BAB 8

Drama Completed 557

Zarah perlahan-lahan membuka telekung. Kemudian bingkas, melipat sejadah dan meletakkannya semula di tempat asal. Suis lampu bilik dipadamkan. Dengan langkah perlahan dia menuju ke ruang tamu.

Dia kemudiannya lalu melabuhkan punggung di kerusi empuk berwarna hijau muda. Kedengaran suara orang memberi salam. Dia lalu menjawab dan bingkas bangun menuju ke pintu. Saripah kelihatan tercegat berdiri.

“Kau rupanya, Saripah. Masuklah!”

“Tak ke mana malam ni?” soalnya Saripah pula.

“Tak …!” Zarah menggelengkan kepala.

“Cukup bulan ni?” tanyanya lagi. Mata Zarah tunak mengamati wajah Saripah.

“Kita harus berjimat cermat!” balas Zarah.

Pintu yang terbuka luas menyebabkan angin malam menerjah masuk. Sesekali terasa jelas menyapu kulit.

“Jangan boros!” potong Saripah pantas. Seumur hidupnya Zarah tidak pernah merasai kemewahan. Sejak kecil lagi dia dibelenggu kesusahan.

“Ingat! Islam melarang pembaziran.” Demikian ingatan ayahnya. Namun dia tetap bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Tuhan.

“Tepat sekali,” Zarah membalas sambil mengukir senyuman berbunga.

Saripah pantas mencelah sambil mendongakkan kepala:
“Kau nak kahwin ke?”

Zarah diam. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat. Entah mengapa, persoalan itu bisa menyingkap wajah Asri di matanya.

“Entahlah!”

“Kau nampaknya seperti patah hati!” duga Saripah. Wajah Zarah lantas berubah.
“Kadangkala hidup ini tak ubah seperti ranting,” ucap Zarah sambil mengerutkan mukanya.

“Mudah jatuh berguguran apabila ditiup angin.”

Saripah masih tidak mengerti.

“Maksud kau?” Dia meminta kepastian. Zarah merenung wajahnya dan berkata:
“Terlalu rapuh.”

“Hidup ini?”

“Benar!” Zarah mengangguk.

“Itu bagi mereka yang patah semangat!”

“Aku tidak menafikannya.”

Senyap seketika. Saripah bersuara semula memecah kebisuan yang melanda:
“Zarah …,” ujarnya perlahan.

“Kau mesti terima hakikat bahawa Asri kini sudah dimiliki!”

Zarah diam, membisu seribu bahasa. Entah mengapa, rasa pilu yang menyiat-nyiat menusuk sanubarinya.

Bola matanya mengamati lukisan pemandangan air terjun di pinggir kali yang melekap di dinding. Dan kenangan silam menjelma di ingatannya. Indah! Alangkah manisnya kalau aku dapat kembali semula ke saat itu. Bisik hati kecil Zarah.

Pertemuan semusim lalu masih segar dan mewangi. Hari itu, cuaca cerah. Di kaki langit bola mentari kian meninggi. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Restoran Tasik Titiwangsa menjadi pilihan Asri dan Zarah.

“Dah lama menunggu?” soal Asri sambil mengukir senyuman lebar sebaik tiba.

“Tak juga!”

“Dah pesan?”

“Belum!” Zarah menjeling manja ke arahnya.
“Kenapa?” balas Asri.

“Tunggu cik abang, la!” sindirnya tajam.

Asri hanya tersenyum mendengar kata-kata Zarah. Demikianlah dalam pertemuan, ada sahaja bahan bicara dan gurau senda.

“Zarah mahu makan apa?”

“Aku ikut aje!” balas Zarah sambil membetulkan rambutnya yang mengerbang ditiup angin.

“Selera kita berbeza!” sanggah Asri.

“Tak!”

“Baiklah!” Asri angguk.

“Kita makan nasi.”

Zarah membalas dengan senyuman berbunga.

“Beri nasi putih dua!” pinta Asri.
“Lauknya, encik?” soal pelayan sambil mencatat. Bola mata Asri asyik meneliti senarai makanan dan minuman yang terkandung dalam menu.

“Tom yam campur, ikan kerapu masak masam manis, sambal udang, sayur goreng campur dan telur goreng dadar.”

“Itu saja, encik?” tambah pelayan.

“Ya!” angguk Asri pantas.

“Zarah nak minum apa?”

“Bagi saya fresh orange.”

“Saya pun serupa.”

Pelayan pantas beredar. Kesenyapan mengambil tempat. Suasana sungguh romantis dengan irama muzik sentimental mengepung seluruh ruang restoran.

“Aku takut, Zarah!” Suara Asri memecah kebisuan.
“Takut apa?” soal Zarah. Dia kelihatan ayu bila mengenakan baju kurung berwarna merah hati.

“Aku takut kehilanganmu!” Asri kembali menyoroti persoalan yang terhenti itu.

Zarah ketawa kecil.

“Aku serius, Zarah!” Wajah Asri berubah.

“Kau kacak dan tampan. Tentu banyak pilihan, kan?” Zarah merenung wajah Asri.

“Zarah ….” Ternyata dia gagal melawan perasaan. Asri menggenggam erat jari-jemari Zarah yang lembut itu.

“Aku terlalu menyintaimu ….” Suaranya perlahan.

“Tapi ….” Dia terhenti.

“Dan, aku tak boleh melupakan dirimu!” Asri cepat memotong.

Senyap. Pelayan membawa makanan dan minuman yang dipesan. Penuh tertib dia meletakkannya di atas meja.

“Silakan!” pelawa Asri.

“Terima kasih!” balas Zarah. Mereka menikmati rezeki yang dikurniakan Allah dengan penuh rasa syukur.

Selesai makan mereka tidak lupa mengucapkan kalimah Alhamdulillah.

Zarah merenung tasik yang biru itu. Penuh ketenangan. Wajahnya tetap ceria. Kemudian memalingkan mukanya kepada Asri.

“Asri … perpisahan itu amat pahit bak hempedu ….”

“Aku jua begitu!” celah Asri pantas.

“Suratan takdir ….” Suara Zarah makin lemah.

“Zarah ….” Mereka saling berpandangan.

“Kita hanya mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya!”

Terhenti seketika.

“Boleh saya ambil?” pinta pelayan.

“Ya, boleh!” angguk Asri.

“Ada pesanan lagi, encik?”

Asri memandang Zarah.

“Bagi saya puding sagu dengan kopi ‘o’,” pinta Zarah pantas.

“Saya juga,” celah Asri. Pelayan segera beredar dari situ.

“Perpisahan boleh datang tanpa diduga. Bagai ombak yang ganas menghempas pantai. Berubah segalanya!” sambung Zarah lagi.

Asri menarik nafas panjang. Dia benar-benar tidak mengerti. Apakah Zarah tidak yakin pada dirinya?

“Zarah, aku ingin melamarmu!”

Kebisuan mengambil tempat semula. Kesempatan ini digunakan oleh Asri mencuri pandang seluruh ruang restoran. Fikiran Zarah masih enggan berhenti berbicara. Hakikatnya dia amat menyayangi Asri. Dia rela sehidup semati. Tapi dia berasa amat berat untuk meneruskan kata-kata.

“Zarah … adakah kau meraguinya?” Asri inginkan kepastian.

“Tidak!” Ada tikanya cinta memerlukan kesabaran. Mendengarkan itu hati Asri tambah lega.

Di mata Asri sudah terbayang duduk bersanding di pelamin bersama Zarah. Dikelilingi oleh sanak-saudara dan teman-teman. Ibu ayah paling gembira melihat anak mereka menempuh hidup baru. Alangkah indahnya!

“Sudahlah, Zarah. Kita sudah terlalu lama di sini. Mari kita pergi.”

“Baiklah!”

Asri memanggil pelayan meminta bil. Mereka bangun berjalan berpimpin tangan menuju ke kaunter pembayaran.

Dan … akhirnya Asri telah memungkiri cinta setia terhadap Zarah. Dia telah memilih Rosnani sebagai pasangan hidupnya. Bukannya Zarah. Harapannya musnah berkecai bak kaca yang terhempas ke batu.

“Sabarlah, Zarah. Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pelbagai ujian ...,” ujar Saripah sambil memandangnya dengan penuh sayu dan simpati. Zarah menunduk pilu bila mengenangkan peristiwa itu.

Titis-titis air matanya semakin banyak berguguran bersama kepekatan malam ….

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience