BAB 5

Drama Completed 557

“Kadangkala saya mahu menjadi seperti sang camar putih.” Saripah membetulkan rambutnya yang panjang hitam ikal mayang.

“Mengapa?” Aku membetulkan duduk di atas kerusi kayu yang terletak di bawah pohon cemara yang rendang.

“Hidup saya terasa seolah-olah berada dalam sangkar.” Suaranya tenggelam dalam deruan ombak.

“Ertinya selama ini Saripah tersekat oleh ayah dan ibu?”

“Ya!” angguk.

“Itu tandanya mereka sayangkan Saripah,” jelasku lagi.

“Saya serius, Azman!” dia merengus.

“Maafkan saya, Saripah. Saya tak bermaksud hendak mempersendakan kata-kata Saripah itu. Sebagai seorang kawan saya memang bersedia mendengar masalah Saripah.”

“Bagaimana caranya Azman menangani masalah yang saya hadapi?” Saripah membiarkan saja angin timur mengusapi tubuhnya.

“Kita kongsi bersama. Setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini sering dihantui dengan masalah.” Aku memutuskan perbualan buat seketika.

Angin sungguh segar dan nyaman mengusapi seluruh tubuh.

“Kita tidak seharusnya melihat dunia dalam sahaja. Dunia luar mesti dipentingkan juga. Sewaktu menuntut di sekolah dahulu saya sangat aktif menganggotai Persatuan Bimbingan dan Kaunseling,” jelasku.

“Itu pengalaman namanya,” dia cepat memintas.

“Sedikit sebanyak saya dapat mempelajari psikologi manusia.”

“Boleh Azman terangkan?” Saripah nampaknya sangat berminat.

“Kita terpaksa turut sama mendalami masalah rakan yang kita bimbing itu. Setelah kita benar-benar memahami masalah yang dihadapi olehnya.” Sekali-sekala aku dan Saripah dikejutkan oleh keriuhan suara anak-anak kecil yang riang bermain alunan ombak di gigian pantai.

“Kita adalah manusia. Mula-mula dilahirkan sebagai bayi yang hanya tahu menangis. Kemudian merangkak sehinggalah akhirnya kita dewasa pandai berjalan sendiri. Menggunakan akal dan fikiran dengan penuh kematangan,” jelasku.

Kuperhatikan Saripah benar-benar termampan dengan kata-kata itu.

“Menarik sekali kenyataan itu.” Dia mencuit lembut bahu kiriku.

Aku cuba menguji Saripah.

“Saripah tahu apa kesimpulannya?”

“Silakan!” Aku macam diberi penghormatan.

“Segala suka duka yang kita layari dalam hidup ini menjadi pengalaman dalam mendewasakan kita,” kataku lagi.

Saripah diam. Mungkin dia sudah mengerti.
“Saya mahu balik.”

“Baiklah!”

Aku dan Saripah lantas bangun.

Setibanya di rumah aku terus menyandarkan badan di atas kusyen. Di luar cuaca amat panas sekali.

“Penat nampak,” tegur Roslan rakan serumahku yang tiba-tiba muncul dari biliknya.

Aku memandang tepat wajah Roslan.

“Perli nampak?” Aku masih lagi sempat mengukir senyuman kecil.

“Macam mana date?”

“Biasa aje.”

“Yalah, biasa macam mana tu?”
“Aku dan Saripah cuma berkawan biasa saja.”

Pintu yang ternganga luas memberi kesempatan kepada angin petang untuk menerjah masuk dan terasa begitu segar sekali apabila menyapu seluruh tubuh.

“Yalah adat la tu. Mula-mula berkawan lepas tu bercinta. Betul tak?” Sindirannya semakin tajam.

“Kalau macam tu bila kita berkenalan aje dengan seorang peermpuan terus jatuh cinta,” balasku pula sambil membetulkan duduk.

“Tapi orang perempuan ni, kalau kita ambil berat dengan diri dia lama-kelamaan dia pasti jatuh hati dengan kita.”

“Kau pernah mengalaminya?”

“Pernah juga,” jawab Roslan yang berkulit kuning langsat.

“Jadi, kau percaya satu hari nanti Saripah pasti menaruh hati pada aku?” tanyaku sambil merenung dalam-dalam wajahnya.

“Boleh jadi jugak!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

Khairul mengangkat mukanya tinggi sedikit. Dan bersuara:
“Kau sukakan dia?”

“Hanya sebagai seorang teman.”

“Aku rasa lebih baik kau berterus terang pada dia.”

“Untuk apa?” Aku berpura-pura tidak mengerti.

“Yang kau sukakan dia.”

“Belum tiba masanya,” aku menjawab selamba.

“Kau takut bertepuk sebelah tangan?” soalnya.

“Itu tidak boleh dijadikan alasan.”

“Habis?” Dia masih lagi tidak berpuashati dengan jawapanku.

“Aku mahu mengenali hati budinya dulu. Umpama kata orang tak kenal maka tak cinta.” Aku dapat membaca raut wajah Roslan. Dia berpuashati dengan jawapan itu.
Perbualan kami yang rancak lalu terhenti. Aku menoleh ke arah jam dinding. Pukul 7:15 malam. Sedar-sedar sudah masuk waktu maghrib.

“Aku nak mandi dulu.”

“Pergilah!” Roslan membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Seperti biasa selepas menunaikan solat Maghrib aku keluar untuk makan malam. Kadangkala aku memasak sendiri terutama bila sampai hujung bulan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience