BAB 17

Drama Completed 557

Segala-galanya bermula di sini. Bukannya sebuah impian. Seolah-olah suatu dunia yang asing bagi dirinya. Pagi baru saja menguakkan keheningannya. Sang suria menegak di atas kepala. Jalur-jalur cahaya kelihatan lurus menyinari alam semesta.

Saripah memesan secawan kopi ‘o’ dan sepinggan nasi lemak. Manakala aku pula memesan teh tarik dan sepinggan roti canai. Sebagai pengalas perut pagi itu. Sarapan amat penting dalam kehidupan. Ia dapat menjadikan kita cergas dan bertenaga dalam melakukan pekerjaan.

Pelayan lalu menghampiri kami berdua sambil membawa makanan dan minuman yang telah dipesan.

Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja dengan penuh tertib.

“Terima kasih,” ucapku.

“Sama-sama,” jawabnya sambil mengukir senyuman ramah. Kemudian pantas beredar berlalu pergi dari situ.
Aku lantas mengangkat muka tinggi sedikit memandang Saripah dan berkata:
“Silakan!”

“Terima kasih,” balasnya sambil tersenyum kecil saja.

Senyap.

Dengan rasa penuh bersyukur kami menikmati rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. Tingkah sudu dan garpu jelas kedengaran sekali. Suasana di kantin tetap tenang seperti biasa menerima kunjungan pelanggannya.

Selepas makan, kami berdua tidak lupa untuk mengucapkan kalimah Alhamdulillah. Kerana bebas daripada sebarang bencana kebuluran dan kelaparan. Tidak seperti yang sedang berlaku di Ethiopia, Negara Afrika. Yang menjadi mangsa bukan sahaja orang dewasa malahan juga kanak-kanak. Kematian boleh dikatakan sering meningkat dari sehari ke sehari. Walaupun negara-negara maju menghulurkan bantuan makanan dan kewangan namun masalah ini tetap tidak dapat diatasi. Ini amat menghairankanku. Mungkin satu ujian daripada Tuhan.

Saripah tanpa berlengah lagi pantas memecahkan kesenyapan.

“Bagaimana dengan kerjaya Azman di bidang penerbitan?” soalnya sambil membetulkan rambutnya yang panjang hitam ikal mayang hingga mencecah paras bahu itu mengerbang bila ditiup angin. Yang menyusup masuk melalui jendela yang terbuka luas. Biji mata kami saling berlaga.

“Mencabar sekali,” aku menjawab ringkas. Sambil menghirup air teh yang masih panas itu biarpun tinggal sedikit lagi. Bukankah Islam melarang keras pembaziran? Kemudian perlahan-lahan aku meletakkan gelas itu semula ke bawah.

Mata Saripah tunak.

“Maksud Azman tu, terlalu luas?”

“Ya!” aku pantas mengangguk.

“Skopnya begitu dalam,” sambungku lagi. Saripah kuperhatikan lalu membetulkan tempat duduknya.

“Tentu Azman ni, seorang yang kaya idea?” Dia terus mendugaku.
Aku lalu tertawa kecil bila mendengar kata-kata yang terkeluar daripada mulut Saripah itu. Sebaliknya dia begitu serius sekali memerhatikan gelagatku. Tanpa berlengah lagi aku pantas menjawab:
“Tak semestinya!” aku menggelengkan kepala sebagai tanda membantah.

Saripah lantas naik hairan apabila mendengarnya.

“Mengapa pulak?” Matanya liar memerhatikan cawan dan pinggan yang telah kosong. Angin bertiup perlahan nyaman. Pohon-pohon bagai menari-nari inang. Daun-daun hijau meliuk-liuk berguguran ke atas tanah. Udara pagi sungguh segar dan nyaman.

Aku kembali semula menyoroti persoalan yang terhenti buat seketika.

“Kalau cerita tak bermutu alamatnya kena hentamlah!”

“Tentu kau banyak membaca?” soal Saripah bertubi-tubi kali. Seperti muntahan peluru daripada muncung senapang.

“Ya! Ia adalah teman yang sejati di kala sunyi,” balasku. Saripah tambah ayu bila mengenakan baju kurung yang berwarna biji kundang. Serta bersulamkan bola-bola manik yang kuning keemasan. Kulitnya putih bak sutera. Memang cantik, kena pada si pemakainya.

“Bidang mana yang kau pilih?” ujar Saripah pula sambil mengangkat kepalanya. Bibirnya merah bak delima. Rambutnya tersisir rapi.

“Semua termasuk politik, ekonomi dan sosial,” tambahku lagi.

“Membaca juga adalah pelita hidup,” dia cepat memotong.

“Benar!” aku menyokong sambil menganggukkan kepala.

“Tanpanya kita seperti teraba-raba,” ulangku. Diam. Aku telah pun dapat membaca. Saripah mempunyai pemikiran yang agresif. Sebelum ini, tak pernah aku temui wanita seperti dia. Getus hati kecilku.

Dari jauh kelihatan bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit. Dayabumi menjadi lambang kemegahan Bumiputera. Tidak kurang pula dengan Menara Kuala Lumpur dan KLCC.

Ini melambangkan kemajuan yang telah berjaya dinikmati setelah negara kita mencapai kemerdekaan selama 48 tahun.

Saripah pantas mematikan lamunanku.

“Azman tentu dah banyak berjumpa dengan berbagai-bagai karenah manusia?” dia ternyata tak henti-henti menyoalku.

Aku tidak keberatan untuk menjawab pertanyaan itu.

“Tentu sekali. Terdapat jurang perbezaan yang amat dalam antara golongan bawahan dengan golongan atasan.”

“Jurang perbezaan yang bagaimana maksud Azman?” Kedengaran deru kenderaan yang berlibur di atas jalan raya. Ia amat menyesakkan. Asap dan gas beracun menyebabkan pencemaran berlaku dengan berleluasa. Bumi tidak lagi selamat untuk didiami. Kita harus mencegah masalah ini segera sebelum menjadi lebih teruk lagi.

Saripah kuperhatikan tetap tenang menanti jawapan.

“Golongan yang kaya mempunyai pengaruh yang luas. Sementara golongan yang miskin adalah terlalu lemah. Dan selalu ditindas,” ujarku.

“Dengan wang mereka boleh membeli segala-galanya falsafah untuk si kaya. Bukan?” Saripah menyampuk.

“Bagi si miskin pula tanpa wang hidup mereka akan tambah merana.” Aku serta-merta dibaluti oleh persoalan yang secara tidak langsung itu. Saripah amat arif dalam hal-hal yang bersangkutan dengan psikologi manusia. Dari mana dia belajar agaknya? Mungkin daripada media massa seperti buku dan majalah.

Aku terus memberanikan diri.

“Keluarga Saripah tentu besar, kan?”

“Ya!” angguk. Sambil membetulkan garis-garis yang timbul pada permukaan bajunya akibat ditiup angin yang masuk melalui celah-celah jendela yang ternganga luas.

“Ayah aku seorang usahawan yang terkenal bergelar Datuk,” terang Saripah.
“Tentu hidup Saripah dipenuhi dengan kemewahan?”

Saripah mengukir senyuman berbunga. Aku serius memerhatikan gelagatnya itu. Mataku sempat mencuri pandang ke luar. Rumput-rumput tetap subur menghijau. Biarpun tadi basah akibat disirami embun pagi. Tapi akhirnya kering pabila terbit mentari.

Saripah mendongakkan mukanya tepat memandangku. Dan kembali bersuara:
“Azman salah membuat tafsiran.”

Dan aku agak terkejut bila mendengarnya.

“Salah tafsiran?” Aku kehairanan. Dia sebaliknya menganggukkan kepala.

“Benar!” balasnya selamba.

“Mengapa pulak?” Aku inginkan penjelasan.

Kerana itu baru kulitnya saja. Isinya belum tahu lagi. Persoalan yang seperti ini harus dikupas dengan lebih mendalam. Aku pernah terdengar bahawa ada orang berkata mengangguk belum bererti setuju dan menggeleng bukan bererti salah.

Saripah lalu menjawab:
“Harta kekayaan yang melimpah-limpah adakalanya menjadikan hidup ini bosan.” Aku serta-merta menjadi terkesima. Ternyata aku belum berpuashati dengan jawapan yang telah diutarakannya itu.

“Jadi?”

“Mengajar kita supaya lebih bersikap sombong dan tamak,” ulang Saripah. Aku cuma memilih untuk mengangguk diam. Entah mengapa! Dengan tiba-tiba sahaja aku enggan meneruskan kata-kata. Mulutku seolah-olah terkunci rapat.

Benar!

Aku sama sekali setuju dengan kata-katanya itu. Ini adalah sebuah kenyataan yang tidak dapat dinafikan lagi. Entah mengapa! Aku amat tertarik dengan sifat-sifatnya.

Kebisuan mengambil tempat dengan tiba-tiba.

Aku dan Saripah asyik melayani fikiran masing-masing. Mencari jawapan pada satu permasalahan. Fikiranku enggan berhenti berbicara. Berputar ligat bak kipas.

Kuamati wajahnya dalam-dalam. Cantik! Laksana bulan yang jatuh ke riba cantiknya. Sudah! Cinta selalunya lahir daripada pandang pertama. Bermula daripada mata kemudian perlahan-lahan jatuh ke hati. Jangan! Satu suara cuba menahanku. Mengapa pulak? Jawapan segera menyusul. Takut nanti bertepuk sebelah tangan. Lagipun kau tak sepadan dengan dia. Mana mungkin keluarganya akan menerima kau? Buat seketika persoalan itu terus berlalu pergi.

Pelayan lalu menghampiri kami semula.

Sambil mengukir senyuman kecil.

“Boleh saya ambil?”

Dan aku mendongakkan muka sedikit ke atas. Orangnya berbadan tegap. Berambut lurus dan berkulit cerah. Agak lama juga aku memerhatikan raut wajahnya. Kemudian aku pantas menganggukkan kepala.

“Ya, silakan!”

“Terima kasih,” balasnya sambil tangannya mengutip semula cawan dan pinggan yang telah kosong. Kemudian dia cepat berlalu pergi dari situ.

“Kenapa pergolakan berlaku di Somalia?” Saripah memecahkan ruang kesenyapan yang melanda buat seketika.

Aku lantas membalas renungannya yang tajam itu dan berkata:
“Semata-mata kerana ingin merebut kuasa,” jawabku ringkas tetapi padat. Wajah Saripah yang ceria sebaliknya menjadi kerut. Mungkin kerana memikirkan masalah itu.

“Hingga sanggup berbunuhan sesama sendiri!”

Dia amat peka dengan isu semasa. Sungguh hebat wanita ini. Bisik hati kecilku.

Aku terus menggagahinya jua.

“Itu sajalah jalan yang singkat untuk memenuhi cita-cita tersebut.”
“Yang menjadi mangsa ialah kanak-kanak dan rakyat yang tidak berdosa,” sokong Saripah pula.

“Secara realitinya begitulah!” aku mengangguk pantas.

Aku mengutip semula kata-kata itu dalam diam. Sampai bilakah ini semua akan berakhir? Kedamaian! Itulah yang dirindui oleh mereka semua. Ia tak ubah seperti sebuah mimpi ngeri yang amat menakutkan. Ledakan bom dan peluru bergegar di mana-mana. Dunia menyaksikan mayat-mayat yang bergelimpangan bersama darah merah yang mengalir. Tangis hiba bergema mengiringi akan kehilangan nyawa.

Terharu! Pilu terasa menyiat-nyiat di jiwaku bila menyaksikan peristiwa yang amat menyedihkan itu di kaca televisyen. Dan membacanya di dada akhbar. Isu ini sering aku ketengahkan sebagai bahan artikel utama di media massa. Sekaligus mendapat perhatian daripada orang ramai. Aku sama sekali tidak berniat hendak memburu nama. Tapi demi sifat kasih sesama manusia.

Jauh benar aku mengelamun. Hingga sampai ke awangan rasanya.

Saripah mengangkat mukanya sedikit. Aku sempat mencuri pandang pada meja yang telah kosong. Kemudian aku lalu berkata:
“Aneh!” Aku mengerutkan muka. Memikirkan masalah yang amat berat umpama memikul seketul batu yang besar.

“Hidup manusia memang aneh sekali!” sambungku lagi.

“Dari segi apa?” Saripah memandang wajahku dengan penuh tepat. Kedua-dua biji matanya tidak berkelip-kelip walau sekejap pun.

“Manusia tak pernah puas,” ulangku. Persoalan itu amat dalam seperti lautan.

“Hidup manusia tak ubah bak lautan. Di mana pasang surut silih berganti,” balasku. Saripah sebaliknya kuperhatikan hanya diam sahaja. Entahlah aku sendiri tak pasti. Mengapa dia enggan menyampuk? Mungkin dia sengaja memberi peluang kepada aku untuk meluahkan pendapat. Aku terus berfikir dulu sebelum menggulung bahas. Eh, macam pertandingan pidato pula. Dan aku enggan membiarkan kebisuan terus berlarutan.

“Sungguhpun kita sebagai manusia dikurniakan oleh Tuhan akal dan fikiran namun ia masih belum dapat mengatasi sesuatu masalah yang datang menimpa. Bila iman terlalu tipis.”

“Akibatnya timbullah golongan yang jahil dari segi agama,” sokong Saripah pula.

Aku sekali lagi tidak membantah pendapat yang telah diajukan oleh Saripah itu.

“Tepat sekali!” aku mengangguk tanda setuju.

Adakalanya manusia terlalu lalai dengan dunia hingga sanggup melupakan akhirat. Akhirnya Tuhan menimbulkan pahala dan dosa.

“Adakah mereka semua benar-benar Islam?” Saripah semakin tertarik pada persoalan itu. Sementara itu, angin terus menyusup masuk melalui jendela yang ternganga luas. Hingga terasa segar menyapu permukaan kulit.

“Menarik sekali,” ucapku ringkas.

“Mungkin Azman ada pandangan yang jauh.”
“Benar! Kebanyakan mereka hanya menganut Islam tradisi saja. Tak pernah sembahyang, berpuasa malah mengeluarkan zakat.”

“Mengapa ini semua boleh timbul?”

“Kerana bagi mereka agama bukanlah satu panduan hidup.”

Saripah mengangguk diam. Mengakui kebenaran kata-kata itu.

Kita sebagai manusia adalah lemah. Hanya mampu berserah pada Tuhan. Sentiasa berdoa untuk memohon pertolongan. Bertawakal mengajar kita supaya lebih berusaha. Dan harus menginsafi diri bahawa kerdil di sisinya.

“Dunia ini tak ubah seperti sebuah panggung sandiwara. Di mana kita adalah pelakonnya. Dengan pelbagai watak,” terangku lagi.

Kemudian aku lantas menengadah ke siling. Saripah hanya memerhatikan sahaja gelagatku itu dengan penuh minat. Setelah puas, aku perlahan-lahan kembali semula memalingkan muka ke arahnya. Dan bersuara:
“Penyair pernah berkata bahawa pabila fajar menyingsing maka bermulalah sebuah penghidupan baru.” Aku mengutip semula kata-kata itu.

Terhenti seketika. Aku tak sempat menghabiskan kata-kata. Saripah begitu pantas sekali memotong:
“Dan yang nyata hidup ini diwarnai dengan penuh suka dan duka,” katanya sambil mengangkat kepala tinggi.

“Ia menjadi pengalaman dalam mendewasakan kita!” aku membalas sambil menganggukkan kepala.

“Tapi adakalanya hidup ini tak ubah seperti dahan yang rapuh. Mudah jatuh bila ditiup angin.” Saripah nampaknya ingin mencari kepastian. Dia tidak jemu mendugaku. Konsep kehidupan terlalu luas maknanya. Dunia ini adalah suatu perjuangan untuk sampai ke perhentian bersama bekalan yang cukup.

“Kita harus kuat dan tabah menghadapinya. Dan anggaplah setiap kegagalan itu sebagai satu anugerah.”

“Maksud Azman daripadanya kita harus membina semula kekuatan?”
“Nampaknya Saripah lebih arif dalam hal ini,” celahku pantas.

Dari raut wajahnya aku telah pun dapat membaca. Dia seperti pernah dikecewakan. Cinta? Sudah menjadi lumrah setiap remaja. Tidak dapat lari daripada bayangan itu. Hatiku berbelah bagi untuk mendapatkan kata pasti daripada Saripah sendiri. Akhirnya aku gagahi juga.

“Saripah, maafkan aku kalau bertanya?” aku bersuara tenang. Saripah tanpa berlengah lagi pantas mengangkat kepala dan berkata:
“Kenapa?” Wajahnya tetap ceria seperi tadi.

“Tapi, ini bersangkutan dengan hal peribadi.” Aku berterus terang. Namun dia tidak keberatan.

“Boleh, apa salahnya! Silakan!” dia menjawab sambil menganggukkan kepala.

“Pernahkah Saripah jatuh cinta? Maksud aku sekadar ingin tahu saja.”

Diam. Serta-merta wajahnya lantas berubah.

Jelas, dia pernah mengalami peristiwa yang amat menyakitkan dalam hidupnya. Perlahan-lahan dia menundukkan kepala. Lemah dan tak bermaya. Kemudian dia lalu melontarkan pandangan jauh ke luar. Sebaliknya aku memerhatikan sahaja reaksinya itu dengan penuh tajam.

Agak lama juga dia merenung wajahku. Bola mata kami saling berlaga.

Saripah kembali semula menyimpulkan persoalan yang terhenti buat seketika.

“Pernah ...,” dia bersuara lemah. Sangkaanku memang tepat sekali. Dan aku lebih senang untuk memilih berdiam diri untuk mendengar penjelasan yang lebih lanjut lagi daripadanya.

“Kerana dia tak setia ....” Ternyata Saripah sudah lama menanggung penderitaan yang amat berat. Apakah hatinya sudah tertutup rapat untuk bercinta lagi? Sudah! Sampai ke situ pulak.

Aku cuba menenangkan perasaan Saripah yang bergelora. Agar melupakan kisah silam yang amat pahit bak hempedu.

“Cinta itu memang indah sekali.”

“Ya! Saya tidak dapat menafikannya.”

“Hadirnya ibarat embun pagi tapi akan kering pabila terbit mentari.”

“Adakah ini semua hanya mimpi semata-mata atau sedang berpijak di bumi nyata?” Saripah tak putus-putus mencari jawapan itu.

“Kenyataan!” ulangku. Secara realitinya impian itu tak semuanya indah. Umpama debu-debu yang berterbangan ditiup angin lalu pergi.

“Bagaimana dengan janji setia?” Saripah semakin mendalami bunga-bunga cinta. Terasa seolah-olah kembang mekar dan mewangi. Seperti kasturi dari alam syurga. Tanpa berlengah lagi aku lalu menjawab:
“Ia memang mudah sekali dilafazkan di bibir ini tapi adakalanya entah mengapa tidak dapat ditunaikan.”

Saripah diam membisu seribu bahasa. Dia enggan meneruskan kata-kata. Mulutnya seperti terkunci erat. Sinar matanya umpama emas permata yang berkilauan. Mungkin dia pernah terpedaya sebelum ini. Tekaku dalam diam. Lelaki zahirnya selalu mengibaratkan wanita seperti kelopak-kelopak bunga yang kekeringan layu.

Cinta selalunya lahir daripada pandang pertama. Dari mata lalu perlahan-lahan turun ke hati. Indahnya! Tak tergambar oleh lukisan ataupun kata-kata. Sehari tak bertemu jiwa terasa karam. Terasa tak berdaya untuk meneruskan hidup ini. Pertemuan dapat meleraikan rindu yang membara. Menganyam bicara buat penghibur hati yang lara.

Tika itu tiada dikenali erti kamus duka dalam hidup ini.

Dunia berseri dipenuhi dengan warna-warna. Bara yang digenggam tak terasa hangat sebaliknya dingin. Cinta memang menagih seribu pengorbanan. Rela sehidup semati. Sehati dan sejiwa walau ke mana sahaja. Lautan api pun sanggup direnangi. Andainya karam basah berdua. Kalau boleh bintang di langit tinggi pun ingin dipetik. Begitulah tafsirannya cinta yang suci.

Sementara itu bola matahari semakin meninggi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience