dalam hidupku.” Suara Zarah tenggelam dalam deruan ombak. Asri memegang erat jari-jemarinya yang lembut bak sutera itu. Seolah-olah sukar untuk melepaskan dia pergi dari sisi.

“Aku juga begitu, Zarah!” ikrar Asri pula. Bola mata mereka saling berlaga. Kilauan pasir jelas kelihatan bila disinari oleh cahaya matahari yang panas terik. Buih-buih yang memutih berapungan di gigian pantai. Laut tetap membiru.

Buuurrrrr! Buuurrrrr! Desiran ombak dan pantai menjadi saksi cinta Asri dan Zarah.

“Kau tak takut, Asri?” Dia dilanda kebimbangan.

“Tentang janji setia, kan?” Asri pantas memotong.

“Ya! Janji manis memang mudah dilafazkan di bibir. Tapi adakalanya ia tidak dapat ditunaikan.” Zarah cuba mengingatkan Asri semula melalui kata-kata itu.

“Aku rasa kau terlupa sesuatu.”

“Sesuatu?” Zarah disapa kehairanan. Pohon-pohon cemara bergoyangan antara satu sama lain ditiup angin. Daun-daun hijau berguguran. Asri lalu mencapai sebatang ranting mati dan mengais-ngais butiran pasir yang halus. Zarah hanya memerhatikan sahaja gelagatnya itu. Kemudian Asri lalu melontarkan pandangan ke arah laut. Setelah puas, dia kembali semula memalingkan muka ke arah Zarah.

Sebaliknya Zarah tak henti-henti menduga Asri.

“Bagaimana kalau kau ditakdirkan jatuh cinta dengan gadis di sana?” Mata Asri tunak. Dia merenung wajah Zarah sedalam tasik.

Asri pantas menarik nafas yang panjang. Dan berkata:
“Biarpun beribu bah atau ribut yang datang melanda aku akan tetap menolaknya kerana aku amat menyintai dirimu!”

Zarah mengangkat mukanya sedikit.

“Sungguh?” Mereka saling berpandangan. Asmara terasa kian bergelora. Umpama gelombang yang menghempas ganas di lautan.

“Haruskah aku buktikan?” soal Asri secara spontan.

Zarah diam membisu seribu bahasa. Entah mengapa! Dia enggan mengeluarkan kata-kata walau sepatah pun. Mulutnya seperti terkunci rapat. Suara ombak tak putus-putus kedengaran bergema membelah suasana.

Sekumpulan camar putih bebas berterbangan ke sana sini di angkasa nan luas. Gema suaranya hampir memecah alam. Kemudian hinggap di atas pohon yang rendang untuk membuat sarang.

Zarah dengan penuh minat memerhatikan kanak-kanak yang sedang bermain di gigian pantai. Hilai tawa mereka yang berkumandang hampir memecahkan gegendang telinga. Sambil membina kota daripada timbunan pasir.

Asri mendongakkan kepala ke atas memandang langit yang membiru. Bola matahari tepat di atas darjah. Bahangnya terasa amat ketara sekali menggigit permukaan kulit. Kesepian. Memenuhi ruang buat seketika. Namun Zarah tidak mahu situasi ini terus berlarutan. Dia lalu bersuara:
“Asri, aku mahu menjadi seperti kanak-kanak itu. Dipenuhi dengan warna-warna keriangan dalam meniti hidup ini.”

Ungkapan Zarah itu dalam maknanya. Mencerminkan sinar pengharapan pada Asri.

Asri mengangguk diam.

Dia mengerti dengan kata-kata Zarah itu. Sebenarnya bukan sekali Zarah jatuh cinta. Malahan beratus kali. Malangnya semua berakhir dengan kekecewaan. Kesetiaan! Mengatasi segala-galanya dalam percintaan.

Asri mengangkat muka merenung Zarah. Empat biji mata saling berpandangan. Tidak berkelip-kelip walau sedikit pun. Asri kembali semula menyimpulkan persoalan itu.

“Zarah, bukankah sang duyung dan karang menjadi lambang setia percintaan di dasar lautan nan luas?” Serentak melunjurkan kakinya agar rapat dan lurus.

“Bahagia atau derita kita akan tetap bersama-sama menempuhinya,” sambung Asri lagi.

Dengan serta-merta tangan Zarah dipegang erat oleh Asri.

Degupan jantungnya kian berlari kencang. Seperti pukulan tong drum. Adakah ini yang dinamakan cinta sedang membara? Amat mengasyikkan sekali. Tika ini tiada dikenali erti kamus duka dalam kehidupan. Dunia dipenuhi dengan warna-warna yang berseri. Bunga-bunga di taman kembang segar mewangi. Yang menjadi realiti, cinta selalunya lahir daripada pandang pertama. Bermula daripada mata kemudian perlahan-lahan turun ke hati. Bara yang digenggam tak terasa hangat sebaliknya dingin.

Peristiwa itu amat indah sekali dikenangkan oleh Zarah. Seolah-olah baru berlaku sebentar tadi. Sukar untuk dilupakannya sepanjang hayat. Hati kecilnya tak henti-henti meronta agar kembali semula mengulangi saat-saat yang manis itu. Tapi apakan daya .... Cinta Asri ibarat embunan pagi. Akan kering apabila terbit mentari dari arah timur.

Benar!

Memang tidak dapat dinafikan lagi. Manusia hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Kebenaran kata-kata itu adalah tepat sekali.

Apa yang tidak dipinta oleh Zarah akhirnya terjadi juga.
Asri tergamak hati memungkiri janji setia. Dia telah berkahwin dengan Rosnani yang sama-sama menuntut dengannya.

Pasrah!

Membungkus seluruh jiwa Zarah. Namun dia tetap redha. Semuanya ini bukan kehendak dia mahupun Asri. Tapi adalah suratan takdir. Penentu segala-galanya dalam alam percintaan.

Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai ujian.

Tak ubah umpama lautan. Di mana pasang surut silih berganti.

Pedih! Bak tikaman sembilu yang tajam .... Titis-titis jernih yang berkilauan akan setia mengalir bila dia teringatkan peristiwa yang amat pahit seperti hempedu itu.

Hingga kini dia masih lagi menjadi anak dara. Walaupun ramai usahawan yang muda cuba menambat hatinya namun Zarah tetap menolaknya. Entahlah! Hatinya telah tertutup untuk lelaki lain. Hanya lelaki yang bernama Asri sahaja satu dalam hidupnya. Seperti mutiara yang berkilauan di dasar lautan. Terlalu indah dan berharga buat dirinya.
Air mata Zarah jatuh menitis membasahi meja.

Kemudian lalu dikesatnya dengan sehelai tisu. Selepas itu, kedua-dua biji matanya mengamati tepat sebuah lukisan pemandangan air terjun di pinggir kali yang melekap di dinding.

Alangkah damainya! Kalau aku dapat memiliki kehidupan seperti itu.

Entahlah! Dia sendiri tak pasti. Bilakah ia akan menjelma? Tuhan amat berkuasa dalam mengatur arah perjalanan hidup manusia.

Nyata sekali dia adalah seorang wanita yang lemah.

Seringkali memunajatkan doa dan berserah. Serta sentiasa berusaha untuk menguatkan diri. Dalam mengharungi liku-liku hidup ini.

Perjalanannya masih jauh lagi.

Di mana perhentiannya? Selagi kita masih bernafas kita akan terus menitinya. Ada ketikanya hidup ini terlalu rapuh. Ibarat ranting yang patah mudah jatuh bila ditiup angin.
Zarah terasa seperti menapak titian-titian kerikil.

Memeritkan! Dia tetap cekal dan sabar mengharunginya. Itulah hakikatnya yang sebenar dalam meniti pentas hidup ini. Bumi tak putus-putus berputar di atas paksinya. Siang dan malam silih berganti. Tahun demi tahun dan bulan demi bulan. Langit yang tanpa bertiang menjulang tinggi dan lautan yang luas terbentang.

Dunia ini hanya persinggahan sementara sahaja. Akhirat jualah sebenar-benarnya tempat yang kekal lagi abadi. Manusia harus menghambakan diri pada Tuhan. Sentiasa menyeru akan kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan.

Zarah lantas menarik nafas yang panjang.

Namun tak siapa yang tahu. Meskipun bibirnya tersenyum tetapi hatinya menahan derita.

Namun dia tetap sedar.

Impian! Tak selalunya indah. Seperti debu-debu yang berterbangan ditiup angin lalu pergi. Harapannya musnah berderai. Umpama kaca yang terhempas ke batu. Kesabaran. Akar umbi dalam percintaan.

Khalid! Seorang lelaki yang pernah hadir dalam hidup Zarah bersama cinta. Dia banyak membantu Zarah dalam bidang perniagaan. Dari segi tunjuk ajar, nasihat malah kewangan.

Dengan tiba-tiba sahaja wajahnya terdampar di ruang mata.

Kacak dan tampan. Lebih daripada itu berada pula. Menjadi lelaki idaman setiap wanita di zaman yang serba materialistik ini.

“Zarah, sampai hati kau mengecewakan perasaanku.” Suaranya penuh harapan.

Dengan rasa lemah, Zarah mengangkat muka dan berkata:
“Maafkan aku, Khalid ....” Nada suaranya tak bermaya.

Wajah Khalid lantas disapa bungkam. Kerut jelas terbayang pada wajahnya. Namun dia tetap mengeluarkan suara:
“Zarah ....”

“Aku tak sanggup hendak melukakan isteri kau,” Zarah pantas mencelah.

Khalid merenung wajah Zarah dengan amat tajam sekali.

Pengertiannya sungguh dalam. Bak lautan nan luas.

“Kau tahu bukan bahawa aku telah lama dibelit kerinduan untuk menimang seorang cahayamata.” Khalid menagih simpati daripada Zarah. Diam. Zarah menoleh ke kiri dan kanan. Alam sepi. Malam begitu pekat. Bulan dan bintang tetap bersinar indah di langit yang tinggi. Kedinginan terasa membalut seluruh tubuh. Angin malam bertiup lembut.

Fikiran mereka berputar ligat. Bagai kipas angin yang sedang berpusing mengeluarkan hawa dingin. Enggan berhenti. Walau sedetik pun.

Zarah kini benar-benar terperangkap.

Antara harapan dan budi. Sama ada memenuhi kehendak Khalid atau menolaknya sahaja. Hakikat penyudahnya dia harus memilih satu jalan sahaja.
Dan Zarah mempunyai pendirian yang tegas. Hatinya keras umpama batu yang pejal. Sukar untuk dicairkan. Dia bukannya manusia yang hidup seperti lalang yang mudah meliuk-liuk ke tengah dan ke tepi bila ditiup angin. Di mana segala keputusannya mudah dipengaruhi oleh orang lain.

Sementara itu, Khalid yang telah sekian lama memerhatikan gelagat Zarah itu lalu mencelah:
“Kita boleh merahsiakan perkahwinan ini.” Dia terus mendesak. Suaranya tenggelam bersama kelembutan angin malam yang berhembus.

Khalid tetap tenang menanti jawapan itu. Suara angin malam tak putus-putus berbisik. Perlahan-lahan Zarah mengangkat muka sedikit. Dia kemudiannya lantas bersuara:
“Maaf, aku tak dapat menunaikan permintaan kau itu. Ini adalah keputusan aku yang muktamad. Khalid aku harap kau akan mengerti,” ulangnya lagi.

“Zarah!” Khalid mengeluh kerana berputus asa.

“Bersabarlah, Khalid. Mohonlah doa selalu pada Tuhan. Sambil terus berikhtiar. Dan moga suatu hari nanti segala yang kau dan isteri kau impikan akan termakbul.” Zarah meyakinkan Khalid.

Dia sama sekali tidak rela dimadu dan dituduh sebagai perampas suami orang. Khalid sebaliknya enggan berbicara lagi walau sepatah perkataan pun. Diam membisu seribu bahasa. Ibarat bala tentera yang telah kecundang di medan perang. Seluruh tubuhnya terasa lemah. Bila mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut Zarah itu.

Malam berengsot pergi.

Dia lalu memejamkan matanya. Oh, Tuhan berilah aku kekuatan dalam menempuhi hidup ini! Doa hati kecilnya.

Tiba-tiba Zarah teringatkan ayah dan ibunya yang kini sedang berada di kampung. Adakah ini yang dinamakan rindu kian memuncak? Apa khabar agaknya mereka berdua sekarang? Persoalan yang tak putus-putus menendang benaknya.

Adakah mereka masih ingat lagi padaku? Atau sebaliknya melupakan terus diriku? Sudah lama Zarah tidak bertemu dengan kedua-dua orang tuanya. Bertahun-tahun. Tentu sudah banyak perubahan yang melanda diri mereka berdua. Rambut ayahnya sudah tentu banyak dipenuhi dengan uban yang memutih dan berbadan bongkok. Entahlah! Dia sendiri tak pasti.

Dan yang pasti, dia tidak mahu menjadi anak yang derhaka.

Lantas dia mengambil keputusan yang nekad. Walau apa pun yang terjadi dia akan tetap pulang juga. Menyembah dan mencium tangan kedua-dua ayah dan ibunya yang telah melahirkannya ke dunia untuk meminta ampun.

Sudah pasti ayahnya akan melemparkan pelbagai tohmahan ke atas dirinya namun Zarah tetap akan menabahkan hati untuk menerimanya. Sedangkan kerak nasi boleh lembut oleh air. Ayah dan ibu mana yang tak sayangkan anak? Sedangkan binatang amat menyayangi anaknya. Inikan pula manusia. Zarah akan berusaha memujuk Pak Leman dan Mak Ton agar tinggal di bandar. Sebagai membalas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam membentuk dirinya menjadi manusia yang berguna.

Dia mengukir senyuman yang penuh berbunga di hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience